Langkau ke kandungan utama

Prof. Ataullah lalui jalan kebenaran penuh berliku


Bagi mereka yang mengikuti blog ini dari tahun 2005, cerita profesor ini pernah menjadi catatanku. Ini merupakan catatan dari akhbar Utusan Malaysia 15 September 2006

Bicara Agama
Prof. Ataullah lalui jalan kebenaran penuh berliku

Oleh ZUARIDA MOHYIN


Prof. Ataullah Bogdan Kopanski pernah dua kali dianugerahkan pingat Struggle for Freedom and Independence iaitu pada 1995 dan 2006.


DAN Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus. (Al-Baqarah: 213) Ayat di atas ini menjelaskan kepada kita bahawa hidayah atau nur petunjuk itu adalah milik mutlak Allah s.w.t.

Biarpun kita mampu menerangkan tentang kelebihan agama Islam itu kepada semua manusia sama ada yang beragama Islam ataupun mereka yang masih dalam zaman kejahilan.Pun begitu, tanpa keizinan-Nya maka tiadalah hidayah yang diperoleh oleh mereka.

Lantaran itu, sebagai hamba-Nya yang mengakui diri beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasul, janganlah sekali-kali kita memperlekehkan pengislaman seseorang saudara baru itu meskipun hidayah yang diterima dianggap terlalu mudah, pelik ataupun penuh kesengsaraan.

Ini dibuktikan dengan sikap dan penerimaan segelintir umat Islam yang sering meremehkan bentuk pengislaman seseorang saudara baru itu, lebih-lebih lagi menerusi perkahwinan. Hakikatnya, setiap muslim mestilah sama-sama memberi sokongan dalam apa jua bentuk bukannya menyisihkan mereka.

Kita sepatutnya bersyukur dalam senario umat Islam yang semakin diberi gambaran negatif dan tidak kurang juga fenomena Islam sekadar di nama, masih banyak jumlah yang nampak keindahan Islam menerusi hidayah Allah s.w.t.

Kisah perjalanan pengislaman pensyarah Sejarah & Politik pengkhususan Sejarah Zaman Pertengahan Eropah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ataullah Bogdan Kopanski, yang dikongsi dengan tetamu pada majlis Makan Malam Tahunan Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia (Al-Nidaa’) di Sheraton Subang Hotel, Subang Jaya, Selangor tidak lama dahulu berjaya membawa hadirin menyelami kisah penderitaan dan kegembiraan beliau sehingga bergelar muslim.

Prof. Ataullah, 58, berasal dari Poland, tengah Eropah pernah dalam hidupnya dipenjarakan sebanyak dua kali oleh Rejim Komunis Poland iaitu pada 1968 dan 1981 hingga 1982.

Menurut beliau, hidayah yang diterimanya tidak datang secara spontan tetapi ia diterima secara perlahan dan berliku. Semuanya bermula semenjak di usia belasan tahun lagi.

“Semasa saya berusia 12 tahun, saya sudah tidak boleh menerima langsung atau betah dengan ajaran agama Kristian terutamanya yang berkaitan dengan aspek akidah dan kepercayaan. Hakikatnya banyak yang boleh dipersoalkan serta ia tidak seiring dengan fitrah hidup manusia

“Malah banyak pengalaman-pengalaman yang dilalui sepanjang usia remaja saya yang dihabiskan di sekolah beraliran Kristian menambahkan lagi kurang keyakinan saya kepada orang yang mengaku diri mereka tinggi ilmu agama tetapi tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

“Dua tahun kemudian iaitu pada 1962, saya tertarik dengan kemenangan yang diperoleh Mujahidin Islam Algeria terhadap perjuangan mereka menentang Kolonial Perancis. Itulah panahan awal terhadap Islam,” cerita Prof. Ataullah yang memeluk Islam kira-kira 32 tahun lalu iaitu pada tahun 1974.

Mengimbau kisah zaman sekolah menengahnya dan membawa kepada detik awal pengajian peringkat menara gading, Prof. Ataullah menggambarkan dirinya sebagai contoh tipikal generasi pemberontak.

Pada 1974 tambah Prof. Ataullah, beliau berkesempatan ke Turki dan menulis tajuk berkaitan polisi pemerintahan Sultan dan Khalifah Suleiman Kakuni terhadap Kerajaan Poland bagi mendapatkan Ijazah Sarjana Sastera.

“Ketika berada di situlah saya terpikat dan jatuh cinta dengan laungan azan yang berkumandang di salah sebuah masjid tua di kota Istanbul memanggil umat Islam menunaikan solat.

“Bagai ada semacam desakan dalaman bila mendengarkan kelunakan suara muazin, saya jadi terpana dan tiba-tiba, bulu roma saya meremang. Kaki saya terus melangkah ke arah datangnya suara tersebut tanpa saya ketahui dari mana kekuatan itu diperoleh. Saya disambut seorang lelaki tua rakyat tempatan yang mengajarkan saya cara mengambil wuduk atau bersuci.

“Saya akhirnya mengucap syahadah dengan linangan air mata dan saya mendirikan solat yang pertama iaitu solat Maghrib,” akui Prof. Ataullah yang memaku setiap hadirin dari meninggalkan majlis malam itu.

Akui beliau lagi, pertama kali dalam hidupnya dirasakan tenang dan tenteram iaitu selepas bergelar muslim.

Berkongsi pengalamannya sebelum dipenjarakan, kata Prof. Ataullah pada 1980 beliau melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Sejarah Falsafah. Di tengah-tengah kancah revolusi sosial yang berlaku di Poland, beliau menjadi aktivis, pensyarah dan pengasas Solidarity Movement.


Dipenjarakan

Selepas Pemerintahan Tentera pada Disember 1981, Prof. Ataullah bersama seramai 12,000 intelektual bangsa Poland telah dipenjarakan beramai-ramai di kem tahanan dekat sempadan Kesatuan Soviet.

“Sewaktu di dalam penjara inilah hanya Tuhan sahaja tahu bagaimana penyeksaan yang terpaksa ditanggung. Kami diseksa 24 jam dengan teruk dan pada masa itulah saya mula mempercayai dan teringatkan kepada Tuhan.

“Benarlah bagai dikata, hamba akan lebih mengingati kepada Tuhannya apabila berhadapan dengan kesusahan dan penderitaan. Pada masa itulah saya berdoa sekiranya saya dibebaskan, saya akan mengakui kewujudan Allah dan sujud kepada-Nya.

“Alhamdulillah, keesokkan harinya saya bebas dan dibenarkan pulang. Saat itu amat gembira kepada saya dan sekali gus memantapkan lagi keyakinan saya kepada Allah itu,” kata Prof. Ataullah yang dibebaskan pada 1983 di mana beliau menerima perlindungan politik di Amerika Syarikat.

Semenjak itu, beliau menetap di Texas dan pada 1985, Prof. Ataullah mengerjakan haji sebagai yang pertama dalam sejarah Silesian.

Selepas kejatuhan komunis di Eropah Barat, beliau telah berhijrah ke Bosnia, Albania, Jerman, Lithuania, Hungary, Bulgaria dan Romania. Pada 1990 beliau menjadi pensyarah dan Pakar Eropah dan Asia di Universiti Islam Antarabangsa Islamabad di Pakistan.

Beliau merupakan saksi kepada kejatuhan penaklukan komunis di Afghanistan pada 1991. Manakala pada 1992, beliau bergelar pensyarah pelawat di UNISA, Pretoria di Republik Afrika Selatan di mana beliau menjadi saksi kepada kejatuhan apartheid. Setahun kemudian, Prof. Ataullah mula menjadi tenaga pengajar di UIAM.

Prof. Ataullah pernah dianugerahkan dengan pingat Struggle for Freedom and Independence pada 1995 dan juga pada tahun ini.

Beliau kini mempunyai empat cahaya mata iaitu Khalid, Tareq, Sumayyah dan Salaheddin hasil perkahwinan beliau dengan Peguam Syarie berbangsa Palestin, Mariam binti Abdurrahman Ktaila.

Sempat berseloroh dengan kisah pertemuannya dengan isteri sebelum membawa mereka ke jinjang pelamin, Prof. Ataullah pandai mengambil hati hadirin yang tidak kering gusi mendengarkan pengalamannya memikat dan memilih calon isteri.

Di Malaysia, Prof. Ataullah mengakui menggemari buah durian, Gunung Kinabalu, Pulau Perhentian, Terengganu, budaya masyarakat Minangkabau dan keris-keris asli.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Ya Allah semoga keluargaku esp anak-anak ku di beri hidayah seperti itu juga....Aminnn

Catatan popular daripada blog ini

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal Oleh Yusmairan Mat Yusoff Petikan Berita Harian MENJANGKAU usia 40 tahun membawa persepsi berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, menginjak usia berkenaan bagaikan baru saja memasuki permulaan hidup sebenar, semangat baru dan semakin matang. Wanita pula dikaitkan dengan perkara negatif dan musim saham mula menurun. Jika dilihat dari segi kematangan, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Ada gadis mula haid seawal sembilan tahun tetapi lelaki sesetengahnya sudah memasuki usia 17 tahun tetapi belum lagi mencapai tahap berkenaan. Bagi yang mempunyai anak lelaki dan perempuan mereka boleh melihat perkara yang sama. Baru berusia 11 tahun anak perempuan sudah pandai mengemas tempat tidur, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kawasan rumah tetapi lelaki tingkatan tiga pun masih ada yang tidak tahu membuatnya. Semua urusan khususnya pengurusan diri diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Oleh sebab beberapa faktor itulah, kehidupan s

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini
Zamri Mohamad adalah penulis 20 buah buku , jurulatih penulis bebas  di kursuspenulisan.com , perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi .