Langkau ke kandungan utama

Usah prejudis, buat sahaja benda baik...


Berapa kali dalam hidup kita teringat zaman sekolah? Aku tidak tahu untuk ke berapa kali aku tiba-tiba tersenyum mengenang zaman persekolahan yang aku lalui. Peristiwa paling ganjil tetapi benar ialah kehilangan rakan-rakan ketika tingkatan tiga. Kebanyakan rakan-rakan beria-ia hendak ke sekolah teknik selepas keputusan PMR keluar.

Dalam beberapa belas orang rakan-rakan yang aku temui setiap hari, kesemuanya menghilangkan diri dari Sekolah Tinggi Melaka pada hari pertama kemasukan pelajar. Masing-masing telah menyambung pengajian mereka di sekolah teknik pilihan. Aku jadi orang asing ketika memasuki tingkatan empat. Tetapi ada hikmahnya, aku mengenali lebih ramai rakan-rakan baru. Pernah satu ketika aku berazam hendak menaiki pentas menerima hadiah sebagaimana rakan-rakan lain. Rasa seperti orang yang gagal sahaja apabila keseorangan.

Kali kedua ia berlaku lagi selepas peperiksaan tingkatan lima. Semua rakan-rakan sekelas sekali lagi meninggalkan aku seorang diri lagi ke universiti masing-masing. Cuma aku sahaja yang meneruskan pengajian ke tingkatan enam. Itu pun setelah dicabar oleh ayah yang meminta aku bekerja sahaja. Teringat pula keadaan aku bersusah payah menaiki tangga Bank Simpanan Nasional (BSN) hampir 25 anak tangga dengan kaki kanan bersimen untuk membeli borang kemasukan ke IPTA.

Kali ini aku terpaksa menempuhi pengalaman baru dengan rakan-rakan majoriti berbangsa Cina dalam tingkatan enam. Sesekali rakan-rakan lama ketika tingkatan lima dahulu datang melawat guru-guru di sekolah. Cemburu pula apabila mendengar cerita-cerita mereka di kampus.

Tetapi dalam keadaan begitu, aku bersyukur kerana menemui rakan-rakan yang budiman dan baik budi bahasa. Kegilaan remaja adalah perkara normal. Meskipun kami merupakan pelajar-pelajar Melayu paling minoriti dalam kelas, tetapi ia tidak menjadi masalah.

Ketika kami memasuki tingkatan enam rendah, rakan-rakan Melayu hanya enam orang sahaja. Lucunya apabila tiga daripada kami mengikat janji untuk duduk di meja baris hadapan sekali apabila bertukar kelas. Ia merupakan kejayaan kecil kami pada hari itu. Sepanjang seminggu, rakan-rakan lain membuat tawar menawar untuk di depan.

Salah satu perkara yang aku selalu percaya dan perjuangkan ialah berkongsi tanpa mengira siapa di hadapan kita. Dalam diri kita sememangnya ada sedikit sentimen bangsa, tetapi dalam perkembangan ilmu aku selalu percaya semua orang berhak belajar dan tahu apa yang kita ada. Kerana isu itu juga ada kalanya aku terlibat dalam perdebatan kecil.

Aku tidaklah terlalu meminati sejarah sebagaimana orang lain yang boleh menghafal dan memberi komen yang hebat-hebat. Kerana itu, aku selalu meminta rakan-rakan lain turut serta dalam kumpulan belajar. Cukup mudah, edarkan salinan soalan peperiksaan yang mereka terima dari sekolah lain dan masing-masing mencatat nota ringkas mengikut bab dan buatkan salinan untuk yang lain.

Sehinggalah ujian percubaan dan peperiksaan sebenar, aku terlihat mereka mempunyai set soalan sejarah yang agak tebal. Rupa-rupanya aku tidak diberitahu tentang itu. Mereka mengedarkan soalan-soalan ramalan sesama mereka. Apabila ditanya, mereka berkata baru sahaja diterima, tak sempat memberitahuku.

Walaupun berhadapan dengan keadaan yang mengejutkan itu, aku tetap dengan rasa percaya bahawa berkongsi apa yang kita tahu itu perlu diteruskan. Pernah seorang rakan Cina bertanya kenapa aku hendak berbuat demikian? Jawabku mudah sahaja, "Kita tolong orang, Tuhan tolong kita..."

Selepas peperiksaan STPM diumumkan, cikgu Sim Swee Neo yang mengajarku Sejarah Islam dan cikgu Manugaran Manogaran yang mengajarku Sejarah Dunia serta Sejarah Malaysia menghulurkan keputusan peperiksaan dengan ucapan tahniah.

Keputusan subjek Sejarah A

Sebulan selepas itu, dalam buku majalah sekolah Optimist

Hadiah Pengetua ( Tn Hj Rafie Mahat )
Zamri b Mohamad

"Kita tolong orang, Tuhan tolong kita..."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal Oleh Yusmairan Mat Yusoff Petikan Berita Harian MENJANGKAU usia 40 tahun membawa persepsi berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, menginjak usia berkenaan bagaikan baru saja memasuki permulaan hidup sebenar, semangat baru dan semakin matang. Wanita pula dikaitkan dengan perkara negatif dan musim saham mula menurun. Jika dilihat dari segi kematangan, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Ada gadis mula haid seawal sembilan tahun tetapi lelaki sesetengahnya sudah memasuki usia 17 tahun tetapi belum lagi mencapai tahap berkenaan. Bagi yang mempunyai anak lelaki dan perempuan mereka boleh melihat perkara yang sama. Baru berusia 11 tahun anak perempuan sudah pandai mengemas tempat tidur, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kawasan rumah tetapi lelaki tingkatan tiga pun masih ada yang tidak tahu membuatnya. Semua urusan khususnya pengurusan diri diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Oleh sebab beberapa faktor itulah, kehidupan s

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini
Zamri Mohamad adalah penulis 20 buah buku , jurulatih penulis bebas  di kursuspenulisan.com , perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi .