Langkau ke kandungan utama

Kempen global antiperang patut disegerakan

Kempen global antiperang patut disegerakan
Laporan Berita Harian 15,16 & 17 Disember 2005
Oleh Jamhariah Jaafar

SEJUMLAH 360 tan senjata mengandungi uranium digunakan dalam pencerobohan Amerika Syarikat (AS) di Iraq pada 1991. Tiga tahun selepas itu, pakar perubatan di Basrah mendapati barah di kalangan kanak-kanak bertambah dan sekarang ia meningkat tujuh kali ganda, 700 peratus dan kehabisan ikhtiar untuk merawat mereka.

Kejadian itu menyaksikan ada kanak-kanak dilahirkan tanpa memiliki otak, hanya memiliki sebelah mata, tidak ada tangan. Wanita Iraq amat gerun untuk melahirkan anak, gerun untuk melihat apa yang bakal keluar dari rahim mereka. AS dan sekutu sudah mencemarkan ‘buaian tamadun manusia’ seumur hidup kerana semua mangsa perang ini dan pewaris mereka terpaksa hidup dengan penyakit barah seumur hidup.

Gambaran yang diluahkan Pengasas dan Presiden Institut Penyelidikan Dasar Nuklear (NPRI) Amerika Syarikat, Dr Helen Caldicott pasti menggerunkan lebih 2,000 tetamu Forum Keamanan Sejagat Perdana, di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Namun, persoalannya ialah berapa lamakah kegerunan itu akan bertahan?

Dunia mendengar pelbagai cerita sedih dan gerun, mengundang dan mencetus pelbagai perasaan marah, sedih dan semangat yang berkobar. Ironinya, ia hanya untuk seketika, sebelum majoriti kumpulan terbabit hanyut kembali dengan kesibukan masing-masing.

Apa yang bakal tinggal hanya Dr Caldicott dan kumpulan yang sudah melalui, menginsafi dan menyedari perlu wujud kumpulan yang ikhlas meneruskan perjuangan mendesak pemimpin dunia yang saling berlumba membuktikan siapakah yang lebih berkuasa.

Justeru, pengajaran paling penting bagi manusia untuk melihat dengan mata sendiri. Lebih baik jika melalui sendiri pengalaman perit setiap cerita sedih yang didengar.

Perjalanan ke monumen bersejarah di Hiroshima, Jepun membuatkan diri insaf terhadap bahana perang nuklear. Lawatan ke Pearl Harbour, Hawaii, pasti membakar diri dengan kebencian dan tertanya-tanya mengapa Perang Dunia Kedua perlu berlaku.

Melihat senarai nama tentera AS bertali arus di sebuah monumen di Washington, membuatkan diri bertanya apakah berbaloi maut atas perjuangan yang tidak ada kena mengena dengan mereka.

Dunia sudah melihat betapa perasaan marah dan ingin menunjukkan diri lebih berkuasa. Menyaksikan Afghanistan hampir menjadi padang jarak padang tekukur. Rakyat Iraq dibedil hanya kerana bekas presidennya dipercayai menyembunyikan senjata pemusnah. Iran dan Syria kini diancam dengan tindakan yang sama jika enggan tunduk kepada tekanan kuasa dunia itu.

Forum Keamanan Sejagat Perdana anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah berani dan lantang untuk menjadi satu lagi suara dunia bagi mendesak pelbagai kuasa besar supaya berhenti daripada menggunakan kekerasan dan keganasan dalam mencapai agenda masing-masing. Kelantangan Dr Mahathir memang diketahui dunia, tetapi manusia yang waras fikiran sudah pasti tidak dapat menolak kebenaran yang disuarakan.

“Persidangan ini tidak patut dijadikan tempat untuk menyuarakan kekecewaan. Ia patut dijadikan usaha ke arah tindakan positif menjadikan keamanan sebagai isu politik, ekonomi dan sosial yang serius bagi setiap negara. Bagi tujuan itu, jangan biarkan diri kita keliru dengan memberi keamanan begitu banyak interpretasi. Biar kita hanya berkata makna keamanan adalah dengan tiadanya peperangan, cukup setakat itu.

“Hanya selepas kita mengecap keamanan, perkara lain untuk membuatkan hidup lebih bermakna dan usaha untuk mencipta kebahagiaan, boleh dicapai,” katanya.

Dr Caldicott yang berjuang 35 tahun di arena antarabangsa untuk mendedahkan kepada masyarakat dunia bencana yang bakal berlaku jika perang nuklear meletus adalah antara 25 penceramah yang tidak ragu-ragu menceritakan bahana yang menunggu manusia sekiranya penggunaan dan ujian untuk mencipta senjata pemusnah itu tidak dihentikan secepat mungkin.

“Senjata nuklear terbaru yang digunakan di Afghanistan dan Iraq baru-baru ini membabitkan 15,000 bahan letupan menghasilkan kesan negatif membuatkan bebola mata terkeluar dan jantung manusia pecah.

“Plastik bom yang digugurkan seperti ‘peanut butter’ mengandungi bahan letupan yang menarik perhatian kanak-kanak di negara terbabit, tetapi apabila dipungut, akan meletup dan menanggalkan kepala manusia,” cerita wanita ini tanpa perlu merujuk kepada sebarang nota.

Memberi gambaran lebih gerun membabitkan persaingan membina senjata nuklear di antara Russia dan AS, disusuli dengan negara dunia lain, Dr Caldicott berkata, teknologi baru menyaksikan semua negara nuklear kini sibuk menyediakan pertahanan ruang angkasa.

Satu suruhanjaya AS 2001 yang diketuai bekas Setiausaha Pertahanan, Donald H Rumsfeld, pernah mengeluarkan laporan bahawa AS perlu mengekalkan penguasaannya di ruang angkasa dengan melindungi semua satelit dimiliki, menafikan ruang terbabit daripada dikuasai oleh musuh dan mengenalkan kemampuan untuk menyerang sasaran dari atau di dalam ruang angkasa itu sendiri.

“Kita tidak boleh duduk diam saja sekarang. Media massa perlu melapor perkara sebenarnya. Satelit yang dibina kuasa nuklear sekarang bersedia untuk memusnahkan antara satu sama lain.

“Kini apabila tengok ke langit kita mungkin nampak lebih banyak satelit daripada bintang yang bertaburan,” katanya serius tetapi disambut dengan ketawa hadirin.

Bagaimanapun, Dr Caldicott tiada masa untuk berjenaka kerana kegilaan manusia untuk membunuh atas nama peperangan perlu dihentikan secepat mungkin.

“Pernahkah anda melihat bayi meninggal atau membantu bayi menemui maut lebih awal atau memberitahu ibu bapa bahawa anak mereka sudah meninggal dunia. Ia adalah perkara paling sukar dan terburuk yang pernah saya lakukan.

“Saya menolong bayi menemui maut lebih awal dan spesies kehidupan lain. Terserah kepada kita kini, adakah kita mempunyai keberanian untuk menyelamatkan planet ini?

“Saya merayu terutama kepada wanita yang menguasai 53 peratus daripada penduduk dunia hari ini untuk menggunakan kuasa melahirkan manusia bertindak mulai sekarang.

“Tembusilah semua agensi, syarikat atau badan dunia kerana hanya berganding dengan lelaki, kita akan mampu untuk membawa dunia kepada suasana yang lebih waras dan selamat.”

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, selaku penaung Aman Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menjadi penganjur bersama persidangan ini, berkata: “Persidangan hari ini lebih daripada sekadar retorik dan perbincangan. Kita bukan berada di sini untuk meluahkan rasa kecewa terhadap dunia yang ganas dan tidak adil ini.

“Kita bukan berada di sini untuk menganalisis keadaan kita. Kita berada di sini untuk berfikir dan bertindak bersama, untuk melancarkan kempen global untuk berkata ‘tidak’ kepada peperangan.”

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam mesej kepada peserta forum mendesak manusia untuk mengimpikan dunia aman dan makmur, dan berpegang teguh kepada mimpi itu.

“Saya meminta anda semua supaya jangan sekali-kali melupakan mimpi untuk memiliki sebuah dunia yang bebas daripada malapetaka ancaman nuklear.

“Jika kita menjejak mimpi, terus mendengar suara hati kecil, terus bertindak dengan berani, berjalan atas landasan keamanan dan tidak mudah berputus asa, kita akan tegak berdiri sebagai manusia bertamadun,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal Oleh Yusmairan Mat Yusoff Petikan Berita Harian MENJANGKAU usia 40 tahun membawa persepsi berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, menginjak usia berkenaan bagaikan baru saja memasuki permulaan hidup sebenar, semangat baru dan semakin matang. Wanita pula dikaitkan dengan perkara negatif dan musim saham mula menurun. Jika dilihat dari segi kematangan, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Ada gadis mula haid seawal sembilan tahun tetapi lelaki sesetengahnya sudah memasuki usia 17 tahun tetapi belum lagi mencapai tahap berkenaan. Bagi yang mempunyai anak lelaki dan perempuan mereka boleh melihat perkara yang sama. Baru berusia 11 tahun anak perempuan sudah pandai mengemas tempat tidur, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kawasan rumah tetapi lelaki tingkatan tiga pun masih ada yang tidak tahu membuatnya. Semua urusan khususnya pengurusan diri diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Oleh sebab beberapa faktor itulah, kehidupan s

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini
Zamri Mohamad adalah penulis 20 buah buku , jurulatih penulis bebas  di kursuspenulisan.com , perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi .