Langkau ke kandungan utama

Untuk siapa kita berpuasa hari ini?

Ketika zaman sekolah, ayah akan melekatkan senarai doa dan niat berpuasa berdekatan meja makan. Kami diajar membacanya dalam teks Arab dan kemudian membacanya dalam bahasa Melayu.

Selepas mengingatkan kembali cerita ini, saya teringat cerita lain pula. Ibu saya berkata ayah saya tidak pandai membimbing melalui kata-kata kerana beliau sendiri memang tidak banyak bercakap. Beliau akan membelikan buku-buku berkaitan untuk ibu berkaitan apa yang diperlukannya.

Jika beliau sukakan sesuatu, beliau akan potong dan tampal pada almarinya.

-----

Kemudian saya melihat diri saya di cermin, "Patutlah saya tidak begitu pandai menyampaikan hasrat hati saya melalui kata-kata melainkan benda-benda dan perkataan yang ditulis menjadi jurucakap saya."

Minda separa saya dilatih begitu cemerlang menggunakan kaedah itu untuk sekian lama.

Saya sedang cuba belajar mengalihkan atau setidak-tidaknya mengimbangi keadaan ini. Mungkin yang pernah menghadiri seminar dan bengkel saya seperti tidak percaya dengan cerita ini. Bagaimana saudara boleh menggunakan masa dua jam bercakap sedangkan saudara sebegini.

Percayalah, menjadi murid di sekolah penulisan PTS menjadikan saya bercakap dan bercakap. Pengalaman bercakap kali pertama pada Febuari 2006 saya tolak sehinggakan mentor saya mencipta situasi 'memaksa' saya bercakap.

Seingat saya ketika itu editor perolehan menyusun jadual itu dan memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon. Saya tolak. Kemudian dalam panggilan telefon yang sama, pengurusnya pula mengambil gagang dan menyampaikan mesej lebih tegas.

Saya akur. Akhirnya, MPH Alamanda menjadi tempat pertama saya bercakap. Esoknya MPH Wangsa Maju pula. Pengalaman pertama, dua hari berturut-turut.

Bersungguh-sungguh editor perolehan itu mencanai idea-idea untuk membantu saya. Dari kuiz, kepada ceramah dan seumpamanya. Wajahnya, kata-katanya, segala contengan kertas dengan idea-idea. Beliau lebih galak bercerita dan bayangan mengenai apa dan bagaimana begitu jelas sekali.

Semua diatur elok meskipun pada hari sebenar, saya dan editor ini hanya saling berpandangan. Semuanya kerana saya tiba-tiba senyap di depan khayalak dalam tempoh yang panjang. Mencari-cari apa yang perlu dikata.

Saya benar-benar menghargai jasanya membantu saya yang ketika itu sangat jahil dengan dunia buku dan seni mempersembahkan buku kepada khayalak. Pastinya beliau perlu bersabar bagi memberi pendedahan-pendedahan itu kepada saya.

Kita pasti memerlukan kesabaran yang tinggi membimbing orang yang masih ragu-ragu dan teragak-agak apabila masuk dalam dunia yang asing daripada kebiasaan. Editor perolehan ini menunjukkan bagaimana kesabaran ini dipamerkan dalam dunia sebenar.

Terima kasih Allah kerana mempertemukan saya dengan penerbitan ini. Kebanyakan cerita ini saya sentuh sebagai how to kepada pemula dalam berkarya melalui buku Tip Menjadi Penulis Bestseller terbitan PTS Professional

"Apakah dengan segala kebaikan ini saya mesti mengambil mudah terhadap setiap satu karya saya? Tidak, saya sudah ikat janji kepada diri saya sejak awal lagi. Jika Allah izinkan, dalam usia yang entah berapa lama lagi ini moga-moga karya saya menjadi sebahagian daripada bestseller di bawah pimpinan beliau sebagai membalas susah payah beliau dan timnya."

-----

Moga sahabat-sahabat baru bersabar dengan saya sekiranya saya ini seperti tidak bercakap banyak dalam apa-apa pertemuan dan mesej-mesej saya lebih banyak berbentuk tulisan ringkas dan sering diwakili objek bisu lain.

------

Kembali pada cerita asal.

Lama-kelamaan kami mula memahami apa itu puasa, kenapa perlu berpuasa dan menghafal bacaan niat puasa dalam dua bahasa. Ia menjadi pendidikan awal kepada kami yang masih bersekolah.

Dalam proses pendidikan, Sedikit demi sedikit tujuan berniat diterangkan oleh ibu bapa akan anak-anak tahu niat adalah asas kepada amal dalam hidup seorang Muslim.

Niat bagi menjadi Muslim yang baik dalam bulan Ramadan ini didukungi dengan doa. Allah memberi janji bagi memakbulkan kehendak hamba-hambanya yang mencari cahaya kebaikan sebagai panduan di dunia dan akhirat.

Ganjaran bermula daripada apa yang diniatkan dalam hati. Hadis dilaporkan oleh Umar Khattab dan direkodkan oleh Al Bukhari serta Muslim dalam bab Niat menyebut, "Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan."

Niat adalah perbuatan secara sedar. Maka dari masa ke semasa memperbetulkan tujuan beribadah adalah proses bagi mendapat kasih sayang Allah. Ia dilakukan secara konsisten. dari masa ke semasa kita mengingatkan diri agar perjalanan puasa hari ini sentiasa lurus dan tidak ada yang lain selain daripada Allah tujuan ibadat dibuat.

Usaha konsisten adalah kerana fitrah manusia meletakkan perkara-perkara lain apabila adanya kepentingan diri timbul. Ia timbul apabila keperluan ini jelas dapat dilihat dan dirasa melalui deria.

Manusia sudah terbiasa dengan ganjaran bersifat material dan ia boleh mensasarkan fokus ibadah kepada perkara lain. Kerana itu niat sentiasa diberi kesegaran dengan mengingat diri dan melakukan usaha-usaha lain sebagai daya sampingan.

Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri menulis dalam Memahami Hadis Niat, "Niat bertujuan membezakan untuk siapa seseorang itu beramal"

Soalan ini kembali kepada diri untuk menjawabnya, untuk siapa kita berpuasa hari ini?

Nota: Entri ini pernah dipanjangkan dalam sebuah akhbar sebelum ini dan muncul sebagai artikel pada tahun 2007 ketika bulan Ramadan.

--------

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini

Atiqah Rahman benar-benar mahu melihat penulis dalam diri saudara

Assalamualaikum wbt Kepada yang membaca maklumat ini, saya mendoakan semua dalam keadaan gembira, dihujani kejutan kebaikan dari segenap sudut dan ceria di tempat bertugas dan bersama keluarga. Amin ya Allah. Tuan dan Cik Puan yang dimuliakan Allah Izinkan saya memperkenalkan diri, saya Atiqah Rahman dari  kursuspenulisan.com . Mulai 15 Mei 2013 saya akan menguruskan keperluan bakal peserta bengkel penulisan pada sesi akan datang. Tugas saya adalah memastikan saya membantu Tuan dan Cik Puan ke arah sukses dalam dunia penulisan. Maklumat demi maklumat akan diberikan dari masa ke semasa. a Pada hari ini saya akan memberikan beberapa maklumat berdasarkan respon yang diberikan melalui emel. (1)  "Bilakah kursus yang akan datang? Lama kami menunggu dan tidak sabar mahu hadir." Setiap kursus mempunyai tarikh yang berbeza. Disebabkan kursuspenulisan.com mengendalikan kursus hujung minggu sahaja. Maka tarikh yang diberikan kami adalah tarikh yang sangat penting...

Laman web dinaiktaraf.

Saya tidak berpuas hati maka saya ubah semuanya sekali lagi. Laman web rasmi penulis ditukar untuk kali ke berapa, saya sendiri sudah tidak pasti. Tetapi saya jangkakan laman web wajah baru ini bakal kekal dengan wajah ini bagi tempoh yang lama. Saya sedang cuba-cuba belajar menggunakan beberapa perisian grafik bagi keperluan foto di dalam laman web. Apa yang kasar dihaluskan, apa yang bertompok dihilangkan, apa yang gelap dicerahkan. Saya seperti kembali kepada usia 21 tahun, bermain-main dengan perisian grafik di komputer rakan saya. Zaman olok-olok. Kami bergembira dengan gambar dan warna. Kami hasilkan kulit album olok-olok. Kemudian kami hasilkan laman web ringkas seolah-olah laman web sebuah kumpulan muzik. Saya masih ingat lagi, kami berempat baru pulang daripada kelas bahasa Arab. Berlatar belakang dinding dengan permukaan berpasir dan kasar, kami mengambil gambar di situ. Sampai di bilik, kami ubah suai dan menjadi kulit album kumpulan ahli muzik. Bertudung labuh ke konsert un...