Langkau ke kandungan utama

Ghafar disegani empat PM [3]

Ghafar disegani empat PM
BAHAGIAN AKHIR
Sambungan daripada rencana bertajuk ``Ghafar Baba saksikan usaha merdeka'' yang disiarkan di Utusan Malaysia semalam.


Oleh DR. ALIAS MOHAMED

PILIHAN raya pada 11 Mei 1969 membawa malapetaka kepada Perikatan dan negara. Pada 13 Mei 1969 berlaku peristiwa berdarah yang paling buruk iaitu pergaduhan kaum di Malaysia. Menurut Ghafar, sebelum pilihan raya itu beliau sendiri menduga isu besar dalam pilihan raya tersebut ialah soal perkauman.

Walaupun Perikatan menang dalam pilihan raya itu, tetapi kedudukan politik bergelora kerana Perikatan kalah teruk di Pulau Pinang dan Kelantan. Pulau Pinang jatuh ke tangan Gerakan dan di Kelantan Pas terus berkuasa. Wong Pau Nee, Ketua Menteri Pulau Pinang dan kesemua barisan Exconya kalah.

Di Selangor, Perikatan tidak dapat menubuhkan kerajaan kerana kekurangan satu suara. Beberapa orang Menteri dan pemimpin-pemimpin Perikatan kalah, termasuk Tan Sri Senu Abdul Rahman, Menteri Penerangan, Dr. Lim Swee Aun, Menteri Perdagangan, Tan Sri Zahir Ismail (bekas Speaker Dewan Rakyat) dan juga Tun Dr. Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri).

Pada 11 Mei 1969, kata Ghafar, sehari selepas pilihan raya itu, parti pembangkang yang kebanyakannya dianggotai oleh orang Cina, mengadakan perarakan besar di Kuala Lumpur untuk merayakan kemenangan parti mereka. Pada keesokan hari UMNO pula mengadakan perarakan dan akhirnya tercetus pergaduhan. Mengenangkan peristiwa itu, Ghafar masih ingat bahawa pada 12 Mei 1969 ``Saya berada di Royal Selangor Golf Club bersama-sama dengan James Bell, Duta Amerika Syarikat. Tiba-tiba saya dipanggil oleh Tun Razak ke rumahnya. Dalam pertemuan itu kami berbincang tentang keputusan pilihan raya yang buruk itu. Semasa kami sedang berbincang, tiba-tiba Tunku pula memanggil Tun Razak Hussein ke kediamannya. Saya turut sama. Tunku memberitahu bahawa pergaduhan kaum telah tercetus di Kuala Lumpur. Kami bertiga pergi ke Balai Polis Dang Wangi untuk mendapatkan penjelasan daripada pegawai-pegawai polis di situ. Pada sebelah malamnya Tunku mengambil keputusan mengisytiharkan darurat setelah memaklumkan hal itu kepada yang di-Pertuan Agong.''

Menghadiri

Ghafar ditugaskan menjadi pengerusi jawatankuasa menyediakan barang-barang keperluan untuk dibahagi-bahagikan kepada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur yang telah diisytiharkan berkurung.

Pada tahun 1973 Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri, meninggal dunia. Pada waktu itu Tun Razak berada di Jamaica menghadiri Persidangan Komanwel. Sekembalinya dari Jamaica, Tun Razak memanggil Ghafar ke rumahnya untuk membincangkan pengganti Tun Dr. Ismail.

Menurut Ghafar: ``Saya tidak berlengah-lengah lagi mencadangkan agar Tun Hussein Onn, salah seorang Naib Presiden UMNO, diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri. Keesokan harinya, Majlis Tertinggi UMNO menerima Hussein Onn menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Pemangku Timbalan Presiden UMNO.''

Ramai tidak mengetahui bahawa dalam tahun 1974, Ghafar memohon berhenti menjadi Menteri, tetapi tidak disetujui oleh Tun Razak. Dalam tahun 1975 sekali lagi beliau menghantar surat rasmi hendak berhenti. Kali ini pun ditolak. Tun Razak secara terus terang berkata kepada Ghafar bahawa jika sesuatu berlaku ke atas Tun Hussein (kerana uzur pada waktu itu), beliau akan melantik Ghafar menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Tetapi apa yang telah berlaku adalah sebaliknya. Tun Razak terlebih dahulu kembali ke rahmatullah dan Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri.

Menjelaskan hubungannya dengan Tun Razak, Ghafar berkata : ``Hubungan saya dengan Tun Razak amat akrab. Beliau membawa saya ke negara Jepun. Bersama-sama dengannya kami ke Bangsa-Bangsa Bersatu. Tun membawa saya ke Bangkok menghadiri sidang damai Malaysia-Indonesia dan ke Jakarta untuk menandatangani perjanjian damai Malaysia-Indonesia yang ditandatangani oleh beliau bagi pihak Malaysia dan Adam Malik bagi pihak Indonesia.

``Dalam lawatan ini saya menemui Presiden Sukarno buat kali pertamanya. Pada waktu itu beliau tidak berkuasa lagi kerana pemerintahan telah beralih tangan kepada Jeneral Suharto.'' Beliau amat terhutang budi kepada Tun Razak dan juga Tunku.''

Dengan sokongan kedua-dua mereka inilah, katanya, beliau dapat menyertai politik di peringkat kebangsaan sehingga Dr. Mahathir menaruh kepercayaan kepadanya dan mempelawa untuk menjadi timbalannya dalam tahun 1986.

Tun Razak meninggal dunia di London ketika menjalani rawatan. Ghafar menceritakan bagaimana pada suatu hari selepas makan tengah hari beliau tertidur dan bermimpi didatangi oleh seorang yang memakai baju putih dan bercakap dalam bahasa Inggeris memberitahu beliau Tun Razak is dead.

``Saya tersentak dan terkejut daripada tidur. Beberapa minit kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada Hussein Onn yang menjemput saya datang ke rumahnya kerana hendak membincangkan satu masalah yang `sangat besar'.

``Apabila saya sampai ke rumahnya, Hussein Onn memberitahu saya bahawa Tun Razak sedang sakit kuat. Selang tak berapa lama kemudian, Tan Sri (kini Tun) Ghazali Shafie pula sampai dan membawa khabar yang lebih buruk. Katanya, Tun Razak telah meninggal dunia.

``Keadaan menjadi kaku. Kami semua diselubungi oleh perasaan sedih yang tidak terhingga. Saya melarikan diri ke dalam bilik air kerana tidak dapat menahan perasaan dan mencurahkan air mata yang tidak dapat ditahan-tahan.

``Saya merasa diri saya dan seluruh rakyat telah hilang tempat bergantung dan sukar hendak mencari pemimpin penggantinya. Beliau ialah seorang pemimpin yang bekerja keras, jujur, baik dan disegani oleh pihak kawan dan lawan.''

Ghafar menceritakan satu peristiwa dalam tahun 1976 di mana beliau ditugaskan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pengebumian Jenazah Allahyarham Tun Razak. Jenazah Tun Razak dibawa balik dari London dan diletakkan di kediaman rasmi Perdana Menteri, Sri Taman.

Kata Ghafar : ``Kira-kira jam 3.00 pagi orang telah pun tidur kerana keletihan, kecuali saya dan beberapa orang ahli keluarganya sahaja yang masih duduk menghadap jenazah tersebut. Tiba-tiba saya teringat keranda jenazah Tun Razak yang dibawa dari London itu tidak sesuai. Jadi sebuah keranda baru mesti dibuat segera.

``Saya serta-merta memerintah polis supaya mencari seorang tukang kayu untuk membuat keranda baru mengikut yang biasa digunakan. Nasib baik keranda itu dapat disiapkan sebelum pukul 10.00 pagi esoknya. Pengebumian tidak boleh ditangguhkan. Bukan sahaja masa pengebumian telah diisytiharkan kepada umum, malah kita perlu menghormati pemimpin-pemimpin negara yang akan datang memberi penghormatan terakhir kepada Tun.''

Kata Ghafar lagi: ``Lebih 200,000 rakyat, terutama yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur, memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Tun Razak di bangunan Parlimen. Banyak cermin dinding bangunan Parlimen pecah kerana orang ramai berpusu-pusu dan tolak-menolak untuk masuk ke situ memberi penghormatan kepada Allahyarham Tun. Di antara pembesar negara asing ialah Presiden Ferdinand Marcos dari Filipina, Adam Malik dari Indonesia dan Tun Thanat Khoman, Menteri Luar Thailand. Mereka beratur bersama-sama rakyat di upacara pengebumian Tun Razak di makam Masjid Negara.''

Berharap

Apabila Tun Hussein menjadi Perdana Menteri, kata Ghafar, beliau memaklumkan kepadanya untuk tidak menyertai Kabinet. ``Saya ditawarkan menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan Menteri Pertanian.

Selepas itu jawatan itu ditinggalkan kosong selama tiga bulan kerana Tun Hussein berharap Ghafar akan menukar fikiran dan menerima jawatan itu. ``Tetapi saya tetap menolak dan meninggalkan Kabinet,'' demikian tegasnya.

Kemudian pada suatu malam Ghafar dijemput oleh Tun Hussein ke rumahnya untuk membincangkan rombakan semula Kabinet. Turut hadir pada malam itu ialah Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Timbalan Perdana Menteri, dan Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Kewangan. Hussein Onn berhasrat hendak memberhentikan tiga orang menteri penuh dan tiga orang Timbalan Menteri.

``Saya telah diminta oleh Tun Hussein supaya menyampaikan keputusannya ini kepada mereka yang berkenaan,'' kata Ghafar.

``Selepas pilihan raya 1978, Tun Hussein sekali lagi meminta saya kembali ke Kabinet menjadi Menteri bagi hal ehwal bandar raya Kuala Lumpur. Saya menolak juga tetapi terus memegang jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional yang saya pegang semenjak 1974 kerana saya ingin berkhidmat kepada parti dan membantu kerajaan dari luar.''

Dalam tahun 1981, setelah Tun Hussein mengundurkan diri kerana uzur, Dr. Mahathir yang menggantikan Tun Hussein ``pernah meminta saya menjadi Menteri Pelajaran dalam Kabinetnya, tetapi saya menolak dengan baik.''

``Namun saya terus menyokong kerajaan pimpinan Dr. Mahathir secara terbuka.''

Dalam tahun 1983 satu krisis perlembagaan telah berlaku. Majlis Tertinggi UMNO memutuskan supaya sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Ghafar. Ahli-ahlinya terdiri daripada Datuk Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Kamaruddin Mat Isa, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Mustapha Jabar, bekas Setiausaha Agung UMNO dan Marina Yusof, seorang peguam dan bekas pemimpin wanita UMNO. Tugas jawatankuasa ini ialah bagi menemui Raja-Raja Melayu untuk menjelaskan tujuan pindaan perlembagaan itu.

Dalam ucapan penutupnya di perjumpaan itu, Ghafar memberi pandangan beliau bahawa kedaulatan Raja-Raja terletak dalam sanubari hati rakyat. Jika rakyat bersimpati dan menaruh perasaan kasih sayang kepada Raja-Raja, maka pemerintahan Raja Berperlembagaan akan berkekalan.

Dalam bulan Mac 1986 Tan Sri Musa Hitam meletakkan jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Majlis Tertinggi UMNO bersidang hingga larut malam membincangkan peletakan jawatan Musa. ``Saya tidak hadir di mesyuarat itu kerana berada di Hong Kong,'' katanya. Tetapi selepas itu Dr. Mahathir menelefon beliau di Hong Kong meminta pulang untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ghafar juga mendedahkan pertama kalinya tentang penglibatan beliau dalam politik Sabah.

``Pada suatu hari dalam tahun 1962'' kata Ghafar, ``saya bersarapan pagi bersama-sama Tunku di kediamannya. Dalam perbualan itu Tunku memberitahu cadangannya untuk membawa Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tunku meminta saya merahsiakan dahulu cadangannya itu kerana beliau akan memberi ucapan mengenainya di kelab wartawan di Singapura.''

Dalam tahun 1972 pula satu krisis politik meletus di Sabah. Waktu itu Sabah di bawah pemerintahan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang dipimpin oleh Tun Datu Mustapha Harun. Sebahagian ahli USNO telah keluar daripada parti itu dan menubuhkan Parti Berjaya yang dipimpin oleh Donald Stephen. Pimpinan Berjaya kemudian diambil alih oleh Datuk Harris Salleh setelah Donald meninggal dunia dalam satu kemalangan udara. Dalam pilihan raya negeri Sabah selepas itu Berjaya menang dan memerintah Sabah.

Apa yang ingin dinyatakan oleh Ghafar ialah tidak disangka-sangka nama beliau dikaitkan dengan penubuhan parti Berjaya. ``Sebenarnya, saya sama sekali bukan sahaja tidak terlibat tetapi tidak tahu asal usul mengapa parti Berjaya itu ditubuhkan,'' jelasnya terus terang. Kisah sebenar pada hari penubuhannya Tun Razak meminta saya bercakap menerusi telefon kepada pemimpin-pemimpin yang terlibat hendak menubuhkan parti Berjaya, khususnya Donald dan Ghani Gilong, supaya membatalkan rancangan mereka. Tetapi mereka enggan mematuhi nasihat tersebut.

Campuran

``Kemudian beberapa orang pemimpin politik negeri Sabah sendiri yang terlibat dalam pergolakan itu menulis surat pengakuan kepada saya menyatakan yang saya tidak terlibat dalam penubuhan Berjaya sebagaimana yang didakwa oleh setengah-setengah pihak,'' jelas Ghafar.

Lebih 10 tahun kemudian Ghafar sekali lagi dikaitkan dengan politik negeri Sabah. Katanya: ``Dalam tahun 1985 pemerintahan Berjaya di Sabah bertukar tangan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS). Dr. Mahathir dan saya pergi ke Sabah meminta supaya PBS menubuhkan sebuah kerajaan campuran dengan USNO, tetapi permintaan itu ditolak oleh Datuk Joseph Pairin Kitingan. Akhirnya USNO menjadi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.''

Ghafar juga menceritakan bagaimana UMNO membuat keputusan untuk masuk ke Sabah. Dalam pilihan raya 1990, katanya, PBS (salah satu anggota Barisan Nasional ketika itu yang diberi bertanding sebanyak 14 kerusi Parlimen di Sabah) bertindak keluar BN empat hari sebelum hari membuang undi. PBS menyertai barisan pembangkang yang terdiri daripada Semangat 46 dan DAP.

Pada malam itu Majlis Tertinggi UMNO mengadakan sidang tergempar di kediaman Perdana Menteri dan dengan sebulat suara memutuskan supaya UMNO masuk ke Sabah. Ghafar sekali lagi dikirimkan ke sana untuk membantu enam orang calon USNO yang bertanding dalam pilihan raya itu. Keenam-enam calon USNO akhirnya mendapat kemenangan.

- DR. ALIAS MOHAMED ialah bekas Setiausaha Akhbar kepada Tun Ghafar Baba.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal Oleh Yusmairan Mat Yusoff Petikan Berita Harian MENJANGKAU usia 40 tahun membawa persepsi berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, menginjak usia berkenaan bagaikan baru saja memasuki permulaan hidup sebenar, semangat baru dan semakin matang. Wanita pula dikaitkan dengan perkara negatif dan musim saham mula menurun. Jika dilihat dari segi kematangan, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Ada gadis mula haid seawal sembilan tahun tetapi lelaki sesetengahnya sudah memasuki usia 17 tahun tetapi belum lagi mencapai tahap berkenaan. Bagi yang mempunyai anak lelaki dan perempuan mereka boleh melihat perkara yang sama. Baru berusia 11 tahun anak perempuan sudah pandai mengemas tempat tidur, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kawasan rumah tetapi lelaki tingkatan tiga pun masih ada yang tidak tahu membuatnya. Semua urusan khususnya pengurusan diri diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Oleh sebab beberapa faktor itulah, kehidupan s

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini
Zamri Mohamad adalah penulis 20 buah buku , jurulatih penulis bebas  di kursuspenulisan.com , perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi .