Jumaat, Julai 29, 2005

Karisma kepimpinan, menikmati kemanisan buah secara bersama.

Selepas tamat pengajian Sejarah Amerika Syarikat, bergegas aku ke Auditorium Mini ITD mengikuti ceramah menarik mengenai kepimpinan berkarisma, jam sudah pun pukul 10.00 malam. Pergi bertiga, tetapi akhirnya aku seorang sahaja yang duduk berhampiran pentas.
Alhamdulillah, ramai benar yang mengikuti ceramah tersebut. Aku dengan sikapku biasanya akan mengambil beberapa gambar sebagai simpanan dan tujuan penerbitan akhbar jika diizinkan Allah. Ia menimbulkan keganjilan kerana aku bukanlah salah seorang jawatankuasa penganjur.
Keseluruhannya memang menarik meskipun aku terlewat sejam berikutan kelas yang memerlukan aku menonton filem Scarlet Letter di perpustakaan. Insya Allah, aku akan berkongsi gambar-gambar kuasa 'karisma'nya di blog ini nanti. Setakat ini aku mampu berkongsi sebahagian daripada catatanku dalam pengajian ilmu membina karisma. Moga-moga kita berkarisma dunia-akhirat.
Siapakah saudara Ahmad Naim Jaafar?
Ahmad Naim Jaafar dilahirkan pada 18 Mei 1979 di Sungai Besar, Selangor Darul Ehsan. Beliau adalah perunding dan jurulatih dalam bidang kepimpinan. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau adalah pengasas Pusat Pembangunan Kepimpinan yang meng-anjurkan program latihan untuk organisasi bagi mempromosi pendidikan kepimpinan di Malaysia. Beliau adalah salah seorang penerima Tun Razak Youth Leadership Award anjuran Malaysia Institute of Managemant MIM) pada tahun 2004. Beliau juga aktif sebagai penceramah dan perunding kepada program Bina Insan anjuran kerajaan negeri Selangor. Buku tulisan beliau berjudul Membina Karisma dijadikan modul pengajian di Pusat Ko-kurikulum Universiti Malaya dan beliau sendiri adalah tenaga pengajarnya.
Karisma kepimpinan, menikmati kemanisan buah secara bersama.
Bagaimana memperolehi karisma kepimpinan? Sebagaimana disebutkan oleh Hamka, ia dimaksudkan dalam bahasa Indonesia sebagai cahaya wajah dan cahaya ini (kuasa karisma) diperolehi dari dua sumber, iaitu pemberian terus dari Allah dan keduanya dari pergaulan dengan mereka yang mempunyai karisma seumpamanya.

Karisma adalah kualiti istimewa yang wujud khusunya dalam kepimpinan dan menarik perhatian ramai serta memberi inspirasi serta kecenderungan orang ramai untuk mengikutnya.
Kefahaman terhadap apa itu karisma berubah menurut mengikut corak media hari ini. Peranan media telah menukar imej siapakah yang dimaksudkan dengan pemimpin berkarisma dengan meletakan kelompok korporat dalam konteks pemimpin berkarisma moden berbanding apa yang difahami oleh masyarakat sebelum ini.

Terdapat beberapa elemen yang diperlukan dalam mewujudkan kepimpinan berkarisma. Seseorang harus menyedari bahawa dalam diri mereka mempunyai karisma yang tersendiri. Namun kepimpinan berkarisma dilihat dari tiga sudut yang berbeza iaitu karakteristik pemimpin, ciri-ciri pengikutnya dan keperluan suasana.
Gabungan ketiga-tiga ciri ini mewujudkan perhubungan dan kepimpinan berkarisma secara bersama. Ahmad Naim Jaafar penulis buku siri-siri Karisma dan pembangunan diri menyenaraikan beberapa karakter penting dalam memenuhi kriteria kepimpinan berkarisma.
Persepsi manusia membentuk karisma anda.
Isu persepsi sangat penting bagi individu yang melangkah ke dunia kepimpinan. Persepsi individu-individu sekeliling turut mencorakan kemampuan seseorang untuk berketrampilan sebagai seorang pemimpin yang sedia untuk diikuti dan dihormati.
Kelompok masyarakat sentiasa menjadi hakim terdapat kepimpinan yang ditonjolkan. Malah kesalahan kecil akan kelihatan besar bagi kelompok yang memandang nilai kepimpinan dalam mana-mana individu

Karakter yang seimbang menjadi faktor pencetus pemimpin berkarisma. Dalam kelompok yang dipimpin, ia tidak sekadar diukur dengan nombor tetapi ia lebih dinilai melalui pandangan seseorang terhadapnya.

Membina keyakinan diri yang tinggi.
Nilai keyakinan diri yang tinggi menjadi faktor nombor satu dalam membentuk kepimpinan berkarisma. Sikap percaya kepada diri, tidak mudah jatuh keyakinan dengan desakan dan kritikan menjadi teras kekuatan pemimpin. Dengan ertikata lain, tidak ada sesiapa yang dapat merendahkan diri seseorang melaian diri individu tersebut membenarkannya.
Percaya terhadap idea dan pelaksanaannya.
Kepercayaan sepenuhnya terhadap idea juga menggambarkan siapakah yang dimaksudkan sebagai pemimpin berkarisma. Pemimpin sebegini tidak cenderung menyentuh dan membawa sesuatuyang bersifat teknikal tetapi lebih kepada membina idea-idea umum yang akan dibina bersama kumpulan yang mahir untuk merealisasikannya. Dalam membina idea, pemimpin berkarisma akan membawa kumpulannya dalam mencapai matlamat bersama.

Seandainya seorang pemimpin dalam sebuah kelab kebajikan masyarakat memimpin ahli-ahlinya, sejumlah kutipan bukanlah fokus untuk membantu mereka yang memerlukan sebagai teras untuk menggerakkan persatuan, tetapi pemimpin akan membina fokus yang lebih besar dengan meletakan perjuangan untuk membela nasib mereka yang malang menjadi pencetus kepada bergeraknya persatuan tersebut. Idea dan fokus umum pemimpin akan seterusnya bertukar kepada tindakan-tindakan pelbagai bagi mencapai sasaran tersebut.

Tenaga dan semangat yang berterusan.
Pemimpin berkarisma juga memiliki tenaga dan semangat yang tinggi. Tenaga bukanlah sekadar tenaga fizikal pemimpin semata-mata, tetapi tenaga yang membakar semangatnya untuk terus bertindak dan memimpin serta melontarkan tenaga tersebut dengan semangat kasih sayang terhadap mereka yang dipimpinnya.

Kemampuan menterjemah idea dan berkomunikasi.
Pada masa yang sama, kemampuan melontarkan keinginan dan kehendak terhadap mereka yang dipimpin harus menjadi karakter seorang pemimpin berkarisma. Kegagalan dalam melontarkan secara jelas dengan kegagalan menyampaikan melalui komunikasi yang berkesan menjadi penghalang kepada kerjasama antara pemimpin dan pengikut. Akibatnya idea-idea yang bermanfaat dalam skala yang lebih luas tidak dapat dimanfaatkan dan diterjemah dalam tindakan susulan.

Sentiasa membina imej secara aktif.
Pemimpin berkarisma haruslah membina imej secara aktif. Pemimpin bukan sahaja harus melihat dirinya dalam tetingkapnya sendiri, tetapi pada masa yang sama harus meletakan diri dalam tetingkap orang lain. Pembinaan imej sendiri secara aktif secara langsung memperbaiki kekurangan lahiriah dan batiniah yang pada sama memperkemaskan keterampilan pemimpin

Bijak membaca perubahan sekeliling.
Kemampuan membaca perubahan sekeliling merupakan keperluan utama untuk pemimpin berkarisma. Tanpa kepekaan membaca perubahan dan bersedia serta bertindak balas sesuai dengan perubahan tersebut, akan berlaku penolakan antara satu sama lain antara idea pemimpin dan perubahan.
Mampu memotivasi orang bawahannya.
Dalam memotivasikan orang bawahan, pemimpian berkarisma harus tahu bagaimana mengetengahkan visinya dalam cara yang jelas dan mudah difahami. Ia sepatutnya sesuatu yang realistik dan boleh dicapai serta mempunyai nilai.

Dengan kayu ukur dan matlamat yang jelas, menjangkakan yang terbaik, memberi perhatian kepada orang bawahan, memberi ganjaran yang sewajarnya, kemampuan menyampaikan mesej melalui cerita yang berkesan, meraikan kejayaan bersama dan menjadi model ikutan orang bawahannya.

Kesemua ini akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak dan dalam membentuk kepimpinan Muslim berkarisma yang cemerlang melalui acuan ini, ia memberi keuntungan dan ganjaran bersama kepada ummah untuk menikmati bersama.

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates