Langkau ke kandungan utama

Senyumlah | Cerita si anak pada tahun baru


Seorang kanak-kanak menconteng-conteng kertas selepas menulis. Kanak-kanak itu kelihatan marah dengan apa yang ditulisnya sendiri.

Pada awalnya, dia kelihatan gembira menulis satu persatu mengikut urutan. Kelihatan nombor menjadi permulaan bagi setiap ayat pada garis berbeza. Satu, dua, tiga dan kemudian diikuti ayat setiap satunya.

Tidak lama kemudian dia menconteng-conteng kertas itu. Sekali lagi dia melakukan tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Diambil kertas baharu lalu dilakukan sekali lagi. Tulis dan conteng. Ia berulang-ulang tanpa berhenti.

Seorang lelaki menghampiri kanak-kanak yang masih leka dengan pen dan kertasnya. Dia tidak menyedari lelaki itu sedang berdiri di belakang memerhatikan tingkah lakunya. Tangan kanan cepat menconteng garis-garis di atas tulisan sendiri.

Kemudian tangan lelaki itu memegang tangan kanak-kanak itu. Terhenti contengan dan kanak-kanak itu menoleh melihat siapakah yang menghalangnya.

Kanak-kanak itu bertanya, “Apa sedang ayah lakukan di sini?” apabila melihat ayahnya yang masih memegang tanganya.

Ayahnya ketawa dan membalas semula, “Apa yang sedang kamu lakukan ini?”

Anaknya melepaskan pensil di tangan dan masih membiarkan ayah memegang tangan kanan yang ligat menulis dan menconteng tadi. Matanya masih memerhatikan kertas yang sudah dipenuhi garisan dan huruf.

Kemudian anaknya memandang ayahnya kembali dan berkata, “Tahun hadapan saya sudah masuk ke darjah lima.”

Ayahnya mengangguk, “Benar, tahun hadapan kamu sudah beralih kelas. Tetapi masih di sekolah yang sama.”

Anaknya membalas dan kali ini anaknya memusingkan tubuh agar berhadapan dengan ayahnya, “Sebelum cuti sekolah yang lalu, guru sudah mengasingkan kami mengikut kelas yang akan kami ikuti tahun hadapan. Kemudian kami diperkenalkan dengan guru kelas yang baharu.”

“Bagusnya sekolah itu, sekolah belum bermula tetapi sudah bertindak awal. Mudahlah kamu. Tidaklah runsing mencari kelas dan mengenal guru kelas kelak. Rakan-rakan pun sudah awal-awal lagi sudah ada tempat duduk masing-masing,” ayah memuji bersungguh-sungguh.

Anaknya mengangguk-angguk.

Ayahnya bertanya soalan, “Jika begitu baik sekali usaha sekolah kamu, apa yang digusarkan?”

Anaknya menarik kertas yang diconteng-contengya awal tadi. Diberikan sehelai kepada ayah. Mata ayah galak membaca satu demi satu ayat yang ditulis. Ada sesetengah perkataan diulang baca kerana terhalang dengan garis contengan yang tebal.

Kertas itu mengandungi apa yang perlu dilakukan pada tahun hadapan. Setiap satu ditulis dengan begitu teliti.

Ayah tersenyum melihat tulisan anaknya, “Kamu dilantik menjadi ketua kelas?” mata ayah tidak lagi melihat kertas, sebaliknya memandang anaknya dengan gembira.

Anaknya mengangguk-angguk lemah. Dia tidak teruja dengan jawatan yang diserahkan kepadanya oleh guru kelas sebelum kelas bermula.

“Menurut guru, ketua kelas tugasnya banyak. Perlu membantu guru mengendalikan kelas semasa beliau berada di situ atau pun ketika ketiadaanya. Saya tidak tahu di mana mahu bermula. Semuanya kelihatan banyak kepada saya,” anaknya mengeluh panjang.

Helaian kertas yang berselerakan di atas lantai dikutip dan disusun satu persatu. Ayah masih membaca setiap satu tulisan anaknya. Sekali-sekala mulutnya terkumat-kamit membaca ayat itu sehingga jelas pada gerakan bibirnya.

Ayah selesai membaca dan bertanya, “Apa yang mahu dirunsingkan? Lakukan sahaja," arahan yang ringkas kepada situasi yang dialami anaknya.

“Tidak semudah itu. Saya sudah senaraikan sebegitu banyak tugas seorang ketua kelas. Tidak ada yang semudah lakukan sahaja. Satu persatu sudah membebankan saya,” si anak mengadu rasa.
“Beritahu ayah apakah yang perlu dilakukan oleh seorang ketua kelas.”

Cepat-cepat anaknya mengambil salah satu helai kertas yang kemas disusun oleh ayah. Lalu ditunjukkan kepada ayahnya.

“Seorang ketua kelas mesti memastikan dirinya memulakan ucapan sejahtera setiap kali guru masuk ke kelas. Seorang ketua kelas mesti memastikan dengan tepat jumlah murid yang hadir bagi tujuan kehadiran kelas. Seorang ketua kelas mesti memastikan para pelajar menghantar buku aktiviti bagi tujuan semakan guru. Semuanya mesti memastikan. Bagaimana jika saya tidak ada di situ,” anaknya memberi pandangan panjang lebar.

Ayah bertanya ringkas, “Selain itu ada perkara lain?”

Anaknya segera membalas, “Menjadi ketua kelas tugasnya berganda. Kemudian perlu ke sekolah agama pada waktu petang. Malam mahu mengulang kaji pelajaran. Saya pun mahu berehat bersama keluarga. Terlalu banyak perlu dilakukan!”

Ayah bertanya ringkas sekali lagi, “Maka apa yang kamu perlukan?”

Anaknya tunduk menghela nafas panjang, “Terlalu banyak perkara, tidak tahu mahu bermula dari mana.”

Ayah tidak membalas segera, diambil sehelai kertas kosong dan mengutip pensel yang separuh pendek digunakan oleh anaknya sebentar tadi. Perlahan-lahan ayah melukiskan empat bulatan pada kertas kosong. Semakin lama, semakin besar bulatan yang dilukis, seolah-olah papan dart bentuknya.

Lukisan ayah berhenti kepada empat bulatan sahaja.

“Mari kita bermula dengan tugas sebagai ketua kelas. Apa yang perlu kamu lakukan?” ayahnya membimbing anaknya.

“Memastikan setiap pagi setiap pelajar mendengar arahan saya bagi mengucapkan selamat pagi setiap kali guru masuk ke kelas.”

Ayah mula menulis pada bulatan pertama dan kedua.

“Jika kamu tidak hadir, siapa akan bantu kamu?”

“Pembantu ketua kelas akan menggantikan saya.”

“Jika pembantu ketua kelas tidak hadir siapa akan bantu kamu?”

Anaknya terdiam. Dia tidak dapat berfikir dengan jelas siapa seterusnya akan dilantik. Tetapi dia tetap mahu mencuba memberi penyelesaian situasi.

Dalam keadaan teruja anaknya menjawab, “Saya akan gilirkan setiap pelajar melakukan setiap pagi. Sekiranya dua puluh orang dalam kelas maka selama dua puluh hari semua orang akan merasa pengalaman menjadi ketua kecil dengan hanya menyebut “Bangun, selamat pagi cikgu! sahaja.”



Kemudian ayahnya mengambil sehelai lagi kertas, “Sekiranya kamu berfikir secara jelas, tidak banyak perkara perlu dilakukan serentak. Kita menyusun gaya berfikir maka kita menyusun tanggungjawab baru yang diberi. Kali ini kita sama-sama selesaikan keinginan kamu mahu berehat bersama keluarga.”

Ayah mengulang tindakan yang sama. Perlahan-lahan ayah melukiskan empat bulatan pada kertas kosong. Semakin lama, semakin besar bulatan yang dilukis

Pensel diserahkan kepada anaknya, lalu dengan cermat anaknya menulis satu persatu apa yang perlu dilakukan. Selesai setiap perkara ditulis dalam setiap bulatan diserahkan kepada ayahnya.



Anaknya melihat kembali setiap satu yang perlu dilakukan bagi mencapai gol berehat bersama keluarga pada hujung minggu.

Dengan nada gembira anaknya berkata, "Jelas dan terancang, ada sahaja pilihan untuk kita melakukan sesuatu jika nampak jalanya."

Ayah menggosok-gosok kepala anaknya, “Kebimbangan kamu mengalahkan orang dewasa sahaja. Semakin dewasa semakin banyak perkara perlu dilakukan. Semakin kita berubah. Tetapi selagi kita merancang bulatan tindakan, kita akan tenang melaksanakan.”

Hidup semakin dewasa semakin kompleks dengan pelbagai tanggungjawab. Tetapi kita tidak tersekat dengan satu-satu cara sahaja. Bina papan dart perancangan bagi setiap tindakan.

---


Zamri Mohamad merupakan trainer yang mengajar teknik penulisan di kursuspenulisan.com dan penulis di PTS

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini
Zamri Mohamad adalah penulis 20 buah buku , jurulatih penulis bebas  di kursuspenulisan.com , perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi .

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal Oleh Yusmairan Mat Yusoff Petikan Berita Harian MENJANGKAU usia 40 tahun membawa persepsi berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, menginjak usia berkenaan bagaikan baru saja memasuki permulaan hidup sebenar, semangat baru dan semakin matang. Wanita pula dikaitkan dengan perkara negatif dan musim saham mula menurun. Jika dilihat dari segi kematangan, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Ada gadis mula haid seawal sembilan tahun tetapi lelaki sesetengahnya sudah memasuki usia 17 tahun tetapi belum lagi mencapai tahap berkenaan. Bagi yang mempunyai anak lelaki dan perempuan mereka boleh melihat perkara yang sama. Baru berusia 11 tahun anak perempuan sudah pandai mengemas tempat tidur, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kawasan rumah tetapi lelaki tingkatan tiga pun masih ada yang tidak tahu membuatnya. Semua urusan khususnya pengurusan diri diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Oleh sebab beberapa faktor itulah, kehidupan s...