Jumaat, Mei 23, 2008

Bahasa Melayu Rendah memerangkap pembaca kekal dalam kumpulan sosial rendah

Buku yang berkualiti merupakan satu bentuk persiapan minda kepada pembaca apabila input ilmu dalam bahasa yang teratur mempermudahkan proses pembinaan karakter melalui proses membaca.

Didapati, potensi individu berkembang apabila penguasaan ilmu dapat dilakukan lebih cepat kerana buku-buku yang ditulis dan dibaca dari rumah menjadi pra persediaan kepada bahan bacaan lebih kompleks. Daya penerimaan lebih cepat meningkat kerana struktur bahasa yang dibentuk akan melalui proses pengukuhan kesan daripada pengulangan corak yang sama.

Dalam satu kajian yang diketengahkan oleh pakar sosiologi dan linguistik British bernama Basil Bernstein, didapati kanak-kanak kelas menengah atas lebih mudah belajar di sekolah berbanding kanak-kanak kelas menengah rendah.

Kajian Basil mendapati, kanak-kanak menengah atas telah didedahkan dengan bahan bacaan dan budaya bertutur dengan bahasa tinggi berbanding kanak-kanak menengah rendah yang terdedah kepada corak bahasa tempatan yang menggunakan laras bahasa yang rendah di rumah.

Daripada kajian ini, didapati kanak-kanak menengah rendah berhadapan kesukaran dalam pembelajaran di sekolah kerana mereka tidak didedahkan pada bahasa tinggi yang terkandung dalam buku-buku matapelajaran yang digunakan di sekolah.

Akibatnya, kanak-kanak ini secara langsung terperangkap dalam kemiskinan budaya dan kemiskinan ilmu yang menjadikan mereka tertolak ke belakang. Malah kemiskinan ekonomi juga tidak dapat dinafikan kesan daripada kegagalan menguasai pengetahuan asas.

Kajian Basil memberi gambaran kepada kita bahawa jenis pertuturan yang digunakan oleh ibu bapa kepada anak-anak dan bahan bacaan yang diberikan memberi kesan kepada pencapaian akademik mereka.

Jika dilihat daripada perspektif dunia buku, kajian ini membuktikan bahawa konteks sesebuah buku dan cara ia ditulis mempunyai kaitan yang rapat kepada penciptaan kedudukan hierarki sosial pembaca.


Entri ini adalah berdasarkan kursus Bahasa Melayu Tinggi yang dikendalikan oleh Prof Abdullah Hassan pada hari Ahad 18 Mei 2008

Ingin terbit buku sendiri? Klik di sini

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates