Sabtu, November 28, 2009

Bagaikan Aisyah | Cemburu suami dan lampin si bayi


Petikan buku Bagaikan Aisyah di Hati Rasulullah
Sekuel daripada buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah

Oleh Zamri Mohamad



Lelaki dengan kisah cemburu positifnya. Inilah yang saya peroleh semasa sembang-sembang malam bersama seorang sahabat yang merupakan suami dan bapa kepada tiga orang anak.

Cemburu yang baik selalu akan digunakan bagi bertindak dalam memberi hasil yang menguntungkan semua pihak. Beberapa minggu yang lalu, sahabat ini baru sahaja menimang cahaya mata ketiganya, seorang bayi lelaki.

Sempat juga saya bertanyakan bagaimana sahabat ini membahagikan masanya bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil, khususnya yang masih bayi.

“Kami bergilir menjaga bayi. Biasanya, Sabtu dan Ahad memang saya buat habis-habisan. Dari menyediakan susu anak sampailah membasuh kain lampinnya,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Tidak berapa lama kemudian, dia menyambung ceritanya, “Saya memang cemburu pada isteri apabila melihat dia menjaga anak-anak. Cuba saudara beritahu saya. Sehingga hari ini dalam usia saudara, siapakah dalam ahli keluarga yang paling rapat dengan saudara?”

“Ibu,” jawab saya tanpa ragu-ragu.

“Kenapa?” soalnya lagi meminta saya memberi alasan jawapan itu.

“Sebab ibu yang paling rapat dengan diri saya. Dari kecil sampai besar, kebanyakan perkara saya cuba berunding dengan ibu meminta pandangannya.”

“Fahamkah mengapa saya cemburu dengan isteri sendiri?”

Benar kata sahabat ini, tempoh waktu yang lama bersama dalam jagaan ibu menjadikan jarak hubungannya jauh lebih dekat berbanding seorang bapa. Kebanyakan anak mempunyai pengalaman sedemikian dan cemburu seorang lelaki dalam hal kekeluargaan seperti ini mempunyai kebaikan bagi keluarga.

“Sekarang ini, saya selalu bersaing hendak memberi waktu yang terbaik dengan anak-anak. Sehinggakan anak-anak sendiri mempunyai waktu berkualiti dari ibu bapanya sendiri. Moga-moga wujud keadaan erat antara kami dan anak-anak,” kata-kata terakhirnya disambut dengan anggukan, tanda setuju.


Nota: Sebarang cerita, komen dan kritikan dialu-alukan.

------

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Jumaat, November 27, 2009

Bagaikan Aisyah | Sedihnya kad undangan perkahwinan


Teruskan membaca entri di bawah

----------


Petikan buku Bagaikan Aisyah di Hati Rasulullah
Sekuel daripada buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah

Oleh Zamri Mohamad


Kad undangan perkahwinan sewajarnya mengundang rasa gembira. Tetapi adakalanya ayat yang ditulis mengundang kesedihan. Ia mengundang kesedihan apabila ada petikan ayat seperti ini.

Usah dambakan isteri sehebat Khadijah
Jika diri tidak semulia Rasulullah

Tidak perlu isteri secantik Balqis
Andai diri tidak sehebat Sulaiman

Usah mengharapkan suami setampan Yusuf
Jika kasih tidak setulus Zulaikha

Tidak perlu mencari suami seteguh Ibrahim
Jika diri tidak sekuat Hajar dan Sarah

Usah bermimpi mendapat lelaki seperti Ali
Jika diri tidak sehebat Fatimah

Kata-kata ini sudah menjadi warisan yang dibawa dari satu individu ke satu individu lain.

Diucapkan di hadapan orang ramai dalam ceramah dan bicara umum. Sudah dipanjangkan dalam laman-laman web berbahasa Melayu melewati sempadan negara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia. Diperingatkan dalam tazkirah dan usrah sebagai selingan nasihat.

Tetapi kata-kata ini sudah secara diam merendahkan estim diri kita mahu memiliki yang terbaik.

Bukankah impian mulia seorang insan yang mahukan kebaikan datang daripada doa yang baik. Tidak ada ibu yang menolak permintaan anak agar didoakan kebaikan dunia dan akhirat kemudian ditolak dengan kata-kata, ”Sesungguhnya anak ini tidak layak mendapat kebaikan kerana banyak kekurangan dalam dirinya.”

Jelas nabi Muhammad mendorong manusia apabila mencipta kerangka yang positif agar manusia punya harapan untuk memenuhi kebaikan. Dalam prinsipal hidup bertuhan yang positif, kita mengingati asas berikut.

Direkodkan oleh Muslim, Abu Hurairah melaporkan bahawa nabi Muhammad berkata,

  • "Aku (Allah) adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaku terhadapku.”
  • "Aku bersamanya ketika dia mengingati diriku.”
  • "Apabila dia mengingati diriku dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriku.
  • "Apabila dia mengingatiku dalam suatu kaum, nescaya aku akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka.
  • "Apabila dia mendekatiku dalam jarak sejengkal, nescaya aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta.
  • "Apabila dia mendekatiku sehasta, nescaya aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa.
  • "Apabila dia datang kepadaku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari.”

Betapa positifnya hidup bersangka baik kepada tuhan.

Perkembangan ilmu komunikasi interpersonal dan psikologi moden memudah cara usaha kita mendampingi kebaikan. Mencetuskan fenomena Aisyah dalam hidup berpasangan bermula melalui keinginan yang mendasar terus ke hati. Penuhi keinginan itu melalui langkah-langkah ilmu yang dijadikan pelengkap.

Tuhan menilai tidak pada hasil tetapi pada usaha kita menyempurnakan kebaikan. Dalam hal ini, adalah usaha kita menjadikan diri bagaikan Aishah dalam dunia cinta.

Tukar skrip kehidupan

Bermula dengan menukar skrip kegagalan kepada skrip kejayaan. Didapati pejaya menggunakan skrip kejayaan dan mempunyai estim diri tinggi dan positif. Mereka menukar skrip kegagalan menjadi skrip kejayaan seperti berikut.

Aku dambakan isteri sehebat Khadijah
Aku cuba mengikut akhlak semulia Rasulullah

Jika aku ingin isteri secantik Balqis
Aku pelajari dan hayati kehebatan Sulaiman

Jika aku mengharapkan suami setampan Yusuf
kasih setulus Zulaikha aku usahakan

Aku mencari suami seteguh Ibrahim
Lalu aku harus sekuat Hajar dan Sarah

Aku bermimpi mendapat lelaki seperti Ali
Maka aku mengikuti hebatnya Fatimah

Bagaimana suara hati kita selepas menukar skrip gagal menjadi skrip positif?

Dalam kajian didapati satu ciri pejaya adalah mempunyai lokus internal. Iaitu menerima tanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Berlaku pembaikan dari masa ke semasa melalui rasa tanggungjawab.

Ia berbeza apabila dibandingkan mereka yang mempunyai lokus eksternal. Individu seperti ini akan menyalahkan orang lain sebagai punca kegagalan yang dihadapi.

Urus kuasa fitrah membina cinta

Siapa pun saudari, di mana saudari berdiri ketika ini dan ke mana saudari selepas ini, saudari berhak membina kebahagiaan, keabadian dan ketulusan cinta umpama Aisyah. Ia adalah permata yang menjadi pemanis dan penghias hayat anda.

Jika cinta itu adalah fitrah, maka cenderung saya berkata, fitrah itu diurus dengan enam perkara berikut.

  • F iaitu fikiran. Membersihkan minda dan berkembang menjelajahi dunia cinta
  • I iaitu inspirasi. Maksudnya mencari role model yang ideal dalam bercinta
  • T iaitu teknik. Pencinta tahu apakah teknik yang diaplikasikan dalam membina cinta.
  • R iaitu respons. Pencinta mengenal pasti maklum balas bagi pembaikan dan refleksi diri
  • A iaitu aplikasi. Pencinta belajar dan mengamalkan ilmu yang dipelajari
  • H iaitu hamba. Pencinta membina cinta sesama manusia dan menjadi hamba yang mencintai Allah.

Nota: Sebarang komen dan kritikan dialu-alukan.
------

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Bagaikan Aisyah | Mencipta cinta lelaki super


Teruskan membaca entri di bawah

----------

Petikan buku Bagaikan Aisyah di Hati Rasulullah
Sekuel daripada buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah

Oleh Zamri Mohamad


Dari dalam bas yang melalui jalan kampung sejam sekali, saya melihat pasangan tua yang sedang berjalan di tepi jalan kecil. Jalanraya yang sibuk tidak dipedulikan oleh kedua-dua pasangan suami isteri ini.

Kenderaan yang bergerak laju tidak menimbulkan resah dalam hati mereka. Malah, pasangan tua ini sempat beramah mesra dengan penduduk kampung yang duduk di beranda rumah pada petang hari.

Kemudian saya teringat cerita orang kampung. Mengenai pasangan tua yang melalui jalan ini setiap petang. Ketika waktu tengah hari terik, suami akan menolak kerusi roda isterinya. Manakala isteri pula memegang payung melindungi dirinya dari kepanasan.


Suami tua ini tidak mengeluh dan ini yang dibuat setiap hari. Menolak kerusi roda isteri di tepi jalan yang sibuk dan meskipun pernah berlaku kemalangan di situ adalah perkara biasa kepada beliau.

Suami ini menolak kerusi roda isterinya dari rumah sehingga ke hujung jalan berdekatan pantai. Isterinya mahu melihat pantai setiap petang.

Setiap hari mereka bersarapan, pergi membayar bil, duduk di tepi pantai. Si suami sabar menolak kerusi roda isteri baik pada waktu tengah hari mahupun petang.

Menurut cerita orang kampung, anaknya sudah beberapa kali menasihati si ayah, tetapi ayahnya tetap berdegil mahu melakukannya. Beliau berhenti kerja bagi memberi tumpuan pada isterinya yang tidak mampu berjalan lagi.

Apabila tersiarnya foto ini dalam Facebook, ramai yang memberi komen.

  • "Sabarnya si suami."
  • "Hebat."
  • "Moga mendapat pengakhiran sebegitu."
  • "Berapa ramai lagi yang mahu berbuat begitu?"
  • "Semoga suami saya dapat menjaga seikhlas hatinya."
  • "Syahdu."
  • "Inilah cinta sejati."
  • "Alangkah sabarnya suami wanita itu."

Komen Asniza Kamarulzaman menarik perhatian saya. Katanya, "Saya teringat komen seorang ahli forum di internet bernama Ummu Masyitah apabila saya ajukan soalan "Kenapa anda menyintai pasangan anda?"

Kata Ummu, “Rasanya saya sendiri tidak tahu jawapan ini sehinggalah telah melalui pahit manis kehidupan berumahtangga. Saya merasakan keikhlasannya apabial dia mengambil saya sebagai isteri.

"Abang, sekarang sayang sudah tidak cantik. Abang pasti malu punya isteri sebegini" kata Ummu sewaktu suami menolak kerusi rodanya.

Jawapan si suami ada pada hati dan terpancar pada wajah. Terlukis pada perilaku. Cukuplah sehingga hari ini, dia belum beristeri lagi dan menerima saya yang berkerusi roda ini seadanya.

Itu adalah suara rasa mereka yang melihat sekeping foto yang menceritakan segala-galanya mengenai lelaki tua bersama isterinya. Apa jua jawapan, saya meyakini apa jua jawapan yang diberi, pada mata lelaki tua yang setia menolak kerusi roda isterinya ini, beliau melihat isterinya bagaikan Aishah ketika muda dan pada waktu tuanya. Itulah keindahan yang dilihat lelaki tua ini.

Keindahan itu tetap kekal dan terus menjadikan lelaki tua ini tetap setia dan bersedia memenuhi kehendak isteri yang mahu melihat matahari terbenam di tepi pantai.

Bayangan Aishah pada isterinya itu menjadikan lelaki tua ini berasa tidak gentar berjalan perlahan, melalui kesibukan kenderaan lalu lintas yang bakal cuai dan menyentuh tubuh dua orang tua yang tidak ada daya ini.

“Itu mungkin hanya melibatkan pasangan tua sahaja. Mereka sudah lama hidup bersama dan sudah kenal satu sama lain. Sudah pasti kemanisan cinta dan keindahan itu dapat dilihat oleh pasangan. Tidak bagi pasangan muda.”

Benarkah andaian isteri yang bagaikan Aishah hanya terlihat pada pasangan tua sahaja? Benarkah bayangan yang sama tidak dapat dilihat pada pasangan muda yang baru melalui alam perkahwinan?

Dalam proses menyiapkan buku Bagaikan Aishah di Hati Rasulullah, tuhan izinkan kami melihat pasangan-pasangan yang memenuhi karakteristik yang dikaji.

Pada satu hari, seorang isteri membelakangi suaminya agar tangan si suami dapat berpaut pada bahunya dari belakang. Tujuan isteri bagi membantu suaminya yang teruja mahu menimbang berat di sebuah kompleks membeli belah.


Isterinya dan suami saling bergurau, sambil si isteri membantu suaminya berdiri, memapahnya ke mesin penimbang dan memastikan beliau duduk di kerusi roda. Masing-masing senyum dan ketawa. Ketika menolak kerusi roda di hadapan, masih jelas kedengaran gurau dan ketawa mereka.

Tidak ada riak wajah isteri melihat suaminya sebagai beban. Mereka lupa keadaan itu. Si suami ada pilihan untuk berasa rendah diri dengan kekurangan yang dihadapi. Si isteri ada pilihan untuk berasa penat melayani karenah suami.

Mereka memilih bergembira terhadap apa yang mereka lalui. Rasa tenang dan hati yang lapang berhadapan situasi ini menjadikan hidup sebagai pasangan sebagai satu perkara indah.

Sekali lagi, apa jua komentar yang diberi pada kehebatan pasangan ini, pada mata lelaki itu beliau melihat isterinya bagaikan Aishah yang sabar setia melayani sama ada ketika sihat dan ketika sakitnya nabi. Keindahan itu jelas mengukir senyuman lelaki di kerusi roda.

Keindahan itu tetap kekal dan terus menjadikan lelaki ini tetap setia dan bersedia memenuhi kehendak isteri. Kesungguhan isteri menyempurnakan hidup mereka sebagai pasangan.

Bayangan Aishah pada isterinya itu menjadikan lelaki ini berasa tidak gentar melalui situasi tidak berdaya yang mungkin mengambil sedikit masa untuk sedia kembali normal.

Situasi ini mengingatkan saya kepada kata-kata Zaharin Yassin di Facebook. Katanya, Itu bukan cinta. Itu adalah kasih sayang. Ramai orang bercinta tetapi tidak ada kasih sayang. Kasih sayang mengatasi cinta. Cinta itu angin, dapat dirasa tetapi tidak nampak. Kasih sayang itu adalah awan. Jelas nampak tapi tidak terpegang.”

Bayangan Aisyah ada dalam diri setiap wanita. Ia terpamer melalui perbuatan yang nyata menyentuh hati kekasih hati. Sebahagian sudah terpamer jelas pada awal perhubungan. Sebahagian lagi terpamer sedikit demi sedikit apabila hidup mula melalui tempoh kematangan. Bayangan Aishah dalam diri kita mencipta superman dalam dunia cinta. Mereka punya kisah cinta tersendiri.

Kisah lelaki Superman satu

Isterinya terpaksa menerima hakikat, kakinya perlu dipotong kerana penyakit kencing manis yang dihidapinya. Dalam keadaan gembira punya nikmat sepasang kaki yang sempurna untuk berjalan meskipun perlahan, salah satu perlu berpisah dari tubuh.

Isteri yang sudah lanjut usia tidak mampu menahan rasa sedihnya. Emosinya adalah emosi orang tua yang mudah terusik dan lama untuk ditenangkan kembali.

Maka lelaki Superman datang menyelamatkan hatinya daripada terus dilanda kesedihan.

Lelaki Superman ini berhenti bekerja. Ada sedikit wang simpanan ketika bekerja. Mereka tinggal di rumah pangsa PPRT. Ya, superhero tinggal di rumah khusus untuk orang miskin.

Setiap petang lelaki Superman ini menemani isterinya berjalan jauh ke luar kampung, isterinya mahu melihat matahari petang di tepi pantai yang semakin jauh ditambak. Lelaki Superman ini berjalan menolak kerusi roda isterinya.

Suami ini berjalan hampir 45 minit, menolak perlahan kerusi roda isterinya agar ia tidak bergoyang-goyang semata-mata mahu memenuhi permintaan isterinya.

Hari itu, jalan utama ke pantai sedang dibaik pulih. Sukar untuk pejalan kaki melalui tepi jalan yang sibuk. Tetapi tidak bagi lelaki Superman ini.

Beliau pergi menggunakan jalan lebih jauh, berjalan di tepi lebuhraya negeri yang sibuk dengan kenderaan yang gila kelajuan. Tetapi lelaki Superman ini adalah superhero, apa pun tidak mustahil asalkan isterinya dapat melihat matahari petang di tepi pantai Limbongan.

Kisah lelaki Superman dua


Lelaki Superman ini adalah jiran saya. Kali terakhir saya temui ialah beberapa hari sebelum beliau menemui ajal dilanggar bas. Tubuh lelaki Superman ini kecil, kata orang tubuh 'halus kecil melidi'. Jika beliau berdiri di sebelah saya, tingginya pada paras dada sahaja.

Lelaki Superman ini juga sudah pencen. Keperkasaan beliau lebih terserlah pada usia tua. Sama ketika zaman muda, sehingga umur tuanya, di mana sahaja beliau keluar bersama isteri, genggaman tangan mereka sangat erat. Meskipun berjalan ke pondok bas dan menaiki bas buruk kampung, genggaman ini sama sahaja seperti genggaman tangan pengantin baru ketika diarak ke pelamin.

Tangan yang saling hangat tergenggam tidak ada lagi. Isterinya pergi dahulu meninggalkan beliau. Kemudian lelaki Superman ini juga menemui Tuhan dalam satu kemalangan. Bas kampung yang sedang berundur melanggar tubuh kecilnya dan bahagian bawah tubuhnya digilis tayar bas.

Boleh jadi mereka bakal menggenggam tangan semula di syurga.

Rumahnya kosong, setiap kali saya membuka tingkap, saya melihat rumah yang penuh warna-warni kehidupan lelaki Superman ini dan isterinya.

Kisah lelaki Superman tiga

Beliau adalah lelaki Superman yang miskin. Miskin kerana keluarga tidak bersetuju atas pilihan beliau memperisterikan gadis di kampung ini. Lelaki Superman ini sabar dengan karenah dan dugaan yang dihadapi. Sudahlah keluarga tidak suka, situasi belanja di rumah pun cukup-cukup makan sahaja.

Tidak ada sesiapa yang membantu di kalangan keluarga mereka. Di rumah mereka ada satu periuk kecil. Periuk itu digunakan secara bergilir, mula-mula digunakan memasak air dan kemudian digunakan untuk memasak.

Adakah orang yang masih hidup dengan hanya satu periuk kecil di rumah?

Ya, masih ada.

Lelaki Superman ini bersabar dan selalu menggembirakan hati isterinya. Padanya, kekayaan mereka adalah ketenangan yang mereka rasai dalam rumah itu. Lelaki Superman ini mula membuat pelbagai kerja dan berniaga.

Sedikit demi sedikit, dari satu periuk kecil, bertambah kelengkapan dapur. Kemudian segalanya lebih mencukupi. Melebih-lebih sehinggakan ada belanja untuk ahli keluarga yang pernah tidak menyukai mereka ketika zaman muda mereka dahulu.

Kisah lelaki Superman empat

Lelaki Superman ini punya wajah yang serius. Anak-anak dan isteri pun adakalanya gerun dengan bibir yang lurus tanpa emosi terpamer pada wajahnya. Tetapi, lelaki Superman ini tahu wajahnya yang serius itu mungkin meresahkan. Tetapi itulah wajah yang dikurniakan. Wajah itu yang menjadi tatapan isteri selama lebih 30 tahun.

Lelaki Superman ini kurang bercakap. Tetapi ada satu perkara yang menjadikan dia hero di hati isterinya. Walaupun lelaki Superman ini sudah makan di luar kerana urusan kerja, belanja kawan-kawan atau pun pergi minum petang, lelaki Superman ini pasti menjamah masakan yang disediakan oleh isterinya tanpa menolak. Lelaki Superman menghargai apa yang dilakukan oleh isterinya meskipun perut sudah sendat kerana belanja rakan.

Apa pun, inilah lelaki-lelaki Superman. Ada yang sudah tua dan ada yang sudah meninggal dunia. Lelaki-lelaki Superman ini mempamerkan sisi hero yang tersendiri.

Namun sisi hero mereka tidak akan kelihatan melainkan isteri menjadi bayangan Aishah yang menguatkan hati mereka.


Nota: Sebarang komen dan kritikan dialu-alukan.
------

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Harian Metro | 30 Strategi Membina Pengaruh





Teruskan membaca entri di bawah

----------



Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010

Alhamdulillah, hari raya Eid ul Adha yang istimewa. Ulasan buku 30 Strategi Membina Pengaruh di akhbar nasional Harian Metro di ruangan agama, Addin halaman (V2) 27 November 2009. Selamat membaca. Terima kasih atas doa tuan dan puan sekalian yang memungkinkan ulasan ini muncul pada Aidiladha. Klik Info

Ulasan buku 30 Strategi Membina Pengaruh dalam akhbar menyentuh beberapa poin penting iaitu;

  1. Kisah nabi Ibrahim dirangka semula bagi memahami ciri orang berpengaruh.
  2. Strategi pakatan menang-menang sebagaimana usaha Hisyam bin Amr menjatuhkan pengaruh Abu Jahal.
  3. Kajian Dr Robert B Cialdini yang mengkaji dan ada similariti ciri pengaruh Barat dan Islam.
  4. Saranan ulasan agar buku ini dibaca sebelum akhir tahun ini bagi memulakan langkah pengaruh seawalnya.
Tidak dilupakan tuan Ahmad Fedtri Yahya dan puan Wardina Saffiyah yang memulakan kepada cetusan perhatian nasional mengenai buku ini melalui MHI, televisyen nasional TV3 dahulu. Moga buku ini menjadi satu ibadah.



------

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Khamis, November 26, 2009

Bagaikan Aishah | Turun naik keputusan bersama


Teruskan membaca entri di bawah
----------


Oleh Tuan Imran Yusuf penulis Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah

Berikut merupakan petikan buku terbaru Bagaikan Aishah di Hati Rasulullah terbitan PTS Millennia



Petang itu Adam dan Hawa menunggangi basikal bersama di sebuah taman. Sengaja mereka memilih awal pagi, suasana lebih tenang, laluan yang mereka gunakan biasanya digunakan oleh pejalan kaki yang beriadah di sekitar taman. Ada juga pada awal pagi kelihatan kumpulan warga tua melakukan riadah di padang.

Mereka berbual-bual mengenai kisah Aishah dan Rasulullah.

Hawa bertanya, “Maksud abang bentuk riadah pelbagai bentuknya selain berlari? Bagaimana jika kita bersenam dengan menunggang basikal?”

Adam menjawab, “Berlumba lari itu bertujuan bersenam dan menunjukkan bahawa nabi meluangkan masa untuk melakukan aktiviti bersama isteri.

Adam dan Hawa menuruni bukit perlahan-lahan. Kemudian Adam menyambung cerita, “Pada masa yang sama beliau menunjukkan bagaimana cara mengeratkan hubungan suami isteri.”

Hawa berkata, “Tidak semestinya berlari sahaja?”

Adam meneruskan, “Tidak semestinya begitu. Bagi nereka berumur lebih empat puluh tahun, para pengamal perubatan tidak menggalakkan mereka berlari atau jogging. Sebaliknya, riadah yang sesuai bagi mereka ialah berjalan kaki.”

Hawa bertanya, “Apa sebenarnya pengajaran yang kita boleh jadikan panduan daripada peristiwa lumba lari? Kadangkala dimenangi oleh Nabi dan adakalanya dimenangi oleh Aisyah? Adakah semata-mata dalam perkara riadah sahaja atau ada perkara lain?”

Adam senyum sambil menjawab, “Suami tidak selalu menang. Biarlah suami meraikan isterinya dan mengalah dan biarlah sekali sekali isteri pula menang. Apa yang seronoknya jika seorang sahaja yang menang?”

Soalan dijawab soalan. Sengaja Adam berbuat demikian. Hawa mengerutkan dahi. Hawa membalas, “Mungkin ada tafsiran lain?”

Adam menjawab, “Ya, mungkin ada. Riadah bersama membina kemesraan suami isteri. Selain itu suami harus bertolak ansur dengan isteri, yakni tidak terlalu bertegas dan sentiasa bersedia memaafkan kekurangan isteri.”

Hawa berkata, “Dalam buku Stephen Covey yang berjudul The Seven Habits of Highly Successful People pengarang ada menyebut beliau dan isteri selalu beriadah bersama dengan menunggang basikal melalui ladang gandum. Semasa riadah mereka berbual-bual dan berbincang tentang pelbagai perkara.”

Adam membalas, “Tidak mustahil juga Stephen Covey membaca kisah Nabi Muhammad dan Aisyah berlumba lari dan mengamalkan riadah.”

“Bagaimana dengan perkara selain riadah, misalnya dalam membuat keputusan?” soal Hawa lagi.

Adam menjawab, “Ada juga peristiwa dalam hidup Nabi Muhammad yang menunjukkan beliau pernah menerima pakai buah fikiran isterinya, tidak sahaja Aisyah.”

Hawa bertanya, “Contohnya?”

Adam berkata, “Sebagai contoh, dari aspek tertentu dalam mendidik anak-anak, sebagai ibu yang lebih rapat dengan mereka, tentulah pandangan isteri lebih sesuai daripada pandangan suami.”

Hawa berkata, “Bagaimana pula dalam amalan hidup beragama? Adakah pandangan isteri lebih sesuai daripada pendapat suami?”

Adam berfikir sejenak, seraya berkata, “Memang ada contoh, tetapi bukan melibatkan Aisyah. Namun contoh ini tetap relevan, iaitu sebaik sahaja Perjanjian Hudaibiyah dimeterai. Isteri Nabi yang bersama rombongan di Hudaibiyah itu ialah Ummu Salamah.”

Hawa menambah, “Para sahabat dalam suasana muram ketika itu kerana syarat-syarat Perjanjian Hudaibiyah yang seolah-olah memberi keuntungan kepada kaum Quraisy di Mekah.”

Adam berkata, “Ya, memang benar. Terutama sekali apabila selesai perjanjian dimeterai, rombongan orang Islam tidak dibenarkan menunaikan umrah pada tahun itu. Sebaliknya mereka dibenarkan menunaikan umrah pada tahun berikutnya.”

Adam diam seketika, mengambil bekalan air yang dibawa bersama. Diberikan kepada isterinya. Teringat Adam akan kisah Aishah berkongsi cawan minum yang sama bersama nabi. Lebih romantis, nabi minum pada bahagian cawan yang disentuh bibir Aisyah.

Adam menyambung cerita, ”Oleh kerana mereka sudah memakai pakaian ihram sebelum perjanjian dimeterai, maka setelah perjanjian mereka perlu menyembelih binatang korban, bergunting atau bercukur kepala serta menukar pakaian ihram. Setelah Nabi Muhammad memerintahkan para sahabat berbuat demikian, mereka masih berdiam diri dan tidak melakukan sebagaimana yang diperintahkan. Nabi berasa kecewa lalu masuk ke khemah dan mengadu kepada isterinya, Ummu Salamah.”

”Adakah mereka mengengkari perintah nabi,” soal Hawa.

Segera dijawab Adam, ”Tidak. Mereka menghormati dan mematuhi nabi. Dalam keadaan sugul mengenangkan perjanjian yang seolah-olah tidak memberi mereka ruang, sedih itu menjadikan mereka terlupa.”

Hawa mengangguk, meminta Adam menyambung cerita.

”Kemudian isterinya mencadangkan agar Nabi sendiri menyembelih binatang korban, bercukur kepala serta menukar pakaian ihram. Dan ternyata baik sekali cadangan Ummu Salamah itu kerana setelah beliau melakukan demikian dan para sahabat melihat beliau berbuat begitu, mereka pun turut melakukannya.”

Hawa diam seketika. Adam hairan, apa pula yang bermain dalam kepala isterinya. Hawa sedar sikapnya itu menimbulkan rasa hairan Adam, beliau senyum panjang. Bertambah hairan Adam akan sikap isterinya itu.

Dalam senyuman, Hawa berkata, ”menyukakan hati suami tidak semestinya dalam hal urusan menyediakan makan dan minum sahaja, malah jauh lebih penting, seorang isteri melengkapkan peranan suami. Si isteri menjadi pembantu, malah dalam beberapa hal, menjadi wakil atau pelaksana kepada arahan suami.”



Nota: Sebarang komen dan perkongsian serta respon terhadap artikel ini dialu-alukan

-------




Mengenai penulis

Siapakah Imran Yusuf?

Imran Yusof

Dilahirkan pada 2 Disember 1958 di Kelantan. Seorang Bussines Analyst yang turut aktif dalam program kemasyarakatan. Mempunyai jiwa seni bahasa dan cenderung kepada insan dan alam sekitar.

Beliau menjadikan dunia internet sebagai dunia interaksi global. Buku pertama beliau menerima sambutan, Tip-Tip Poligami: Di Bawah Payung Aishah dan ia tidak berhenti di situ sahaja. Buku ini pernah muncul dalam beberapa drama dan telemovie di Astro dan TV3.

Kemudian diteruskan dengan buku kedua berjudul Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah.

Business Analyst yang banyak menghabiskan masa di dalam dan luar negara telah mendedahkan beliau kepada pelbagai ragam manusia baik yang belum berkahwin mahupun yang sudah berkeluarga.

Peluang bekerja di luar negara memberi beliau pengalaman baru bagi membandingkan budaya kekeluargaan tempatan dan luar negara. Antara lokasi yang menjadi tempat persinggahanya ialah London, Jakarta, Rotterdam, Istanbul, Sydney dan Melbourne.



------

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Rabu, November 25, 2009

Penulis berbakat berusia empat tahun menulis di atas buku tulisan saya


Teruskan membaca entri di bawah
----------

Setiap hari gadis kecil ini akan melukis dan melakar, menconteng dan mencoret apa sahaja di atas pelbagai media khususnya kertas.

Saya menyediakan kertas kosong dan kertas terpakai yang banyak untuk dia melukis sekehendak hatinya, dengan harapan dinding rumah ini selamat.

Namun harapan itu tidak sepenuhnya tercapai.

Dalam diam-diam, sebahagian dinding bilik tidurnya mula dipenuhi pelbagai mahakarya yang hanya dia memahami.

Dia seorang yang kidal, sama seperti abang Hidayatnya. Sehari dua ini dia mula belajar menulis namanya dengan lebih betul berbanding sebelum ini yang entah apa-apa.

Saya berikan dia buku kotak besar dan menulis nama pendeknya, HANESSA di dalam setiap petak. Rupanya tidak cukup satu buku, dia mengambil sendiri beberapa buku lagi dan menulis sesuka hatinya.

Dia puas berbuat begitu. Perlahan-lahan dia sudah berjaya menulis namanya sendiri walaupun saya yakin dia tidak mengerti apa yang ditulisnya itu sepenuhnya.

Klik imej untuk paparan lebih menarik

Saya baru mula membaca buku Zamri Mohamad bertajuk Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas.

Gadis nakal ini memohon izin saya untuk menulis namanya di buku itu dan saya izinkan dengan syarat hanya namanya sahaja.

Tidak lama kemudian saya terlelap dan bukan setakat nama di buku itu juga sudah penuh dengan beberapa mahakarya lagi!

Saya tidak marah, kerana dia mematuhi janji tidak melukis di muka surat lain walaupun mungkir untuk menulis nama sahaja.

Entri dipetik dari blog ini

Nota penulis Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas

Saya mahu ketawa apabila membaca entri di atas. Pada masa sama saya seronok sekali! Macam-macam cerita daripada pembaca yang dimuliakan apabila mereka membaca buku Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas. Kisah kanak-kanak 4 tahun ini satu testimonial besar dan motivasi terbaik kepada buku yang saya hasilkan bersama tim PTS. Terima kasih!

Sudahkah tuan dan puan membaca buku Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas? Sebuah buku yang membantu menjenamakan diri, perniagaan serta organisasi melalui penulisan di majalah dan akhbar. Klik di sini




------

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Bagaikan Aishah | Dunia tenang si pemandu teksi


Oleh Tuan Imran Yusuf penulis Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah

Petikan buku Bagaikan Aishah di Hati Rasulullah

Hari ini Adam tidak dapat menjemput Hawa pulang dari pejabat. Sejak tiga hari lalu, Adam pulang lewat kerana menyiapkan tugas sebelum tarikh akhir. Mujur ibu beliau datang membantu menemani cucu sulung di rumah. Lega sedikit hati Hawa.

Kelihatan teksi dari jauh. Cepat-cepat Hawa menahan teksi berkenaan. Di pondok menunggu, orang ramai sudah beratur panjang menunggu giliran.

Bagi pemandu warga kota atau bandar, situasi kesesakan lalu trafik amat menyusahkan dan apabila kita terpaksa mengharunginya setiap hari, pagi dan petang, maka lama-kelamaan akan menyebabkan stres yang amat menyeksa kita.

Si pemandu teksi membawa kereta setiap hari. Mengambil penumpang dari satu tempat ke tempat lain. Ramah dan marah adalah dua ramuan emosi yang mengisi diri. Ramah melayan penumpang yang mesra dan tidak menimbulkan karenah. Marah terhadap sikap penumpang yang berbual seolah-olah pemandu teksi warga kelas kedua.

Pemandu teksi ini berkata, ”Maruah pemandu teksi terletak pada kerusi dalam kenderaan.”

Hawa diam mendengar.

Katanya, ”Ia menjadi sesuatu yang memalukan apabila teksi saling berselisih atau berada bersebelahan ketika lampu isyarat merah. Kemudian dilihat pemandu teksi seorang lagi sudah ada penumpang, tidak pula pada dirinya.”

Kerusi kosong dalam teksi perlu diduduki penumpang. Ia perlu diisi setiap kali penumpang diturunkan. Melalui jalan yang sama setiap hari bermakna melalui situasi sesak yang sama berkali-kali.

Setiap hari stres, bagaimana si pemandu teksi ini hadapi situasi?

Terima kenyataan bahawa bukan kita sahaja yang menghadapi situasi dalam kesesakan lalu lintas. Beratus-ratus orang lagi pemandu lain juga yang menghadapinya.

Ada sahaja pemandu lain yang memotong barisan atau bersikap menyakitkan hati kita.

”Saya maafkan,” kata pemandu teksi.

Tindakan itu mungkin menyakitkan hati, kita bersangka baik kepadanya. Mungkin dia sudah banyak kali terlewat dan dia telah diberi amaran oleh majikannya. Sekiranya dia terlewat lagi maka dia akan dikenakan tindakan tatatertib. Bahkan hari dia bertindak begitu menyakitkan hati kita itulah hari dia akan dikenakan tindakan oleh majikan sekiranya dia terlewat datang kerja.

”Manfaat corong radio dalam kereta,” kata pemandu teksi lagi.

Sebagai hiburan hati kita, baca ayat-ayat Quran, semoga boleh menenangkan hati kita, serta kita juga akan beroleh kebaikan pahala apabila membaca Quran. Selain membaca Quran, berselawat ke atas Nabi Muhammad dan berdoa kepada Tuhan.

Sambil membelok ke kiri, memasuki jalan taman perumahan, pemandu teksi berkongsi tip, ”Mendendangkan lagu-lagu nasyid dan bacaan Quran melalui radio mengingatkan keagungan Tuhan. Ini pun boleh menenangkan hati kita. Ada juga pemandu yang suka mendengar ucapan-ucapan motivasi bagi memberikan semangat yang berkobar-kobar bagi membantu diri mereka memulakan pagi mereka dengan semangat dan tekad untuk bertugas dengan jujur dan ikhlas.”

Teksi tiba di tempat yang dihajati. Dari jauh, anak yang bongsu memerhati. Tangan kecilnya memegang pintu pagar yang masih dikunci.

Perlahan pintu teksi dibuka dan ditutup kembali. Sempat memberi ucapan salam dan senyuman kepada pemandu teksi. Beliau menurun tingkap di bahagian pemandu, kemudian membalas, ”Senyum dan memberi salam pun dapat menyejukkan hati kita.”

Sikap tenang pemandu teksi itu memberi ketenangan pada keluarga yang akan menyambut pulang beliau pada malam nanti. Teksi kembali mencari penumpang. Apa yang disampaikan tertinggal. Iaitu ilmu yang diberi tetap tinggal dalam hati penumpangnya tadi.

Nota: Sebarang komen dan perkongsian serta respon terhadap artikel ini dialu-alukan

-------




Mengenai penulis

Siapakah Imran Yusuf?

Imran Yusof

Dilahirkan pada 2 Disember 1958 di Kelantan. Seorang Bussines Analyst yang turut aktif dalam program kemasyarakatan. Mempunyai jiwa seni bahasa dan cenderung kepada insan dan alam sekitar.

Beliau menjadikan dunia internet sebagai dunia interaksi global. Buku pertama beliau menerima sambutan, Tip-Tip Poligami: Di Bawah Payung Aishah dan ia tidak berhenti di situ sahaja. Buku ini pernah muncul dalam beberapa drama dan telemovie di Astro dan TV3.

Kemudian diteruskan dengan buku kedua berjudul Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah.

Business Analyst yang banyak menghabiskan masa di dalam dan luar negara telah mendedahkan beliau kepada pelbagai ragam manusia baik yang belum berkahwin mahupun yang sudah berkeluarga.

Peluang bekerja di luar negara memberi beliau pengalaman baru bagi membandingkan budaya kekeluargaan tempatan dan luar negara. Antara lokasi yang menjadi tempat persinggahanya ialah London, Jakarta, Rotterdam, Istanbul, Sydney dan Melbourne.



------

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Selasa, November 24, 2009

Bagaikan Aishah | Rendah stress di pejabat, kurang tekanan di rumah

Rendah stress di pejabat, kurang stress di rumah

Oleh Tuan Imran Yusuf

Apabila ditinjau keadaan trafik di bandar-bandar besar di dunia seperti London dan Paris di Eropah, New York, Washington DC dan Chicago di Amerika, serta kota-kota di negara Asia Tenggara seperti di Jakarta, Bangkok dan Manila, kita akan menyedari bahawa kesesakan trafik telah menjadi lumrah bagi kehidupan seharian warga kota-kota besar di dunia.

Kereta dan hon di Thailand

Rakan saya yang bekerja di Bangkok menceritakan pengalaman menarik semasa kesesakan trafik di sana. Dia berkata, pemandu di sana jarang sekali menggunakan hon kereta dan sangat bertimbang rasa di antara satu sama lain.

Apabila seseorang pemandu memotong barisan, pemandu yang lain tidak memarahinya atau membunyikan atau pun memaki hamun mengeluarkan kata-kata kesat.

Sebaliknya pemandu lain akan memberi laluan dengan senang hati. Apa dia lihat amat berbeza sekali dari keadaan di negera ini semasa kesesakan trafik. Amalan pemandu di sana boleh mengawal stres mereka pada tahap minimum.

Keadaan tempat kerja mengundang stress

Bagi wanita yang bekerjaya, suasana di tempat kerja sering sahaja menjadi punca stres kerana banyak faktor yang menyumbang ke arah itu. Bukan sahaja bebanan kerja yang bertimbun, tetapi juga pelbagai karenah dari orang atasan dan rakan sekerja pun tidak kurang menekan dan menyebabkan stres.

Walau di pejabat atau di mana-mana tempat kerja pelbagai kerenah ini bolehlah diistilahkan sebagai politik di tempat kerja.

Selagi mana kita berurusan dengan manusia, maka selagi itulah kita berhadapan dengan politik di tempat kerja, kerana setiap orang mempunyai matlamat masing-masing yang berbeza dan sering bercanggahan antara satu sama lain.

Ada tiga pilihan bagi seorang pekerja bagi menghadapi politik di tempat kerja.

Pilihan pertama

Ambil sikap tidak mempedulikan politik dan menjalankan tugasnya semata-mata.

Pilihan kedua

Melibatkan diri sepenuhnya, iaitu dengan mengamalkan pendekatan ala Machiavelli, iaitu matlamat menghalalkan cara, demi untuk mendapat nama, kedudukan dan kenaikan pangkat yang segera.

Pilihan ketiga

Mengambil sikap peka pada politik pejabat, tetapi tidak sampai memangsakan rakan sekerja untuk mendapatkan nama, pangkat dan kedudukan.

Apabila memilih pendekatan yang pertama kita mungkin menjadi mangsa rakan sekerja yang memilih cara Machiavelli itu, kita dilihat sebagai pekerja yang bercita-cita dan cukup setakat cukup makan sahaja.

Bagi yang memilih pendekatan kedua, kita akan mendapat nama, kedudukan dan kenaikan pangkat yang segera, namun dalam jangka masa yang panjang kita menjadi orang yang paling dibenci di tempat kerja.

Kita dapat berpuas hati pada pencapaian yang dicapai, akan tetapi bagi seorang yang mengambil kira tentang masalah moral dan kepercayaan agama, cara ini tidak mungkin akan membawa kebahagiaan yang abadi.

Kedua-dua pendekatan tersebut boleh meningkatkan stres di tempat kerja.

Pilihan yang ketiga mengurangkan stres di tempat kerja. Iaitu menjalinkan hubungan baik dengan semua rakan sekerja, walau pun dengan individu yang kita tidak sukai.

Antara yang berdukacita dan lebih berdukacita

Mutiara kata para bijak pandai yang berbunyi, “Apabila berdukacita, carilah orang yang lebih berdukacita lalu bantulah dia mengatasi kesusahannya, semoga apabila dia tersenyum, maka senyuman gembiranya itu akan juga menghiasi wajah mu.”

Dalam konteks di tempat kerja bagaimana kata-kata ini diamalkan?

Rakan saya bercerita mengenai pengalaman beliau membantu rakan sekerjanya, “Beberapa tahun yang lalu pegawai yang mengetuai suatu projek membangunkan sistem teknologi maklumat (IT) meletakkan jawatan secara tiba-tiba pada saat projek itu berada di peringkat yang kritikal.

Orang penting berhenti tiba-tiba

Ceritanya lagi, ”Syarikat mempunyai waktu terhad bagi menyiapkan projek itu. Pada ketika itu saya merupakan salah seorang daripada juru analisa sistem dalam pasukan pembangunan sistem itu. Ketua saya ialah pengurus jabatan IT dan beliau mesti menyiapkan juga projek itu dalam masa yang ditetapkan.”

Beliau berada dalam situasi yang serba salah. Tiada siapa yang benar-benar layak yang dapat menggantikan pegawai yang berhenti itu.

“Beliau seorang pengurus yang tidak begitu mahir dalam berpencak silat politik pejabat. Jadi situasi beliau agak cemas. Saya menawarkan diri untuk membantu apa yang dapat saya bantu sementara menunggu pengganti, kerana projek mesti diteruskan,” katanya menceritakan saat kritikal itu.

Sambung cerita, ”Beliau bersetuju atas dasar tiada rotan akar pun berguna. Kami berbincang bagi mengatur strategi menyiapkan projek itu. Mula-mula beliau meminta waktu projek dilanjutkan selama sebulan atas alasan pegawai yang bertugas ketua projek telah meletakkan jawatan secara tiba-tiba. Tugas saya pula ialah melakukan apa yang patut bagi menyiapkan projek itu dalam masa yang ditetapkan. Ertinya permintaan lanjutan masa hanya sebagai pelan kontingensi sahaja.”

Mendapatkan sokongan kumpulan

“Bagi mengembalikan semangat semua rakan sekerja yang terlibat dalam projek itu, kami memanggil mesyuarat dan memberitahu bahawa kita akan meminta waktu projek dilanjutkan, tetapi kami meminta pendapat mereka sama ada kita masih boleh mencuba bagi menyiapkan projek itu dalam masa yang ditetapkan.”

Kemudian keadaan sedikit berubah, ”Melihat keikhlasan pengurus itu dan kesungguhan saya, maka semua ahli mencadangkan kami menilai semua status setiap komponen projek itu supaya kami dapat membuat anggaran tarikh siapnya. Mesyuarat itu berlanjutan selepas waktu makan tengah hari. Setiap orang memberikan pendapat mereka dan petang itu kami mendapati projek itu masih boleh diteruskan dengan syarat ada orang yang mesti menguruskannya. Orang yang paling disetujui oleh mereka ialah saya.”

“Untuk tidak menghampakan harapan mereka, serta demi memikirkan inilah satu-satunya peluang bagi membuktikan keupayaan saya, saya pun bersetuju. Keesokan harinya saya pun menyenaraikan semua aktiviti dan memutuskan agar semua aktiviti akan dijalankan serentak, tidak secara linear, dengan tujuan untuk menjimatkan masa bagi menyiapkan setiap komponen dalam masa yang lebih awal daripada yang ditetapkan.

“Dalam pada itu pengurus kami telah membuat pertemuan dengan pihak pengurusan syarikat bagi memohon lanjutan masa bagi menyiapkan projek itu. Biar pun beliau mempunyai alasan yang kukuh bagi melanjutkan masa selama sebulan, pihak pengurusan hanya meluluskan lanjutan masa hanya selama dua minggu. Ini bererti kami hanya mempunyai waktu buffer atau masa kecederaan selama dua minggu sahaja.

“Semua tugas dibahagikan dan semua ahli pasukan projek itu bertungkus-lumus menyiapkan projek itu. Hasilnya sungguh memberangsangkan, kerana kami berjaya menyiapkan projek itu seminggu sebelum tamat masa kecederaan yang dibenarkan oleh pihak pengurusan.”

Ia memberi kesan besar kepada semua. Pengurus dinaikkan pangkat, semua ahli pasukan mendapat gred yang bagus semasa penilaian prestasi kerja pada tahun itu,

”Paling mengejutkan apabila saya dinaikkan pangkat setelah mendapat sokongan kuat dari pengurus saya. Itulah hasilnya apabila kita membantu pengurus kita dalam saat dia sangat memerlukan bantuan, dia mendapat nama baik dan kita mendapat kenaikan pangkat,” kata rakan itu menamatkan kisahnya.

Membantu mengurangkan stres yang orang lain alami, kita bukan sahaja mengurangkan stres kita, malah mendapat ganjaran yang lumayan.

Baik dengan rakan sekerja tenang bersama pasangan

Jaga paras stres dalam persekitaran tempat kerja dengan menjalinkan hubungan baik sesama rakan sekerja. Menjalinkan hubungan baik di tempat kerja tidak bermakna melanggar peraturan yang tidak bertulis di tempat kerja. Cipta modal masa sebagai pelaburan perhubungan.

Modal masa bagi mencipta keakraban adalah pada waktu rehat, waktu makan tengah hari, pada awal pagi atau pada waktu sebelum pulang. Elakkan berbual meleret-leret sehingga mengganggu kerja masing-masing.

Bagi pertemuan sewaktu bekerja, hubungilah dahulu rakan itu melalui telefon atau e-mel. Maklumkan mesej mahu bertemu bagi membincangkan perkara tertentu.

Elakkan berkunjung secara tiba-tiba dan mendadak kerana ini mungkin mengganggu tugas rakan dan mengakibatkan kerja beliau tergendala kerana gangguan kita. Kita juga mempunyai tugas yang perlu diselesaikan.

Sekiranya perbualan atau sembang-sembang kosong berleluasa di waktu bekerja, akan mengurangkan produktiviti syarikat atau jabatan, sedangkan masih kerja yang tertangguh akibat daripada amalan itu.

Berbaik sangka terhadap rakan sekerja dan tidak membaca fikiran mereka. Elakkan perasaan syak wasangka yang tidak berasas.

Checklist tugas seharian dan mingguan

Cara mudah bagi mengelakkan tugas penting terbengkalai yang akan menimbulkan stres dalam diri kita ialah dengan membuat senarai semak atau checklist bagi semua perkara yang mesti dilakukan untuk hari itu dan minggu itu.

Siapkan semua tugas-tugas penting yang tidak boleh ditangguhkan pada hari itu juga. Sekiranya ditangguhkan ke hari esoknya, maka dengan sendirinya kita sudah mencipta kenaikan paras stres untuk kita bagi minggu itu.

Bayangkan bagaimanakah paras stres apabila tugas penting yang sepatutnya diselesaikan pada Isnin tertangguh hingga ke hari Jumaat.

Mungkin sahaja kita terpaksa mengorbankan cuti hujung minggu untuk menyelesaikan tugas yang tertunggak itu dan tentunya paras stres akan meninggi.

Apabila kita menyediakan senarai checklist bagi tugas yang perlu dilaksanakan, kita akan membiasakan diri untuk bertegas dalam kegunaan masa.



Nota: Sebarang komen dan perkongsian serta respon terhadap artikel ini dialu-alukan
-------




Mengenai penulis

Siapakah Imran Yusuf?

Imran Yusof

Dilahirkan pada 2 Disember 1958 di Kelantan. Seorang Bussines Analyst yang turut aktif dalam program kemasyarakatan. Mempunyai jiwa seni bahasa dan cenderung kepada insan dan alam sekitar.

Beliau menjadikan dunia internet sebagai dunia interaksi global. Buku pertama beliau menerima sambutan, Tip-Tip Poligami: Di Bawah Payung Aishah dan ia tidak berhenti di situ sahaja. Buku ini pernah muncul dalam beberapa drama dan telemovie di Astro dan TV3.

Kemudian diteruskan dengan buku kedua berjudul Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah.

Business Analyst yang banyak menghabiskan masa di dalam dan luar negara telah mendedahkan beliau kepada pelbagai ragam manusia baik yang belum berkahwin mahupun yang sudah berkeluarga.

Peluang bekerja di luar negara memberi beliau pengalaman baru bagi membandingkan budaya kekeluargaan tempatan dan luar negara. Antara lokasi yang menjadi tempat persinggahanya ialah London, Jakarta, Rotterdam, Istanbul, Sydney dan Melbourne.



------

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.