Sabtu, Jun 13, 2009

Bicara syurga di telinga, bicara azab simpan di hati

Tahun 2001, saya menerima nota yang diselitkan pada tingkap bilik di kolej kediaman. Jam 7.00 malam baru pulang dari padang bola, bermain dengan hanya berkaki ayam. Nota ringkas berbunyi, "Abah di hospital, hubungi abang," ringkas tetapi membuat saya tidak senang duduk.

Ayah dimasukkan ke hospital kerana strok peringkat awal. Pada usia 63 tahun, beliau berbaring pada katil, "Saya tidak apa-apa," katanya dengan suara yang tidak jelas. Mungkin ayah kurang selesa dengan keadaan ini. Dikerumuni oleh anak-anak, adik beradik, menantu dan isterinya.

---

Ayah tidak suka susahkan orang lain. Seboleh-bolehnya beliau akan lakukan semua sendiri. Kami sekeluarga pernah terkejut dengan tindakan ayah pulang dari Institut Jantung Negara selepas beberapa hari selesai menjalani pembedahan bypass pada jantung.

Beliau pulang sendiri tanpa memaklumkan kepada kami. Cukup seminggu di hospital, beliau keluar selepas mendapat rawatan dan ubat yang diperlukan. Dari hospital beliau menaiki teksi ke Puduraya, menaiki tangga Puduraya kemudian menaiki bas ekspress pulang ke Melaka. Dari Melaka beliau menaiki kereta sewa (panggilan lain untuk teksi tanpa meter tambang). Ayah tiba di hadapan rumah dengan beg baju di tangan kanan dan bantal kecil yang diletakkan pada dadanya.

Ya, beliau balik seorang diri. Kali ini beliau tidak dapat melakukan perkara yang sama lagi. Ayah perlu berehat di hospital dan kemudian dibenarkan pulang ke rumah.

---

Ibu menguruskan ayah di rumah. Kebersihan ayah diutamakan. Ayah biasanya akan bercukur dan memastikan rambutnya disisir kemas dan tidak dibiarkan panjang. Itulah yang ibu akan kekalkan. Pernah ibu memanggil jiran yang sudah biasa memotong rambut di kawasan kampung, tetapi beliau menolak dengan alasan mesin rosak dan gunting tumpul. Jiran saya taku kepada dua perkara iaitu mayat dan orang sakit.

Akhirnya ibu meminta bantuan sahabat baik ayah mencarikan tukang gunting rambut. Seorang tukang gunting rambut berbangsa India datang ke rumah dan melakukan apa yang diperlukan.

---

Tidak lama kemudian, ayah dimasukkan ke hospital semula. Beliau tidak mahu membuka matanya dan hanya diam sahaja. Badannya kekal di atas katil tidak bergerak. Itulah keadaan beliau setiap hari. Seminggu selepas peperiksaan saya mengambil alih tugas ibu menjaga di hospital.

Saya tidak tahu apa mahu dibualkan bersama ayah, meskipun saya tahu beliau tidak akan menjawab meskipun beliau dengar dengan jelas.

Beliau tutup mata rapat-rapat, sengaja tidak mahu dibukanya. Adakah beliau tidak mahu melihat wajah kami yang sedang melihatnya? Ayah lebih tahu.

Hanya sekali sahaja beliau membuka mata, itu pun dipaksa oleh seorang doktor yang dua kali menyucuk jarum pada tangan ayah. Yang pertama saya yakin doktor itu tersilap.

---

Apa yang mahu saya bualkan bersama ayah?

Hanya ada Quran sahaja yang saya bawa bersama sebuah buku yang saya beli di kedai pada tingkat bawah. Saya selak dan membacanya di sisi kanan katil, dekat pada telinga ayah.

Saya baca teks Arab dan saya baca terjemahan bersama-sama, agar anak yang jahil dan ayah yang diam sama-sama faham.

Saya bukan qari yang merdu bacaanya, saya bukan hafiz yang menghafaz dengan jiwa dan fikirannya, saya bukan pelajar sekolah agama yang mahir bahasa Arabnya. Saya hanyalah bekas pelajar High School yang masih merangkak-rangkak dengan amal yang tidak seberapa. Mahu jadi anak soleh pun saya tidak pasti sama ada saya lakukan perkara yang betul atau tidak. Dialog apa yang ingin saya bicarakan melainkan bacaan Quran yang merangkak-rangkak itu?

Dalam membaca teks Quran yang bercerita mengenai syurga, saya bacakan dengan jelas sekali bersama terjemahan.

Bagaimana pula teks Quran bercerita mengenai azab dan api neraka.

Teks Quran dibaca, tetapi terjemahan itu tidak saya baca. Saya lompat ke teks seterusnya.

---

Sehari demi sehari saya di situ. Sehingga 12 Jun 2009, pada paginya saya memohon para jururawat muda di situ membantu membersihkan ayah. Ada mesin khas yang digunakan untuk mencuci bahagian mulut dan lendir dalam tubuh yang terhasil sehingga ia menyukarkan pernafasan dan saluran makanan.

Ketua jururawat marah-marah, entah apa yang dimarahnya. Mungkin saya begitu mendesak. Kemudian saya tanya pada seorang jururawat. Tidak lama kemudian beliau datang bersama rakannya. Kemudian datang lagi dua tiga orang jururawat lagi. Kemudian datang lagi sehingga katil ayah dikelilingi mereka.

"Tarik kain itu nanti dia nampak," kata seorang jururawat sambil menoleh kiri dan kanan sambil menarik kain yang menyekat pandangan saya daripada ayah.

Enam orang jururawat membersihkan ayah saya sepenuhnya. Saya sendiri hairan mengapa begitu ramai sekali bersungguh-sungguh membersihkan tubuh ayah. Sebelum ini saya pernah dimasukkan ke hospital ini kerana 'tertendang' pintu masjid, biasanya hanya dua jururawat yang akan melakukan kerja ini.

Wajah ayah sungguh bersih. Cuma apabila saya memegang rambutnya dan membisikan pada beliau saya pulang menghantar ibu ke rumah, rambutnya berwarna sedikit keperangan, kering dan keras.

---

Malam 12 Jun 2009, saya duduk di kerusi tetamu yang berada hampir dengan katil ayah. Badan ayah masih masih berkeadaan begitu. Ayah masih terbaring lurus, seorang jururawat selesai melakukan pemeriksaan berjadual. Beliau sibuk mencatat sesuatu. Saya melihat ayah, sedang terbaring sama seperti hari-hari lain.

Bezanya, urat lehernya turun naik seperti menahan sesuatu.

Saya hampir, saya tidak tahu itu saat antara hidup di dunia akan beralih pada kehidupan lain. Syahadah diucap di telinga kanan, kelihatan bibir ayah terangkat sedikit menyahutnya, matanya tutup tertutup rapat, kemudian semuanya tenang kembali.

"Puan, ayah saya sudah tiada lagi," kata saya pada jururawat yang masih sibuk menulis di tepi katil.

"Eh, tidaklah, okay sahaja. Baru tadi saya beri rawatan," katanya.

Pesakit berbangsa Cina di sebelah katil ayah bersama-sama anaknya melihat saya. Mereka diam sahaja memandang saya. Antara terkejut dan takut.

Saya tidak ada keberanian memberitahu berita itu kepada ibu yang baru beberapa jam pulang ke rumah. Jururawat itu yang menghubungi dan memaklumkan. Saya hanya berdiri mendengar beliau memberitahu.

13 Jun 2001, ayah dikebumikan di tempat yang sama moyang, datuk dan nenek kami disemadikan. Rakan baik ayah bernama Rahim buat pertama kalinya turun ke liang lahad, satu perkara yang tidak pernah dilakukan sepanjang hidupnya selama hampir 50 tahun. Semuanya untuk mempermudahkan urusan rakan baik yang dikenal sejak muda lagi.

----

Saya kembali ke Kuala Lumpur, cuti semester sudah berakhir. Kemudian baru saya sedar.

Tujuh hari lagi sambutan Hari Bapa.

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates