Sabtu, Julai 25, 2009

(3) Banyak sekolah rendah, satu sekolah menengah


Kampung Tanjung Datuk, kampung Langkah Baik, kampung Jawa, kampung Simon,(disebut si-mon, bukan sai-mon), kampung Changi, kampung bukit Raja, Pekan Rengit. Saya melalui semua kampung ini menuju ke Tanjong Pengelih.

"Banyak kampung di sini, banyak sekolah rendah. Tetapi hanya ada satu sekolah menengah," kata sahabat saya.

Saya antara percaya dan tidak percaya mendengar kata-katanya. Tapi itulah yang disebutnya ketika dalam perjalanan ke Tanjong Pengelih.

Mata saya melihat sebuah bangunan tanpa cat di tengah-tengah padang. Setiap tingkat bercermin hitam. Bangunan itu dibina oleh orang perseorangan bagi projek sarang burungnya.

Bangunan bercermin hitam untuk projek sarang burung.

----

Kami tiba lewat. Setengah jam lalu kami berada di Pekan Rengit. Kawasan ini dan sekitar popular dengan udang galah yang mudah didapati di sini. Dari Tanjong Pengelih, kelihatan menara kawalan lapangan terbang di seberang, di negara Singapura. Sebuah kapal terbang sedang terbang rendah mahu mendarat.

Seketika kemudian, telefon saya berbunyi.



"Jangan ubah setting telefon kepada automatik, gunakan setting manual," cepat-cepat sahabat saya mengingatkan saya. Rupa-rupanya saya dapat menerima tiga jenis perkhidmatan telekomunikasi atau Telco dari Indonesia, Singapura dan Malaysia. Jika ia diubah secara automatik, kemungkinan mesej yang saya hantar akan dicaj 50 sen kerana menggunakan Telco luar.

Sambung sahabat, "Cadangan jambatan ketiga melibatkan kawasan ini, jika demikian, lebih ramai orang Singapura dapat melaluinya."

Apakah itu berita baik kepada penduduk kampung sekitar?

-----

Separuh hari ketiga.







Singgah melihat jeti yang bersebelahan pejabat Persatuan Nelayan kawasan Pengerang. Kotak-kotak merah disusun tinggi. Menurut cerita, ada masanya apabila ke laut mereka mereka dapat membawa pulang ikan dengan nilai jualan sekitar empat ribu sehari. Saya tidak pasti nilai jualan itu berdasarkan apa. Sama ada ia berdasarkan jumlah kotak-kotak merah yang saya lihat atau sebaliknya. Saya tidak berkesempatan mendapat maklumat lanjut.

Pulang semula ke kediaman, jam enam mahu ke Johor Bahru, pulang dengan keretapi jam 11 malam. Tiket masih belum dibeli. Tetapi hati yakin ada tempat kosong.

Di sini terdapat ladang Ostrich. Hairan, sate ostrich dipanggil sate Kajang oleh pengusahanya. Jelas terpampang pada papan tanda mereka. Pengusaha bukan beragama Islam membuat kami ragu-ragu mahu mencubanya.

-----



"Lihat, mereka tidak menggunakan topi keledar. Mereka gunakan topi keselamatan yang kami gunakan di yard," kata sahabat sambil menunjukkan beberapa orang pekerja membawa motor di hadapan.



Topi keselamatan (safety helmet) ini mempunyai ruang apabila dipakai. Apabila memakainya, ia kelihatan ternaik sedikit. Ruang antara kepala dan topi keselamatan sengaja dibuat bagi mengurangkan impak kecederaan apabila ada objek jatuh di atas kepala.



Saya cuba memakainya. Tetapi tidak cuba membiarkan kepala saya dijatuhi oleh apa-apa objek. Cukup sekadar memakainya sahaja. Warna pada topi keselamatan itu sendiri memberitahu kita siapakah individu itu. Adakah beliau seorang supervisor atau pekerja di situ.

----

Jam enam petang, bertolak ke Johor Bahru.


Kucing jantan di kediaman pekerja keluar dan menghampiri saya yang sudah keluar dari situ. Matanya kecil sahaja, berdiri di depan, kemudian beberapa ekor kucing keluar. Gerak hati haiwan ini unik sekali. Tahu mahu saya akan pulang, atau mengalu-alukan saya pulang segera?

Laluan baru dilalui. Berdekatan pantai kelihatan rumah Azalina Othman yang tersergam dengan padang yang luas di kiri dan kanan. Pagar dawai dibina separuh sahaja tidak mengelilingi rumah beliau. Mungkin sekadar mahu dijadikan tanda sempadan.

"Lihat deretan chalet di sebelah kanan," aju sahabat, "Chalet itu bukan untuk orang luar, tetapi dibuat khusus untuk ahli keluarga."

Berdekatan dengan chalet, terdapat sebuah padang yang dipenuhi lalang tinggi yang sudah bertukar warna, "Di sini jadi tempat kegemaran pasangan pengantin baru berbangsa Cina mengambil gambar," kata sahabat seperti pemandu pelancong lagaknya. Saya senyum.

Kawasan padang ini jauh lebih cantik jika gambar diambil menggunakan SLR.



-----

Menuju pusat bandaraya Johor Bahru bukan perjalanan mudah. Laluan ke sana cukup sesak. Biasanya kesesakan itu berlaku apabila orang ramai keluar dari bandar selepas waktu kerja, sebaliknya berlaku di sini. Kewujudan pasaraya hiper dalam perjalanan ke sini menjadi jalan keluar orang ramai daripada kesesakan ini.



Tiba di Kompleks Gerbang Selatan Bersepadu (GSB) yang menggabungkan Gerbang Kompleks Kastam dan Imigresen (KIK) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) jam 8.00 malam. Ia dipanggil JB Sentral. Strukturnya tidak ubah seperti KL Sentral, cuma saiznya lebih besar, jejambat menghubungkan JB City Central memudahkan orang ramai melintasi dan terus ke KIK yang berada di dalam.

"Saudara sudah silap tempat. Stesyen keretapi masih di tempat lama di sebelah sana. Turun dan jalan terus sahaja," kata seorang pemandu teksi yang sebelum tadi melaung perkataan Singapura berkali-kali sebelum kami bertanya.

Di bawah kompleks ada sedikit pergeseran antara seorang lelaki Cina dan beberapa orang lagi yang mengelilingnya. Di tangan beliau memegang beberapa helai kertas. Pasti ada salah faham antara mereka. Semakin jauh, semakin meninggi suara mereka. Beberapa orang pengawal keselamatan berdiri di satu sudut.

"Tuan! Mahu ke mana?" tanya seorang pengawal di situ, rupa-rupanya saya sudah berjalan di kawasan larangan. Kompleks ini belum siap sepenuhnya, sesetengah tempat tidak boleh dilalui oleh orang awam. Sekali lagi saya tersesat. Mujur pengawal keselamatan yang berlari-lari anak mendekati kami menunjukkan tempat yang sebenar.


Stesyen Keretapi Johor Bahru

Stesyen Keretapi Johor Bahru terletak bersebelahan kompleks. Jam 8.30 malam masih sunyi, hanya dua pelancong luar negara berada di kaunter tiket.

Dua orang pelancong membeli tiket ke destinasi seterusnya.


Senarai tempat duduk dan tiket yang berbaki.
Senandung Malam, L6



Sunyi yang sama dirasai sekitar JB City Square yang terletak selari dengan Komtar di Jalan Wong Ah Fook. Jam 9.00 malam kedai-kedai dalam kompleks sudah tutup. Pelanggan utama di Johor Bahru adalah dari Singapura. Pada hari-hari biasa ia tidak begitu menarik pelanggan tempatan ke sana. Melainkan pada hujung Sabtu dan Ahad. Kesesakan di sini jauh lebih teruk berbanding Kuala Lumpur pada hujung minggu.

JB City Square. Sunyi.

Komputer riba saya bermasalah. Tidak dapat mengakses internet. Simpan semula dalam beg dan berjalan dari satu tingkat ke satu tingkat. Di sini kedai buku MPH dan Popular berkongsi tempat. Satu di atas dan satu lagi di bawah.

-----


Satu-satunya kedai akhbar di sini.
Jam 10.00 malam



Jam 10.00 malam, masih ada sejam sebelum keretapi terakhir ke Kuala Lumpur tiba. Stesyen masih sunyi sama seperti dua jam sebelum ini. Saya menghampiri kedai majalah dan akhbar di dalam stesyen. Satu-satunya kedai di situ.

"Tuan sudah berapa lama berniaga di sini," tanya saya pada seorang lelaki Cina. Tua tetapi sihat. Pakaian kemas dan rambut disisir rapi, cermin mata masih kekal seperti fesyen orang dahulu.

Tuan Lim, orang lama yang berniaga di stesyen ini.



"Empat puluh tahun," jawabnya.

Saya mencongak, maknanya beliau sudah berniaga di sini menjual akhbar dan majalah sejak tahun 1959, dua tahun selepas merdeka.

"Berapa umur tuan?" tanya saya lagi.

Jawabnya, "Cubalah teka."

"Tujuh puluh tahun," tekaan saya hampir mengena, "Umur saya 77 tahun," balasnya.

Ah! Sama sahaja dengan judul buku saya 77 Tip Melembutkan Hati Lelaki. Ini benar-benar lelaki lama yang ingin saya temui dan mendengar pengalaman hidupnya.

Tetapi dalam usia seperti ini, saya tidak begitu berani bertanya mengenai keluarga, sama ada beliau tidak berkahwin atau pun isterinya tidak ada lagi. Berniaga di dalam stesyen keretapi mampu mengisi kekosongan hati orang tua ini. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang dapat dibuat

Lelaki tua bernama Lim ini tinggal tidak jauh dari bandaraya Johor Bahru. Kedai akhbar dan majalah miliknya adalah satu-satunya kedai di situ. Beliau membuka kedai seawal jam 8.00 pagi dan tutup hampir jam 11 malam, ketika mana keretapi terakhir bertolak dari sini.

Bas dan teksi adalah kenderaan rasmi pakcik Lim pulang ke rumah.

"Saya pulang dengan teksi, cajnya tanpa meter. Jika guna meter lebih mahal pada waktu malam seperti ini," katanya. Saya yakin cajnya yang perlu dibayar murah memandangkan beliau sudah lama di situ.

Lelaki tua ini membuat saya ingin bertanya. Sudah berkeluargakah dia, siapa anak-anaknya, di mana mereka tinggal. Tetapi saya tidak begitu berani mengajukan soalan itu.

"Di sini banyak kedai tidak dapat disewakan kerana perniagaan tidak begitu menguntungkan," katanya lagi, "Sewa kedai saya di sini pun sudah seribu ringgit. Kelak saya akan berpindah ke kompleks baru di sebelah sana."

Saya terfikir, apakah dengan pendapatan majalah dan akhbar harian yang sehingga malam belum habis dijual ini dapat menampung sewanya apabila berpindah ke kompleks baru kelak?

Beliau berkongsi cerita mengenai Singapura, "Di sana kos hidup mahal. Rumah pangsa satu bilik dan satu ruang tamu sudah berharga lebih seratus ribu. Dalam keadaan gawat mudah membuang pekerja. Tetapi di sana mudah mendapat kerja semula jika ada pendidikan tinggi dan ada disiplin. Jika culas, cukup dua tiga kali akan diberhentikan terus," ceritanya terhenti, ada pelanggan membeli rokok dan seorang lagi datang mahu mengambil beg yang ditinggalkan di dalam kedainya.

Jarinya menunjukkan seorang wanita tua di dalam kedai, "Itu saudara perempuan saya."

Sangka saya itu isterinya. Saudara perempuan beliau yang membantu membuka kedai seawal pagi setiap hari. Beliau tiba lewat sedikit sebelum tengah hari. Wanita itu mengambil dua bungkus teh susu yang digantung dan perlahan-lahan diisi ke dalam termos.

Stesyen mula dipenuhi orang ramai. Kebanyakan berbangsa Cina, sudah berumur dan datang secara berkumpulan. Gaya pakaian mereka seperti sedang bercuti. Mungkin ada yang mahu ke Kuala Lumpur menjenguk anak-anak mereka di sana.



Seorang duduk di hujung, dia enak menikmati bungkusan mee goreng. Seorang lagi rancak berbual di telefon, seorang lagi mundar mandir di sekitar stesyen bertanya pada pegawai di situ. Masing-masing dengan gelagat mereka.

Di mana-mana kucing pasti ada.

Telefon saya berbunyi, sms diterima, "Ya, semalam petang saya sudah terima. Maaf lambat balas. Sedang sibuk yang amat. Jadinya jaga diri baik-baik ya," saya senyum membaca sms itu.

Di pintu masuk. Pegawai tanpa senyuman mengetik tiket. Mungkin kurang menerima ucapan terima kasih.
Soket di stesyen.Senandung Malam tiba jam 11.00 malam



Di dalam keretapi, masing-masing sudah lena dalam perjalanan enam jam ke Kuala Lumpur. Saya memerhati. Seorang lelaki tua yang naik bersama-sama saya di stesyen tadi pergi ke katil kosong dalam gerabak, mengambil bantal tambahan dan dihulurkan pada isterinya yang sudah nyenyak tidur. Sandal isteri diletak kemas di bawah katil. Kemudian si suami dengan perlahan mengambil bungkusan ubat diberikan pada isterinya.

Lelaki ini mencari bantal tambahan untuk isterinya.Peneman sepanjang jalan. Beg yang sudah padat dengan baju dan barang lain.



Kakitangan berbaju biru yang bertugas bergerak dari satu gerabak ke satu gerabak. Diketuk batang pen pada besi katil, masing-masing mengeluarkan tiket untuk ditebuk. Ketukan pen yang sama sekali lagi pada jam 6.00 pagi apabila jarak keretapi hanya tinggal satu stesyen sebelum tiba di KL Sentral.

Gerabak sunyi, bunyi geseran keretapi dan landasan kadang kala mengejutkan saya daripada tidur. Tidak bagi penumpang berhadapan saya, tidurnya tidak terganggu. Beliau hanya berkain pelikat putih tanpa baju. Enak dalam lena.

Saya?

Mahu ke Perak pula selepas ini selepas dua seminar di Kuala Lumpur selesai.

Kuala Lumpur 6.23 pagi.Ke mana selepas ini, insya Allah, Perak Darul Ridzuan.




Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates