Pertama kali bersolat Jumaat di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur adalah satu perkara baru untuk aku, lebih-lebih lagi di kawasan sekitar Penjara Pudu. Keliru juga apabila pertama kali mendengar penerangan abang Jef Hazimin tentang masjid yang wujud di situ.
"Ada masjid di sini, di belakang penjara Pudu. Ikut sahaja dari tepi dinding penjara sampai nampak masjid. Cuma ia tidak kelihatan seperti masjid, bangunan setingkat," jelasnya.
Aku masih tidak nampak gambarannya lagi. Cuma aku dapatkan dinding penjara Pudu yang pernah memenjarakan penjenayah seperti Botak Chin, itu sahaja. Lama juga aku memikirkannya. Akhirnya aku membuat keputusan, lebih baik cuba pergi dahulu.
"Tak pergi solatkah?" tanya setiusaha Ansar Channel, Noreen sambil melihat jam. Mungkin dia bertanya kerana melihat aku memakai baju Melayu hitam di pejabat hari ini.
"Pergi."
"Sudah pukul 1.20 tengah hari. Bukankah Zohor awal," malu aku mendengar kata-katanya, macam orang jahil yang hendak ponteng solat pula. Aku mencari-cari sesiapa yang boleh aku ajak bersama, tiada. Akhirnya aku seorang sahaja yang pergi dengan mereka imaginasiku sendiri yang belum tentu pasti.
Sampai juga akhirnya, cuma sempat mendengar sedikit isi khutbah yang tidak sampai lima minit dan jemaah mula bersolat. Selepas solat barulah aku melihat kelibat abang Jef dan abang Amir yang baru keluar dari masjid dari pintu hadapan.
"Kamu ikut mana tadi?" soal abang Jef
"Saya ikut tepi dinding penjara tadilah," jawabku yakin.
"Kenapa ikut jalan jauh, dinding sebelah sini lebih dekat. Masjid mana kamu pergi, masjid yang semuanya berpakaian putihkah?" soalnya
Aku tersenyum. Kalau semuanya putih, maknanya masjid untuk banduan di dalam agaknya. Cuma, jika aku turut serta mahu dijadikan aku imam dek kerana baju Melayu berlainan warna.
Sesak juga keadaan jalan raya hari ini. Kesesakan kerana jemaah masjid dan mereka yang berehat kini bergegas ke pejabat.
"Zamri, kalau kamu mahu buat praktikal nanti ada tempat di sana,"tunjuknya di seberang jalan.
Sekumpulan manusia sedang mengelilingi seorang lelaki yang sedang menjual produknya.
Suasananya sama sahaja seperti penjual ubat di kaki lima masjid India, pasti ada yang datang mendengar.
"Kalau hendak belajar pengucapan awam, mereka inilah orang yang patut para cerdik pandai berguru," kata abang Amir.
"Apa rahsianya?" tanya abang Jef dengan penuh minat. Aku pula memasang telinga.
"Kebanyakan mereka menggunakan formula yang sama. Hatta ahli politik dalam tempoh berkempen pun mengguna pakai formula lama yang tidak jauh bezanya iaitu...
- Gunakan perkataan yang mudah sahaja.
- Sesekali gunakan perkataan yang nampak keintelektualan dan hebat untuk mempamerkan kehebatan pengucap dan barangannya.
- Bercakaplah pada kederasan yang tinggi tanpa henti panjang.
- Berkata dengan bersungguh-sungguh dan yakin dengan setiap apa yang disampaikan.
- Intonasi harus tinggi.
- Adakalanya wujudkan satu 'pelakon' yang akan turut serta dalam demonstratsi. Kalau dalam ceramah politik orang inilah yang akan mengapikan emosi ramai seperti menjerit dengan kuat, "Hidup...."
- Pendekatan ini ialah menggunakan kelemahan orang lain. Iaitu setiap orang sudah terlatih untuk membuat keputusan, jadi dengan mengaplikasi semua ini, manusia dalam keadaan tergesa-gesa, tidak boleh berfikir dan segera membuat keputusan"
Ulasan