Langkau ke kandungan utama

Sembang Sabtu: Borhan tak suka beri pinjam buku

Sembang Sabtu: Borhan tak suka beri pinjam buku
Berita Harian, Sabtu 12/8/6

KALAU orang pinjam duit, tak bayar pun tak apa, tapi kalau buku, memang susah saya nak beri pinjam kerana ramai yang tak mahu pulangkan. Ini yang paling saya tak suka, cerita pejuang kemerdekaan, Datuk Wira Borhan Md Yaman, 77.

Sikap kedekut dan ulat buku itu mendorong beliau memiliki 2,160 judul buku yang dijilid dan disimpan dengan baik dalam bilik khas yang dijadikan perpustakaan mini di rumahnya di Klebang, Melaka.

Sebahagian daripada koleksi buku itu adalah karya penulis Indonesia sejak 1950-an dan disimpan mengikut urutan nombor siri bagi memudahkannya mencari.

Antara buku kesayangan Borhan ialah koleksi buku agama dan novel Prof Dr Hamka dan Presiden Sukarno, malah buku, Pandang Balik karya Tunku Abdul Rahman Putra yang diterima sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan pada 1980 juga disimpan dengan baik.

Mengimbau kenangan silam, Borhan mempunyai enam anak dan 28 cucu berkata: “Ketika saya bersekolah pada 1938, saya dilantik ketua darjah. Kemudian cikgu pilih saya jadi ahli ‘kutubkhanah’ (pustakawan) yang ketika itu cuma ada 40 judul buku, kebanyakannya Indonesia.

“Di situ minat saya terhadap buku bermula. Minat ini berterusan dan menjadi hobi saya. Kalau tak dapat membaca, saya mengantuk dan tidak selesa. Saya jadi ulat buku,” katanya yang sanggup berbelanja beribu-ribu ringgit untuk membeli pelbagai jenis buku.

Pegangan beliau ialah ‘jauh perjalanan, banyak pilihan, lama hidup banyak dirasa, banyak membaca luas pengetahuan dan pengalaman’.

“Saya tidak keseorangan. Kawan-kawan saya (yang sukakan buku ketika itu) ramai... ada ulama dan ahli politik,” katanya.

Bagi menerap minat membaca di kalangan ahli keluarganya, Borhan menjadikan budaya menghadiahkan buku sebagai amalan. Ia secara tidak langsung dapat menambah koleksi.

“Saya banyak baca buku Indonesia terutama mengenai perjuangan. Sebab itu hari ini saya tetap berjuang walaupun tidak berduit,” katanya.

Borhan berkata, melalui pembacaan, dapat menanam semangat bekerja, membina hidup, berdikari, cintakan tanah air, agama dan semangat tidak tunduk kepada pihak lain kecuali kepada Allah.

“Pilih buku sama macam pilih kawan. Jika pilih buku lucah, sama juga berkawan dengan orang yang rosak akhlak dan rendah moral,” katanya yang suka memilih buku karya pejuang dan pengarang terkenal.

Katanya, hidup di dunia perlu mencari keredaan Allah, biar sedikit tetapi berkat dan tidak guna mencari rezeki tidak halal.

“Apa yang penting setiap kerja mesti ikhlas, biar orang pandang kita rendah sebab miskin, tidak beri sumbangan kepada orang lain, tidak mengapa. Apa yang mustahak, takut Allah melaknat kita. Jangan sekadar falsafah kita saja tinggi, tetapi tidak diamalkan,” katanya.

Ulasan

Terima Kasih kerana menulis mengenai Datuk Saya

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini

Los dan Faun permulaan kepada filem & drama bersiri

Bukan mudah bagi menghasilkan sebuah filem penyiasatan ala-ala Detective Conan, tetapi Afdlin Shauki berjaya melakukannya. Kali terakhir saya menonton cerita penyiasatan adalah sebuah drama berjudul Siapa Bunuh Alice. Seingat saya watak Zami Ismail sangat menonjol sebagai seorang penyiasat yang cuba membongkar kematian Alice (lakonan Alice Voon) di sebuah rumah percutian. Itu adalah drama lebih sepuluh tahun dahulu. Sehingga kini jika dilakukan carian Google, Siapa Bunuh Alice masih menjadi topik perbincangan. Kali ini versi filem dengan perspektif baru dan jenayah baru diketengahkan melalui Los dan Faun. Tidak sempat menonton di Kuala Lumpur, saya mencuri masa menonton di Melaka hari ini tanpa saya sangka perkataan cencalok dan Klebang juga menjadi sebahagian dialog. Babak demi babak yang ditonjolkan secara pantas berbeza dengan pendekatan pengarah filem tempatan sebelum ini. Los dan Faun menjadikan saudara tidak senang duduk untuk mengikuti perjalanan cerita sehingga akhir. Kehilang...

[Penulisan] Seni berkahwin dengan perkataan.

Sembang malam untuk difikir-fikirkan sebelum tidur setiap hari. Kompilasi soalan yang bertanya, "Bolehkah hidup dengan menulis?" Dahulu saya sukar berkata ya sebelum mendapat royalti pertama. "Tuan, izinkan saya memberitahu lapan perkara (1) Saya hidup di universiti tiga tahun akhir tanpa pinjaman pendidikan. Mengulang kertas, lama berada di sana. (2) Hidup bergaji selama dua tahun sebanyak RM700  di mana para graduan hari ini akan menolak jawatan bergaji begitu. (3) Membayar setiap sen hutang pinjaman pendidikan sebelum berkahwin. (4) Terbang menemui bakal isteri di Perth untuk mendengar beliau berkata ya sahaja selepas ibu bapanya berkata ya. (5) Membeli cincin bertunang ketika harga emas naik. (6) Berkahwin tanpa pinjaman peribadi. (7) Menyewa rumah di dua lokasi berbeza. (8) Berbelanja dapur untuk almarhum bonda. Ia ditampung dengan royalti sebagai tiang pendapatan utama kemudian disusuli yang lain-lain. Meski pun begitu, kita menulis sebagai pelan ...