Langkau ke kandungan utama

Ulama muda contoh


Ulama muda contoh
Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

JIKA anda merasa megah dengan menghasilkan pelbagai jenis novel, buku panduan peperiksaan, mahupun antologi cerpen dan puisi atau apa sahaja, anda sepatutnya lebih kagum dengan kebolehan luar biasa Muhammad Fuad Kamaludin - penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan.

Ini kerana pemuda berusia 32 tahun ini telah membuktikan dirinya `ulama muda' yang berjaya menghasilkan 115 buah kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli pengajian serta menjadi rujukan kepada ulama lain, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di luar negara.

Logiknya, menggarap buku yang diilhamkan dengan fiksyen semata-mata boleh dilakukan oleh mana-mana penulis pun, tetapi menghasilkan sebuah kitab yang kemudian diguna pakai oleh ahli pengajian, tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, jika penulis itu tidak mempunyai ilmu yang cukup tinggi.

Malahan, keilmuwan Muhammad Fuad ini turut mendapat pengiktirafan pakar hadis dari Mekah, Almarhum Prof. Dr. Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki dalam satu majlis ilmu di Mekah yang menyifatkan pemuda Rembau ini sebagai ulama dari Malaysia.

Turut mengiktiraf keupayaan Muhammad Fuad ini ialah bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Almarhum Datuk Mursyid Diraja Tajuddin Abdul Rahman.

Sebab itulah pemuda yang dilahirkan pada 16 September 1974 di Kampung Chenong Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan ini mempunyai semangat luar biasa dan disiplin diri yang kuat untuk berkhidmat kepada ahli ilmu.

Beliau merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud.

Ketika ditemui, Muhammad Fuad berkata, selagi dipanjangkan umur, beliau akan terus menulis kitab. Semua ini katanya, untuk dijadikan ba-han rujukan kepada generasi akan datang.

Berbual-bual dengan anak murid tokoh ulama besar di Mekah, Almarhum Prof. Dr. Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki, bapa kepada Syeikh Ahmad Muhammad al-Maliki ini, terserlah perwatakannya yang cukup dedikasi dan seorang yang lemah lembut.

Malah, di dinding madrasah di Kampung Bukit Sembilan, terpampang pelbagai sijil pengiktirafan terhadap ilmu beliau oleh pelbagai ulama dunia Islam.

Pendidikan

Dengan kemampuan inilah, beliau berjaya menghasilkan tiga buah kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 buah kitab karangan fikah, sembilan buah kitab karangan tasawuf, enam buah kitab karangan sirah, 10 buah kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan.

Malah, beliau yang merupakan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan, juga menulis 12 kitab bahasa Arab (Al Toli'al Sa'id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asand) - kitab yang berkaitan ilmu hadis dan diterbitkan di Mesir.

Muhammad Fuad turut dijemput untuk memberikan ceramah dan kuliah di Singapura dan Mesir.

Kitab karangan beliau dalam bahasa Arab ini mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh Universiti Al Azhar, Mesir.

``Tuan guru saya, Almarhum Dr. Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki boleh menulis kitab setebal 150 muka surat dalam tempoh semalaman. Inilah yang mendorong saya untuk mencontohi komitmen beliau. Yang penting adalah disiplin diri,'' katanya.

Muhammad Fuad juga merupakan pengasas dua madrasah Kampung Bukit Sembilan dan di Kampung Chenong, Chengkau, Rembau.

Di situlah beliau membimbing anak yatim yang lemah, selain memastikan mereka mendapat pendidikan secukupnya dunia dan akhirat.

Kelas pengajian untuk awam juga dijalankan di madrasah berkenaan setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Bagi Muhammad Fuad, hakikat untuk menjadikan konsep dakwah dengan penuh kasih sayang inilah telah mendorong beliau mengasaskan sebuah yayasan yang dinamakan Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS).
Yayasan ini kini menempatkan golongan anak yatim dan anak-anak yang lemah.

YSNS juga menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menerima ulama dari luar negara, majlis ilmu, ibadah korban, anak yatim, percetakan dan sebagainya.

Semua idea ini dicetuskan oleh Muhammad Fuad demi masa hadapan umat Islam dan generasi akan datang.

``Saya mementingkan kebajikan umat Islam dan pada masa yang sama, saya juga memerangi mana-mana ajaran yang ekstremis dan memecahbelahkan umat Islam. Saya mengajar cara membentuk akidah yang betul dan mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah,'' katanya.

Jadi, tiada sebab kita tidak mengagumi kebolehan luar biasa Muhammad Fuad ini dan kepada pemuda seusia beliau, contohilah komitmen pemuda dari Rembau, Negeri Sembilan ini dalam memperjuangkan agama Islam.

Kepada penduduk di Negeri Sembilan, anda sebenarnya bertuah kerana mempunyai `ulama muda' di negeri ini.

Sementara itu, bapa dan ibu Muhammad Fuad, Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud bersyukur dengan kejayaan anaknya itu dan berharap ia akan menjadi pendorong kepada generasi muda untuk terus berdakwah demi menegakkan agama Islam ini.

``Kami gembira dengan kejayaan Muhammad Fuad dan berharap kejayaan beliau menjadi contoh kepada generasi muda akan datang,'' kata mereka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal Oleh Yusmairan Mat Yusoff Petikan Berita Harian MENJANGKAU usia 40 tahun membawa persepsi berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, menginjak usia berkenaan bagaikan baru saja memasuki permulaan hidup sebenar, semangat baru dan semakin matang. Wanita pula dikaitkan dengan perkara negatif dan musim saham mula menurun. Jika dilihat dari segi kematangan, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Ada gadis mula haid seawal sembilan tahun tetapi lelaki sesetengahnya sudah memasuki usia 17 tahun tetapi belum lagi mencapai tahap berkenaan. Bagi yang mempunyai anak lelaki dan perempuan mereka boleh melihat perkara yang sama. Baru berusia 11 tahun anak perempuan sudah pandai mengemas tempat tidur, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kawasan rumah tetapi lelaki tingkatan tiga pun masih ada yang tidak tahu membuatnya. Semua urusan khususnya pengurusan diri diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Oleh sebab beberapa faktor itulah, kehidupan s

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini
Zamri Mohamad adalah penulis 20 buah buku , jurulatih penulis bebas  di kursuspenulisan.com , perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi .