Langkau ke kandungan utama

Ghafar Baba saksikan usaha merdeka [02]

Ghafar Baba saksikan usaha merdeka

Bahagian kedua


Sambungan daripada rencana bertajuk ``Ghafar Baba simpan banyak kisah suka duka'' yang disiarkan Mingguan Malaysia semalam.
Oleh: DR ALIAS MOHAMED

Pada tahun 1956, setahun selepas pilihan raya kebangsaan yang pertama, rombongan rundingan kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman berangkat ke England untuk mendapat persetujuan British supaya Malaya menjadi sebuah negara merdeka pada tahun 1957.

Pergerakan Pemuda UMNO membuat ketetapan supaya tarikh kemerdekaan negara dimaktubkan pada 31 Ogos 1957.

Perjanjian menyerahkan kembali kemerdekaan Malaya ditandatangani di London pada 8 Februari 1956, iaitu jatuh pada hari jadi Tunku. Sebaik sahaja perjanjian ditandatangani, UMNO Melaka mencadangkan supaya pengisytiharan tarikh kemerdekaan itu dibuat di Melaka kerana negeri itu dianggap negeri bersejarah.
Oleh itu Perikatan Melaka menubuhkan `Jawatankuasa Sambutan' yang dipengerusikan oleh Muhammad Abdul Rahman, Ketua Pemuda UMNO.

Sambutan yang sepatutnya dibuat pada petang 20 Februari 1956 tetapi diubah kepada sebelah pagi. Perubahan ini dibuat atas kehendak Ibu Pejabat UMNO kerana di sebelah petang satu perhimpunan lagi akan diadakan di Kuala Lumpur untuk menyambut kepulangan Tunku dengan rombongannya.

Tetapi Jawatankuasa Sambutan di Melaka membantah kehendak Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur. Mereka bercadang untuk ``menculik'' Tunku apabila kapal terbang yang dinaiki beliau mendarat di Melaka pada sebelah pagi supaya pengisytiharan tarikh kemerdekaan itu tetap diadakan di sebelah petang juga seperti jadual asalnya.

Ghafar menjelaskan: ``Saya tidak bersetuju dengan rancangan Pemuda UMNO ini dan atas sifat saya sebagai Ketua Bahagian saya membubarkan Jawatankuasa Sambutan itu dan mengambil alih semua kerja-kerja sambutan kepulangan Tunku.''

Pada 18 Februari 1956 Ghafar ke Singapura dengan menaiki kapal terbang Dakota.

``Inilah kali pertama pengalaman saya menaiki kapal terbang.'' Katanya, dia ke Singapura untuk memberitahu Hamid Jumat, Ketua UMNO Singapura, supaya jangan membuat apa-apa sambutan bagi kepulangan Tunku kerana dia berharap pengisytiharan tarikh kemerdekaan dibuat di Melaka juga dan bukan di tempat lain.

Pada 19 Februari 1956 Ghafar mengarahkan semua ahli-ahli UMNO memberitahu rakyat di seluruh Melaka bahawa pengisytiharan tarikh kemerdekaan tetap dibuat di sebelah pagi pada 20 Februari 1956, dan bukan di sebelah petang seperti yang dirancangkan oleh Jawatankuasa Sambutan yang telah dibubarkan itu.

Akhirnya, kerja-kerja Ghafar mengumpulkan orang berjaya. Bukan sahaja penduduk Melaka, bahkan penduduk seluruh negara telah berhimpun seramai 100,000 orang di Padang Bandar Hilir, (sekarang diberi nama Padang Pahlawan) bagi menyambut kepulangan Tunku dan rombongannya dari London.

Datuk Panglima Bukit Gantang, Menteri Besar Perak, mewakili Raja-Raja Melayu. Tun Tan Cheng Lock wakil masyarakat Cina, dan Tun Sambanthan, wakil masyarakat India memberi ucapan aluannya sebelum Tunku mengisytiharkan tarikh kemerdekaan.

Sebagai pengerusi, Ghafar turut berucap mengalu-alukan kejayaan rombongan rundingan kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku itu. Di antara lain Ghafar berkata:-

Pada 450 tahun yang lalu di sinilah tempatnya datuk nenek orang Melayu Melaka berkorban dalam perjuangan menentang imperialis. Pada hari ini, 450 tahun kemudian, walaupun sudah sekian lama jasad datuk nenek kita hilang ditelan bumi, tetapi rumput-rampai, air laut yang ada di sekeliling kita pada hari ini menjadi saksi bahawa roh datuk nenek kita hidup semula dan menyaksikan anak cucunya yang telah menyambung perjuangannya sekian lama dapat menebus kembali kemerdekaan Melaka yang telah hilang itu.

Rakyat Melaka terhutang budi kepada Tunku Abdul Rahman kerana dengan usahanya yang gigih Melaka, yang telah diperintahkan berkurun-kurun lama oleh penjajahan Barat dan Timur, dapat dikembalikan kemerdekaannya tidak lama lagi.''

Menurut Ghafar, Tunku, sebagaimana biasa, berucap dengan nada sederhana tetapi penuh bererti. Setelah menghuraikan beberapa perkara penting yang dinukil dalam perjanjian kemerdekaan yang ditandatangani di London, maka sampailah saat yang ditunggu-tunggu untuk Tunku mengisytiharkan 31 Ogos 1957 sebagai hari kemerdekaan Malaya.

Kata Ghafar mengingati saat-saat bersejarah dan penuh kenangan itu: ``Masih dapat saya gambarkan sehingga hari ini kedengaran tempik sorak 100,000 rakyat di Padang Bandar Hilir dengan penuh perasaan terharu bercampur riang gembira yang tidak terhingga kerana perjuangan besar rakyat Malaya telah mencapai kejayaan dengan sepenuh-penuhnya.''

Tunku telah dihadiahkan sebilah keris berumur 100 tahun oleh UMNO Cawangan Simpang, Melaka. Di sebelah petang, satu lagi perjumpaan raksasa dalam hujan lebat diadakan di Kuala Lumpur untuk menyambut kepulangan Tunku dan rombongan beliau.
Salah satu isu yang dirundingkan di London ialah menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas yang diketuai oleh Lord Reid yang kemudian dikenali dengan Suruhanjaya Reid. Wakil-wakil daripada negara Pakistan, India, Australia dan Great Britain menjadi ahli-ahli suruhanjaya untuk menggubal perlembagaan Malaya Merdeka.

Perikatan memainkan peranan penting dengan mengemukakan beberapa cadangan dan pindaan ke atas perlembagaan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid. Kata Ghafar: ``Saya berasa bangga kerana dapat bersama sebagai Ahli Badan Perundangan tersebut meluluskan perlembagaan buat kali pertama untuk melahirkan sebuah negara Malaya yang merdeka penuh.''

Dalam tahun 1957 Ghafar mengingati satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Katanya:

``Pada 30 Ogos 1957 ketika saya sedang bekerja di pejabat UMNO Melaka tiba-tiba seorang ahli UMNO datang memberitahu bahawa satu upacara sedang berlangsung di Padang Bandar Hilir di mana pegawai-pegawai British yang diketuai oleh Resident Commissioner, Mr. Hammet, akan menurunkan dengan rasminya bendera Union Jack yang menjadi lambang pemerintahan kolonial di Melaka sejak tahun 1895.

``Oleh itu, saya dengan serta-merta berlari ke tempat tersebut kerana ingin menyaksikan bendera British (Union Jack) yang terakhir diturunkan.'' Peristiwa itu merupakan satu sejarah penting bagi diri saya, kata Ghafar.

Beliau masih ingat dengan jelas di upacara itu, dua orang anggota tentera laut British menurunkan perlahan-lahan bendera Union Jack disaksikan oleh Resident Commissioner Melaka yang terakhir. Katanya, upacara itu juga disaksikan oleh beberapa orang penarik beca yang berehat di situ.

``Bendera itu dilipat dengan kemas kemudian dua orang anggota tentera tersebut membawa bendera Union Jack ke tepi pantai dan dengan sebuah perahu ia kemudian dibawa naik ke kapal yang sedang menunggu untuk dibawa balik ke England dan disimpan dalam muzium di London,'' kata Ghafar.

Ghafar tidak menyembunyikan perasaannya: ``Saya merasa satu kepuasan menyaksikan peristiwa tersebut kerana saat itulah yang saya tunggu-tunggu setelah bertahun-tahun lamanya berjuang untuk menentukan pemerintahan British dihapuskan daripada bumi Melaka dan Malaya.''

Selepas itu Ghafar menuju ke Kuala Lumpur menaiki teksi untuk menyaksikan upacara menurunkan bendera Union Jack di Padang Kelab Selangor. Di hadapan ribuan manusia tepat pada pukul 12.00 malam bendera itu diturunkan oleh pemuda-pemuda UMNO yang diketuai oleh Tahir Majid.

``Berbeza dengan penurunan Union Jack di Melaka kerana yang menurunkan Union Jack di Melaka ialah orang Inggeris sendiri,'' kata Ghafar.

Pada esok paginya dalam hujan renyai-renyai, tetapi di bawah cahaya matahari yang terang-benderang, hampir 100,000 orang berkumpul di Stadium Merdeka yang baru berumur setahun dibina oleh Tunku untuk menyaksikan upacara pengisytiharan kemerdekaan. Perisytiharan ini dibaca oleh Tunku sendiri atas sifatnya sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu disaksikan oleh kesemua Raja-Raja Melayu dan Wakil Baginda Queen dan Duke of Gloucester.

Tunku meneriak perkataan ``Merdeka'' sebanyak 31 kali sempena tarikh pengisytiharan yang disambut dengan penuh bersemangat oleh setiap rakyat yang hadir. Ghafar sekali lagi berpeluang menyaksikan peristiwa yang bersejarah ini dengan bangganya.

Pada sebelah petangnya beliau pulang ke Melaka untuk menyaksikan pengisytiharan pembebasan negeri Melaka dalam Persekutuan Tanah Melayu.

``Pada mulanya saya berhajat memulaukan majlis tersebut kerana saya telah berselisih faham dengan Tunku bersabit dengan pelantikan gabenor Melaka yang pertama.''

Katanya, dia tidak membantah pelantikan seorang Cina menjadi gabenor Melaka. Tetapi apa yang sangat dia inginkan ialah untuk melihat gabenor yang pertama itu mestilah orang Melayu kerana Melaka asalnya mempunyai raja dan juga sebagai sebuah negeri yang tertua lagi bersejarah.

``Malangnya, Tunku tidak dapat mengubah keputusan yang telah dibuat bersama-sama dengan baginda Queen di London. Sebagai tolak ansur saya diamanahkan oleh Tunku untuk membaca surat kemasukan Melaka sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan berdaulat,'' jelasnya.

Masih jelas dalam ingatannya selepas Gabenor Leong Yew Koh memberi ucapan ringkas, beliau menyaksikan bendera Melaka buat kali pertama dinaikkan atas puncak tiang sebagai tanda lahirnya negeri Melaka yang merdeka dan berdaulat.

Ghafar kemudian ditugaskan mengetuai sebuah jawatankuasa untuk melukis bendera Melaka. ``Warna biru yang ada pada bendera Melaka sekarang ini pada asalnya mengikut cadangan saya ialah warna hijau. Tetapi Tunku mahukan warna biru, mungkin mengingati warna biru ialah warna Parti Perikatan,'' kata Ghafar.

Terang Ghafar lagi mengenai perkara ini: Warna merah pada bendera negeri Melaka melambangkan keberanian, warna putih melambangkan kesucian, bulan dan bintang menggambarkan kebesaran raja-raja Melayu zaman dahulu dan bintang yang berbucu lima melambangkan rukun Islam.''

Menurut Ghafar, tiga bulan sebelum diisytiharkan kemerdekaan Tunku menawarkan jawatan Ketua Menteri Melaka yang pertama kepada beliau. Tetapi dia menolak kerana dia tidak mahu menjadi Ketua Menteri yang dilantik sedangkan pelantikan itu hanya untuk selama dua tahun sahaja. Pada fikirannya tidak banyak pembangunan yang boleh dilaksanakan bagi menjadi modal Perikatan untuk menghadapi pilihanraya dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1959.

Akhirnya, Datuk Othman Talib, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka yang pertama (yang dilantik) selama dua tahun.

Pada tahun 1959 pilihan raya diadakan di Melaka bagi memilih semua seramai 20 orang ahli Dewan Undangan Negeri. ``Tunku mendesak saya supaya bertanding. Pada mulanya saya enggan menerima tawaran itu,'' kata Ghafar.

Dengan izin Allah Parti Perikatan menang 100 peratus (20 kerusi) yang ditandingkan. Kemudian Tun Razak dan Manickavasagam, Presiden MIC, datang ke Melaka untuk memujuk beliau menjadi Ketua Menteri.

Dalam ceritanya yang diberi kepada saya, Ghafar mengaku: ``Saya berasa berat untuk menerima tawaran itu. Sebaliknya saya mengemukakan beberapa nama lain yang difikirkan lebih layak untuk menjadi Ketua Menteri. Tetapi kesemua nama-nama itu ditolak oleh Tunku. Pada esok harinya Tunku menghantar sebuah kapal terbang tentera ke Melaka membawa saya ke Kuala Lumpur bertemu dengannya untuk memujuk saya menerima tawaran tersebut.''

Pada tahun 1967 Tunku melantik Ghafar sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara). Pada waktu yang sama beliau masih menjadi Ketua Menteri Melaka. ``Oleh kerana saya terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk menjalankan tugas sebagai Pengerusi Mara sambil menjadi Ketua Menteri Melaka, maka selepas enam bulan kemudian saya mengambil keputusan meletakkan jawatan Ketua Menteri dan memegang satu jawatan sahaja iaitu Pengerusi Mara. Saya berpendapat adalah lebih penting menjadi Pengerusi Mara untuk membolehkan saya membantu orang Melayu di seluruh negara, sedangkan sebagai Ketua Menteri Melaka saya hanya dapat membantu segelintir rakyat di negeri itu sahaja.''

Setahun kemudian, dalam tahun 1968, Ghafar dilantik pula menjadi Senator dan Menteri Tak Berportfolio dalam Kabinet Tunku. Sebenarnya, kata Ghafar, sejak tahun 1967 lagi Tunku telah mulai menyebut-nyebut hendak membawa beliau masuk dalam Jemaah Menteri Kerajaan Pusat.

``Setiap kali beliau membuat tawaran itu saya menolak dengan baik. Peristiwa ini bermula pada satu hari semasa beliau bertemu dengan Tunku di Royal Selangor Golf Club. Di pertemuan ini Tunku memberitahunya supaya mendengar berita radio pukul 1.30 tengah hari pada hari itu.

``Saya sudah pun menduga bahawa berita yang akan saya dengar itu ialah untuk melantik saya menjadi Menteri Kerajaan Pusat. Jadi saya meminta beliau supaya menggugurkan cadangan itu. Tetapi Tunku hanya tersenyum dan berdiam diri. Selepas itu saya menelefon Tun Razak supaya memujuk Tengku agar tidak meneruskan cadangannya. Permintaan saya akhirnya berhasil kerana berita radio pukul 1.30 tengah hari itu tidak menyiarkan apa-apa berita mengenai diri saya.''

Menurut Ghafar, kebetulan pada hari Tunku mencadangkan untuk melantiknya dalam Kabinet beliau telah bersiap untuk memulakan lawatan ke Kesatuan Soviet bagi kali pertama. ``Sungguhpun lawatan itu bukan lawatan rasmi kerana saya telah meletakkan jawatan Ketua Menteri, tetapi saya diberi sambutan meriah. Saya menjadi tetamu negara mungkin kerana sistem komunis memandang tinggi kepada ketua-ketua parti politik. Kebetulan juga pada waktu itu saya masih memegang jawatan Naib Presiden UMNO,'' kata Ghafar menceritakan bagaimana beliau boleh sampai ke Soviet dalam tahun 1967.

Dari Rusia Ghafar terus ke Mekah menunaikan fardu haji. Dalam perjalanan balik beliau singgah di Bangkok. Katanya: ``Saya terperanjat melihat Duta Malaya ke Bangkok, Hamid Pawanteh, datang menemui saya tergesa-gesa dan mengucapkan tahniah. Rupa-rupanya Hamid baru sahaja mendengar berita radio yang saya telah dilantik menjadi Menteri Kerajaan Pusat, iaitu Menteri Tak Berportfolio.''

Ghafar merasakan peristiwa ini amat lucu kerana Tunku tidak putus asa untuk memberi jawatan kepadanya yang dia tolak dengan bersungguh-sungguh.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini
Zamri Mohamad adalah penulis 20 buah buku , jurulatih penulis bebas  di kursuspenulisan.com , perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi .

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal Oleh Yusmairan Mat Yusoff Petikan Berita Harian MENJANGKAU usia 40 tahun membawa persepsi berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, menginjak usia berkenaan bagaikan baru saja memasuki permulaan hidup sebenar, semangat baru dan semakin matang. Wanita pula dikaitkan dengan perkara negatif dan musim saham mula menurun. Jika dilihat dari segi kematangan, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Ada gadis mula haid seawal sembilan tahun tetapi lelaki sesetengahnya sudah memasuki usia 17 tahun tetapi belum lagi mencapai tahap berkenaan. Bagi yang mempunyai anak lelaki dan perempuan mereka boleh melihat perkara yang sama. Baru berusia 11 tahun anak perempuan sudah pandai mengemas tempat tidur, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kawasan rumah tetapi lelaki tingkatan tiga pun masih ada yang tidak tahu membuatnya. Semua urusan khususnya pengurusan diri diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Oleh sebab beberapa faktor itulah, kehidupan s...