Langkau ke kandungan utama

Pendakwah: sensitif dengan keadaan, bersedia dengan perubahan.

Belajar di sebuah sekolah yang melibatkan semua kaum dan agama selama 13 tahun, kemudian bergerak memasuki sebuah universiti islam dengan suasana dan pengamalan hidup islami memberikan penulis dua corak kehidupan sosial berbeza.

Kedua-dua tahap kehidupan yang berlainan dari kehidupan sebagai pelajar sekolah yang majoriti bukan Melayu dan bukan beragama Islam menjadi sumber pengalaman yang menarik dan membina pengalaman hidup.

Melangkah kaki ke sebuah universiti yang menghimpunkan para pelajar sekolah-sekolah agama seluruh Malaysia yang membawa minda tersendiri, dipertembung dengan aliran sekolah harian, ia menjadi kejutan yang lama kelaman menjadi kebiasaan.

Dari artikel Muslimat dakwah… Senyumlah (September 2006) sehinggalah respon melalui surat pembaca Muslimat Dakwah yang Tersenyum (November 2006), kedua-duanya memberi perspektif bersifat pelbagai yang membuat para pembaca dapat menyemak kembali metodologi dakwah dan selaras dengan pendekatan kontemporari yang tidak lari dari Quran dan Sunnah.

Dalam kedua-dua tulisan yang disiarkan sebelum ini, penulis ingin berkongsi beberapa pandangan peribadi terhadap isu dakwah Muslimat dan perkara-perkara yang perlu diperhalusi dalam dunia dakwah.

Semak kembali persepsi negatif terhadap golongan pendakwah

Persepsi timbul dalam beberapa keadaan. Pertama, persepsi kesan dari daripada kepercayaan awal terhadap sesuatu perkara. Kepercayaan awal ini akhirnya terbentuk menjadi sesuatu yang dipercayai benar dan betul oleh orang awam. Kedua, persepsi kesan dari kelompok sasaran yang konsisten dengan sikap dan perbuatan yang menjadikan orang awam percaya ia sebagai benar.

Ketiga, persepsi kesan daripada ketidak fahaman serta sikap tidak terbuka dengan keadaan baru. Persepsi pula dijadikan tembok untuk menghalang orang lain dan diri sendiri daripada melihat ia dari sudut sebenar.

Keempat, persepsi juga timbul dek pengamalan individu yang dianggap mewakili kelompok keseluruhan. Isu muslimat dakwah yang dianggap tidak mesra baik dari segi senyuman dan santun budinya jatuh dalam salah satu keadaan ini.

Malah penulis juga pernah terperangkap dalam salah satu persepsi ini. Kurang budaya senyum dan memberi salam di kalangan muslimat bertudung labuh kepada mereka yang bekerja membersihkan universiti dan layak dipanggil makcik dan nenek berlaku berkali-kali di hadapan mata. Dari satu tahun ke satu tahun pengajian ia berulang-ulang.

Lebih jauh lagi, senyuman dan salam itu sudah menjadi pemberian berkasta, hanya apabila mereka bertemu di kalangan kelompok mereka. Kesannya, ia memberi perangkap persepsi negatif penulis terhadap mereka.

Pendakwah sentiasa dilihat sempurna di mata awam

Walau apa pun, muslimat dakwah yang konsisten dengan usaha menyemarakan cara hidup islam tidak perlu terkejut dengan persepsi seperti ini. Ia tetap berlaku kerana kelompok dakwah muslimat bagi mereka yang melihat merasakan ada nilai kesempurnaan di mata orang lain.

Bagi mereka kesempurnan ini tidak patut dicalari dengan kesilapan. Ini secara langsung menidakkan sebarang alasan terhadap kekurangan ini. Bagi orang awam, muslimat dakwah tidak berbuat silap, dan kesilapan itu kelihatan besar bagi mereka. Inilah punca apabila satu kealpaan kecil diperbesarkan dan mejadi isu besar seperti mana disentuh dalam artikel sebelum ini.

Pertembungan cara hidup dan pemikiran antara golongan berlatar belakang sekolah agama dan sekolah harian kerajaan adalah pertembungan yang mewujudkan pro dan kontra dalam suasananya. Timbul keadaan seolah-olah satu kelompok kelihatan seperti mulia dan satu kelompok lagi merasakan diri mereka jahat dan berdosa di mata orang lain.

Bimbingan NGO-NGO Islam memimpin muslimat dakwah.

Muslimat-muslimat dakwah dengan bimbingan badan-badan dakwah yang bergerak aktif mentarbiah masyarakat akan banyak membantu untuk memberi metodologi pendekatan dakwah yang lembut dan halus sehingga menjalar terus ke hati mereka. Jurang si mulia dan si berdosa yang berlegar dalam masyarakat menjadi penghalang kepada pentarbiahan masyarakat.

Ilmu manusiawi yakni kemahiran komunikasi interpersonal, pendekatan mewujudkan budaya satu keluarga, komunikasi budaya adalah ilmu-ilmu yang perlu digandingkan bersama-sama dalam membawa risalah Islam. Ilmu-ilmu ini sudah menjadi kemestiaan perlu dipelajari untuk mengurangkan jurang ini.

Metodologi dakwah perlu disemak dari masa ke semasa.

Dari masa ke semasa, penilaian dan semakan metodologi dakwah perlu dibuat agar ia dapat diserap dalam perubahan budaya dan pemikiran orang awam hari ini. Di Afrika misalnya, Pusat Dakwah Islam Antarabangsa (IPCI) di Durban secara aktif menganjurkan kelas kewartawanan mingguan dalam usaha mendedahkan para pendakwah kemahiran penulisan berita pelbagai kategori, dari jenayah sehinggalah berbentuk politik, kekeluargaan dan isu semasa agar ia dapat digunakan sebagai medium dakwah. Boleh jadi akhbar menjadi benda yang sangat berpengaruh di sana sehinggakan pendakwahnya juga diadun minda menjadi seorang wartawan.

NGO-NGO Islam di Malaysia dalam pengamatan penulis turut menekankan kepada keperluan dakwah semasa. Kerana itu, dalam apa program dakwah baik berbentuk seminar, ceramah dan bengkel, post mortem sangat penting untuk melihat sama ada ia mencapai sasaran, mengenalpasti kelemahan dan peluang dari apa yang dianjurkan.

Prasangka adalah tembok yang perlu diruntuhkan.

Timbalan Presiden Kelab Maaruf, Mardiana Mat Ishak menekankan betapa pentingnya meruntuhkan tembok prasangka agar hidayah masuk ke hati setiap manusia. Prasangka dalam contoh Mardiana menekan kepada penolakan kelompok yang diajak mengikuti kuliah-kuliah agama.

Apabila seorang yang didakwah berkata program sebegitu untuk mereka yang bertudung labuh dan seumpamanya, maka apa yang perlu dilihat oleh muslimat dakwah mencari sebab timbulnya prasangka tersebut dan mengenalpasti karakteristik yang timbul dalam kenyataan sedemikian.

Pendakwah juga harus mengawal diri dari bersikap prasangka dengan menjangka awal-awal lagi mereka tidak akan datang ke program sedemikian kerana sudah ada kepercayaan dalam diri mereka bahawa usia muda belum puas berhibur dan seumpamanya.

Tanpa mengenali mereka secara individu, kita mungkin telah melakukan penganiayaan dengan prasangka terhadap golongan ini. Inilah fanomena si mulia yang sangat berbahaya jika terus menerus melekat di minda.

Bersedia menerima teguran bila-bila masa

Sikap bersedia menerima teguran dalam usaha dakwah adalah satu proses pembaikan dan mencapai ke tahap untuk menyempurnakan. Pujian boleh memberikan semangat, teguran terhadap usaha dakwah adalah satu pemantapan terhadap proses sedia ada.

Hatta dalam dunia akademik sekalipun, kritikan terhadap kajian dari seorang ahli akademik dari ahli akademik lain menjadi satu proses menguatkan apa yang diketengahkan. Dalam dunia sastera, kritikan adalah elemen yang penting untuk meninggikan nilai dan kehalusan dalam pengkaryaan. Perkara yang sama juga berlaku dalam proses dakwah

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini

Los dan Faun permulaan kepada filem & drama bersiri

Bukan mudah bagi menghasilkan sebuah filem penyiasatan ala-ala Detective Conan, tetapi Afdlin Shauki berjaya melakukannya. Kali terakhir saya menonton cerita penyiasatan adalah sebuah drama berjudul Siapa Bunuh Alice. Seingat saya watak Zami Ismail sangat menonjol sebagai seorang penyiasat yang cuba membongkar kematian Alice (lakonan Alice Voon) di sebuah rumah percutian. Itu adalah drama lebih sepuluh tahun dahulu. Sehingga kini jika dilakukan carian Google, Siapa Bunuh Alice masih menjadi topik perbincangan. Kali ini versi filem dengan perspektif baru dan jenayah baru diketengahkan melalui Los dan Faun. Tidak sempat menonton di Kuala Lumpur, saya mencuri masa menonton di Melaka hari ini tanpa saya sangka perkataan cencalok dan Klebang juga menjadi sebahagian dialog. Babak demi babak yang ditonjolkan secara pantas berbeza dengan pendekatan pengarah filem tempatan sebelum ini. Los dan Faun menjadikan saudara tidak senang duduk untuk mengikuti perjalanan cerita sehingga akhir. Kehilang...

Rahsia Bisnes Mamak di Malaysia Hari Ini TV3

Ruang menunggu di belakang studio Puan Wardina, (kiri) bersama dua orang tetamu Pandangan studio MHI dari belakang Hadiah sempena EURO 2008 Tuan Alexander (dua dari kiri) dan Tuan Thomas (pertama dari kanan) Penerbit MHI edisi Jumaat 27 Jun 2008, Tuan Ally Iskandar Slot Rahsia Bisnes Mamak 27 Jun 2008 Jam 7.30 pagi Malaysia Hari Ini, TV3 Saya menerima pesanan ringkas pada jam 6.00 pagi. Tuan Roslan mengingatkan saya program bersama Malaysia Hari Ini di TV3 pada hari ini. Saya sudah berada di Stesyen LRT Setiawangsa menuju ke Taman Bahagia. Dari sana, menuju ke Sri Pentas dengan teksi. Suasana Sri Pentas masih sunyi, cuma para kakitangan sudah berada di sana sejak awal lagi. Sebahagian masih belum pulang sejak semalam. Farah Fauzana sedang rancak di konti Hot FM, saya agak keliru dengan kedudukan studio. Berdiri di satu sudut, rakan setugas Farah Fauzana, Faizal Ismail menyapa saya dengan senyuman pagi. Kedatangan saya kali kedua (sebelum ini datang sebagai pelawat) adalah bagi mem...