Ahad, Julai 31, 2005

Antara realiti dan fantasia


Antara realiti dan fantasia

Oleh: AZIZ ISHAK uTUSAN 31 oGOS 2005
UCAPAN Ketua Penerangan Puteri UMNO, Shahaniza Shamsuddin pada Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu, yang menyentuh tentang kelekaan orang Melayu terhadap program realiti televisyen seperti Akademi Fantasia (AF), cukup menarik perhatian.

``Saya hairan mengapa program realiti bersifat hiburan seperti itu mendapat sambutan hangat masyarakat Melayu berbanding hal-hal bersifat pengetahuan dan informasi,'' demikian antara kata-katanya.
Sebenarnya bukan Shahaniza sahaja yang bimbang dengan fenomena tersebut. Masih ramai termasuk kalangan orang muda sendiri yang resah terhadap kecenderungan generasi muda kepada hiburan popular seperti program realiti.
Program seumpama itu sepatutnya diterima sebagai hiburan semata-mata dan bukan sebagai
perkara utama dalam kehidupan sehingga terlupa tentang agenda-agenda besar memajukan bangsa.
Tetapi apa yang dapat dilihat, ia sudah lari daripada landasan kesederhanaan yang sepatutnya menunjangi kehidupan kita yang berdepan dengan banyak misi besar kemanusiaan.
Alangkah lebih baik perhatian yang terlalu besar itu diberikan kepada usaha membantu ramai orang miskin di negara ini menerusi formula yang sama iaitu penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Alangkah baiknya jika tangisan kesedihan meratapi peserta AF yang tersingkir dapat sama diterjemahkan dalam bentuk kesedaran untuk memerangi ancaman sosial terutama gejala dadah yang membawa kemelaratan kepada ratusan ribu anak Melayu.
Alangkah baiknya juga jika keghairahan mengikuti program itu, dapat dilihat sama dengan anak-anak muda Melayu mempunyai budaya kuat membaca selain memenuhi perpustakaan-perpustakaan di negara ini yang biasanya lengang.
Rumusan yang boleh dibuat - tiada keseimbangan. Hiburan popular nampaknya lebih kuat menggamit hati nurani orang Melayu. Program realiti dan filem-filem Hindustan cukup mudah diterima seasyiknya.
Begitu juga soal memilih idola. Dalam keghairahan para peminat program realiti memperkatakan tentang idola mereka, terlintas perhatian kepada pelajar Malaysia, Najmil Faiz Mohamed Aris, 26, yang mencipta nama menerusi pembentangan kajiannya tentang teknologi nano di Parlimen United Kingdom, baru-baru ini.
Kajiannya itu yang memenangi anugerah The Best Research Of Good Prospect (2005) telah memikat hati kerajaan Britain termasuk Menteri Perindustrian, Brian Edden.
Selepas pembentangan itu, Najmil yang sedang mengikuti pengajian peringkat kedoktoran dalam bidang kejuruteraan di Universiti Metropolitan, Leeds diiktiraf antara pelajar Asia yang cemerlang.
Cerita yang membawa kepada kejayaan Najmil tidak kurang menarik. Dia terpaksa bertungkus-lumus bekerja sambil belajar sehingga tidur hanya dua tiga jam sehari. Malah pada waktu rehat tengah hari, sementara menunggu kuliah petang, dia bekerja.
Semua jenis kerja keras dilakukannya termasuk mencuci bangunan dan mengangkut barang semata-mata bagi menampung kos pengajian dan sara hidup.
``Tiada istilah penat dalam diri saya dan saya kerap tidak tidur malam untuk mengulang kaji pelajaran. Semuanya demi survival di rantau orang dan untuk kecemerlangan,'' katanya semasa menceritakan pengalamannya pada satu majlis di ibu negara baru-baru ini.
Saya dan ramai lagi yang hadir pada majlis tersebut dapat melihat kesyahduan pada wajah Najmil. Pun begitu beliau nampak puas dan menampilkan keyakinan untuk terus mencapai kecemerlangan dalam pengajiannya yang akan berakhir tahun depan.
Najmil sebenarnya mencapai kejayaan bukan cara mudah. Beliau berjaya selepas `bangkit' daripada keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cuma pangkat tiga.
Selepas itu, dia pernah bekerja di stesen minyak dan merasakan dirinya selalu dipandang rendah.
``Saya pernah rasa tertekan dan malu kerana kegagalan. Namun saya berazam untuk tetap belajar ke luar negara seperti abang saya. Itulah titik tolak kepada permulaan diri saya yang baru,'' kata Najmil.
Beliau kemudian bekerja di sebuah firma di Kelantan untuk mengumpul wang sebelum menyambung pelajaran ke peringkat diploma di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) dan akhirnya dapat ke luar negara.
``Bukan mudah untuk sampai pada tahap ini jika tidak bekerja keras. Untuk belajar bahasa Inggeris di sana pun, saya masih bertungkus-lumus. Tiada jalan pintas dalam hidup ini,'' katanya.
Anak muda yang kacak seperti Najmil ini mempunyai satu kelebihan - kesanggupannya berkorban usia muda dan keseronokan (termasuk fantasianya) demi mencapai kecemerlangan.
``Saya tidak tahu hendak cakap retorik tetapi sebagai manusia dan sebagai orang Melayu, saya mesti buktikan keupayaan biarpun saya terpaksa merangkak sekalipun,'' katanya.
Pada Najmil, agenda untuk bangsanya cukup besar. Pendidikan menjadi satu-satunya aset tidak ternilai untuk kejayaan sesebuah bangsa. Katanya lagi: ``Saya tidak boleh terima orang memandang rendah bangsa Melayu dan menganggap Melayu kurang asam, malas berfikir dan tiada daya saing.''
(Melihat Najmil maka fikiran terlintas kepada perjuangan Philip Emeagwali, seorang kulit hitam di sempadan Nigeria. Dia pernah enam tahun tercicir sekolah dan selalu tidak makan kerana kemiskinan disebabkan hidup sebagai anak pelarian. Akhirnya berkat dedikasi menangani realiti hidup sebenar, dia menerima anugerah Gordon Prize pada 1989 dan kini merupakan pakar matematik dan sains komputer dunia, yang menjadi kebanggaan bukan sahaja orang kulit hitam.)
Sebab itu juga Najmil berazam untuk kembali berbakti di tanah air meskipun telah menerima banyak tawaran kerja di negara itu selepas memberi impak membentangkan kajiannya di Parlimen United Kingdom.
Anehnya ketika Najmil berjuang untuk kecemerlangan diri dan bangsanya, ramai orang muda langsung tidak memikirkan soal agenda bangsa. Mereka lebih kelihatan dilanda keasyikan untuk pencarian bakat nyanyian. Mendorong makin ramai remaja Melayu di bangku sekolah lagi sudah berlumba-lumba mahu menjadi penyanyi, bukannya pakar matematik dan sains. Seolah-olah hiburan menjadi agenda lebih penting.
Hiburan tidak salah, cuma jangan berlebihan. Memetik kata-kata Shahaniza: ``Hiburan satu keperluan kepada naluri manusia tetapi bukan satu kepentingan.''
Sememangnya jentera minda kita nampak hebat dan sedikit kalut apabila tiba hal hiburan. Fantasia Melayu masih membelenggu realiti cabaran bangsanya. Sedih menerima hakikat ini pada ketika ramai anak muda Melayu termasuk pelajar universiti mempunyai pengetahuan am yang rendah kerana malas membaca, kurang berfikir, tidak proaktif dan tidak cenderung kepada pemikiran analitikal.
Sekadar contoh, siapa peduli tentang misi kapal angkasa Discovery dan projek Elevator 2010, projek membina lif ke angkasa lepas (bermula sebagai projek khayalan tetapi kemajuan teknologi karbon nano tiub memberi harapan baru kepada merealisasikan projek itu.)
Siapa peduli untuk bercakap tentang pemansuhan tambatan ringgit, ekonomi dunia, pembasmian kemiskinan, isu Palestin dan Iraq, Melayu yang belum berubah sikap mengikut cabaran kemajuan dan seribu macam hal yang menuntut perhatian warga dunia.
Berapa ramai boleh tunggu menghadap program informatif sains dan teknologi; dokumentari ilmu dan isu global atau program seperti Debat Perdana di televisyen sehingga habis?
Di Barat dan Jepun, walaupun program realiti juga popular ia diterima cukup seimbang oleh masyarakatnya dengan budaya ilmu dan akliah, masih menjadi teras.
Benar kata Profesor Diraja Ungku Aziz, orang Melayu masih tidak menunjukkan kesungguhan untuk berubah. Ternyata segala provokasi dan motivasi supaya Melayu melonjakkan perubahan minda tidak diasak oleh orang Melayu sendiri bagi menjayakan perubahan itu.
Mujur Najmil melegakan sedikit keresahan terhadap petunjuk-petunjuk yang membimbangkan itu. Dia adalah idola realiti bangsanya dan bukan idola fantasia. Dia adalah idola sebenar biarpun tiada gemerlapan dan riuh-rendah sorakan orang Melayu sebagaimana dalam program AF.

1 Respons:

Tanpa Nama berkata...

salam...dmana bol

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates