Saya berkesempatan untuk pertama kalinya melihat apa yang dikatakan sebagai persembahan orkestra. Kebetulan saya berada di Kuala Lumpur pada hari itu, maka beberapa rakan akrab saya mengajak menontonnya. Kumpulan orkestra Young Westphalian Boruque Ensemble dan Westphalian Chamber Youth Orchestra dari negara Jerman mempersembahkan beberapa buah lagu klasik kepada hadirin yang mengikutinya.
Mereka dijangka mengadakan beberapa persembahan termasuklah di Istana Budaya. Selama dua jam, kami diperdengarkan dengan beberapa lagu klasik ciptaan Georg Philip Teleman, Antonio Vivaldi, Johann Sebastian Bach, Felix Mendelssohn Bartholdy, Wolfgang Amadeus Mozart, Samuel Barber dan Benjamin Britten.
Menonton dan menghayati lagu klasik yang dicipta sejak tahun 1600 sehingga 1900 memerlukan sedikit pengetahuan. Ia bukanlah seperti menghadiri konsert penyanyi pop. Kenal nama sahaja dan suka lirik dan lagunya sudah memadai. Bagi lagu klasik setiap lagu ada ceritanya dan ada sejarahnya. Jika tidak, menguap berkali-kali menunggu waktu konsert berakhir.
Saya meminati lagu klasik, Adagio for Strings yang dicipta oleh Samuel Barber. Lagu ini dicipta pada tahun 1936. Ia pertama kali dipersembahkan bersama NBC Symphony Orchestra dalam radio pada 5 November 1938 di New York. Pada tahun 2001 ia dilagukan bagi mengingati tragedi 11 September 2001 World Trade Centre. Adagio for Strings digelar sebagai lagu klasik paling sedih oleh para penonton BBC. Selepas konsert itu rakan saya berkata, "Seolah-olah, cerita sedih tanpa kesudahan."
Terima kasih kepada Westphalian Chamber Youth Orchestra dan konduktornya Tan Tor Song kerana mempersembahkan lagu itu pada malam itu. Tidak dilupakan Prof Ulrich Rademacher dan Gudula Rosa yang memimpin Young Westphalian Boruque Ensemble
Masing-masing mempunyai definisi lagu yang baik. Pakar bidang pasti berbeza pandangan dengan orang biasa apabila memberitahu kita apakah itu lagu yang baik. Bagi saya lagu yang baik adalah lagu yang dapat mencetuskan imaginasi dalam pemikiran pendengarnya. Lagu yang baik juga mencipta cerita peribadi yang menjadikan pendengar itu adalah wataknya. Jika saya menutup mata mendengarnya dan dapat melihat warna dalam imaginasi saya, maka lagu itu berjaya menjadi sebahagian koleksi peribadi saya.
Menonton persembahan orkestra ini menyedarkan saya satu perkara. Semua orang ada peranan dalam hidup, jika masing-masing memainkan peranan mereka dengan baik, masing-masing akan membawa simfoni hidup yang indah dan tersusun. Hidup kita, mainkan peranan kita sepenuhnya dan sebaiknya, ia akan memberi kesan kepada orang lain. Bagaimana jika kita menjadi pengalun melodi yang sumbang dalam masyarakat?
Nota: Gambar persembahan pada malam itu diambil daripada Basa Basi Nano Nano
Ulasan
Ralat tidak dapat hadir. Kepenatan seharian bekerja.