Sabtu, Jun 13, 2009

Siapa yang tolak saya jatuh sungai ada buaya?

Ya, dalam seminggu ini sengaja saya menulis mengenai ayah saya. (foto kiri) Saya sedang melihat apakah yang dapat saya pelajari sepanjang mengenalinya sebagai individu yang banyak memberi jasa pada saya.

Jika saya ditanya pada umur sepuluh, lima belas dan dua puluh tahun, pasti jawapan tidak matang akan saya berikan.

Mungkin ayah kelihatan tidak sempurna dan tidak ideal berbanding ayah rakan-rakan dan saudara mara saya. Itu pandangan saya yang jahil dan tidak matang dalam memahami misteri ajar dan didik ayah pada saya.

Saya menulis entri-entri mengenai ayah sebelum ini bagi menjadi cermin diri saya sendiri. Ingatan kepada diri agar saya dapat mencari ruang dan peluang yang terbaik dalam hidup.

Tambahan lagi, seminggu lagi, akhbar, televisyen, internet dan iklan kompleks membeli belah akan sibuk mengkomersialkan sambutan Hari Bapa seluruh dunia. Lima hari terakhir sebelum sambutan ini sentiasa saya ingat setiap tahun.

----


Saya membaca sepintas lalu sebuah buku, judulnya Be Happy Without Being Perfect: How to Break Free from the Perfection Deception. Buku ini ditulis oleh Alice Domar dan Alice Lesch Kelly.

Buku ini menceritakan bagaimana orang perempuan mempunyai halangan persepsi terhadap hidup kerana label kesempurnaan yang menjadi delusi yang kelihatan benar.

Buku itu ditulis khusus untuk orang perempuan. Saya membelinya dan menghadiahkan buku pada orang itu. Sejak beberapa hari ini saya berasa lapang dan gembira dapat memberi buku pada orang lain.

Saya baca dan mendapat kesimpulan. Indivdu yang merasa dirinya kurang serba serbi sebenarnya terperangkap dalam delusi kesempurnaan. Tandanya, dia meletakkan kekurangan diri yang dibandingkan dengan kelebihan orang lain.

Mereka yang berhadapan keadaan ini bersikap tidak adil pada dirinya sendiri.

Membandingkan satu dan kosong atau pun kosong dan satu tidak akan memberi jawapan yang setara.

Kita semua pernah hadapinya, bukankah begitu?

Cuma ia bersifat turun naik. Melainkan ada yang memberi makanan yang cukup dan membelai perasaan tersebut sehingga ia cukup besar, mampu mencipta ketakutan serta kesedihan melampau dalam diri kita.

Alice Domar dan Alice Lesch Kelly membongkar keadaan ini yang dihadapi oleh wanita seluruh dunia. Perubahan bermula dengan melihat hidup menggunakan kacamata yang betul.

----

Boleh jadi selama ini saya juga terperangkap dengan delusi perfect father dengan membandingkan dirinya dengan orang lain. Semuanya kerana saya rasa tidak sempurna.

Terima kasih kepada Allah, saya menemui buku ini secara tidak sengaja. Ia menjadi hadiah pada penerimanya dan diri saya sendiri.

----

Saya masih teringat-ingat buku Parlindungan Marpaung, Setengah Berisi Setengah Kosong. Sekali lagi buku ini mencetuskan memori saya kepada ayah.

Dalam satu cerita disampaikan oleh Parlindungan, pada suatu hari seorang kaya mengadakan pesta keraian di rumahnya. Ketika pesta, orang kaya ini membuat satu pengumuman.

"Barangsiapa dapat merentasi sungai ini yang penuh buaya dan ular bisa sehingga ke seberang sana, akan saya kahwinkan anak perempuan saya dan memberikan sebahagian kekayaan pada pemuda itu," kata orang kaya.

Pemuda-pemuda di situ saling berpandangan, tiba-tiba terdengar bunyi kocakan air sungai. Seorang pemuda merentasi sungai penuh buaya dan ular berbisa. Beliau berjaya sampai ke seberang. Orang ramai kagum dengan kehebatan pemuda itu. Badannya penuh calar akibat bergelut dengan buaya untuk sampai ke seberang sungai.

"Wahai pemuda berani, aku akan kotakan janjikan. Anak perempuanku akan menjadi milikmu. Hartaku akan diserahkan padamu," kata orang kaya yang mahukan memenuhi janjinya.

Pemuda itu geleng kepala, tidak mahu isteri dan tidak mahu harta.

Para tetamu dan orang kaya sendiri hairan sikap beliau menolak tuah.

Kata pemuda, "Saya tidak mahu semua itu. Saya cuma mahu tahu. Siapa antara kalian yang menolak saya jatuh ke sungai tadi?"

----

Ya, dia terjun dan berenang ke sungai kerana ditolak ke depan. Kata Parlindungan, bagi manusia terus berkembang menjadi individu berpotensi, adakalanya dia perlu dipaksa, ditolak ke depan dan pendidikan jiwa yang diberi mungkin tidak cocok ketika itu.

Tetapi ia adalah acuan pendidikan yang bersesuaian bagi menghidupkan potensi dirinya.

Ia mesti dilakukan tanpa kasihan.

----

Saya menganggap, jika saya pemuda itu, pastinya ayah saya yang menolak saya ke sungai penuh buaya dan ular bisa.

Cara pendidikan beliau luar biasa. Seawal umur tujuh tahun lagi beliau sudah bersikap keras pada saya agar saya tahu membuat keputusan yang tegas dan pada masa sama berdikari dalam berfikir serta berusaha.

----

1987, ayah mengajar saya cara mengikat tali kasut. Itulah kali pertama saya belajar mengikat tali kasut untuk ke sekolah buat kali pertama. Malam itu saya diajar bagaimana mengikat kasut.

Kali pertama, ayah tunjukkan. Saya tidak faham. Kemudian beliau tunjukkan kali kedua, saya keliru mana yang perlu masuk dahulu, tali kiri atau kanan. Kali ketiga, ayah letak tali yang masih belum tersimpul kemas pada kasut, ditinggalkan saya di situ membiarkan saya yang masih tidak tahu cara betul mengikat kasut.

Ayah duduk di kerusi membaca akhbar tanpa wajah kasihan.

Akhirnya saya mengikat mengikut logik saya sendiri.

----

1991, ayah mengajar saya agar jelas pada apa yang mahu dilakukan. Apabila ada lawatan sekolah atau program, saya ditanya seteliti mungkin.

Semakin saya kalut dan mencongak-congak jawapan, itu maknanya jawapan tidak menjadi pasti.

Sikap ayah membuat saya mencari alternatif sendiri. Apa sahaja program dan aktiviti akan saya taip menggunakan mesin taip Olympia. Saya tulis seteliti mungkin maklumat tersebut. Saya serahkan dan ayah baca. Lampu hijau diberi.

Akhirnya saya bertindak mengikut logik saya sendiri.

----

1992, ayah sengaja tidak mahu mengambil adik saya di tadika.

Ketika itu saya masih dalam tingkatan satu. Beberapa bulan sebelum itu, ayah pernah berpesan agar tidak mengikut orang luar apabila diajak menumpang kenderaan.

Bagi kita itu satu nasihat biasa dari ayah kepada anaknya. Tetapi yang membezakannya ialah ayah akan meng'uji' anak-anaknya. Ia berlaku kepadaku.

Ketika itu saya belajar Al Quran di rumah pangsa berhampiran Hospital Besar Kuala Lumpur (kini telah dirobohkan dan digantikan dengan kediaman kakitangan hospital).

Setiap hari saya berjalan kaki dari rumah di Titiwangsa seawal jam 8.00 pagi dan pulang sekitar jam 10.00 pagi.

Kebiasaannya saya akan menunggu adik yang belajar di tadika Kemas, tidak jauh dari rumah ustazah sehinggalah ayah datang mengambil kami

Hari itu sedikit berbeza. Ayah tidak kunjung tiba sedangkan jam sudah melewati setengah jam lamanya. Kami sedikit bimbang. "Kenapalah ayah tidak tiba lagi..." keluh hati kecil kami adik beradik.

"Adik, tunggu ayahkah?" seorang lelaki menyoalku dari dalam kenderaannya. Kami mengangguk.

Pakaiannya kemas dan kelihatan mesra. Kereta putihnya kelihatan mewah. Kami masih tertanya-tanya siapakah lelaki ini.

"Ayah tidak dapat hadir. Ada mesyuarat. Dia minta pakcik ambil dan hantarkan adik," katanya hendak meyakinkan.

Kami hanya menolak. Berkali-kali beliau cuba meyakinkan kami lagi. Saya dalam dilema, perlukan saya bersetuju dengan ajakannya, tambahan lagi adik bukan sihat sangat, penyakit jantung berlubangnya tidak memungkinkannya berjalan jauh ke rumah.

"Tidak apalah kami balik jalan kaki..." kata saya sebagai keputusan terakhir. Saya memimpin tangan adik dan berjalan pulang melalui jalan kecil di atas bukit bersebelahan tadika. Pakcik itu tidak pula mengekori kami.

Sepanjang perjalanan kami berhenti di anak tangga jejambat atau di tepi jalan setiap 10 minit, agar adik berehat sedikit, supaya dia sedikit bertenaga untuk berjalan pulang.

Bukan apa, saya bimbang kalau-kalau dia terlalu penat meskipun dia sering menunjukan keaktifan dan sikap ligatnya di rumah, lebih-lebih lagi apabila melawan kata-kata saya ( suka memprovokasinya).

Sampai di rumah saya ceritakan segala-galanya kepada ibu.

"Entah-entah ayah hendak menguji kamu," kata ibu yang sedang menggoreng ikan.

"Eh, uji?" hairan dengan kata-kata ibu.

"Dahulu, abang Long kamu begitu juga. Pernah abang Long perasan ayah di sebalik bangunan apabila dia berjalan balik dengan angah. Sengaja diperhatinya dari jauh, nak tengok sama ada abang Long betul-betul dengar nasihat atau tidak..."

Sekali lagi, saya mengikat mengikut logik saya sendiri membawa adik saya pulang tanpa mengikut pakcik itu.
----

1998, ayah membuat keputusan untuk tidak menghantar ke universiti. Sedangkan beliau yang menghantar saya ke Bank Simpanan Nasional pada pagi itu. Borang kemasukan ke pusat pengajian tinggi diedarkan pada hari itu.

Kaki kanan saya masih bersimen sehingga ke paras paha ketika menaiki dua puluh anak tangga semata-mata mahu beratur membeli borang. Selesai borang itu diisi di rumah, ayah memberitahu saya bahawa beliau tidak akan menanggung saya ke universiti. Malah saudara mara lain juga tidak dibenarkan menaja (meminjam) bagi pengajian saya.

Saya tidak bersetuju dan tetap dengan keputusan mahu belajar. Ayah hanya berkata ya dan tidak akan menanggung pengajian saya selepas SPM.

Saya setuju, Akhirnya saya sambung ke tingkatan enam dan belajar menjaja di jalanan selepas mencuba resipi air kacang soya yang diperolehi daripada ibu rakan baik saya.

Akhirnya saya bertindak mengikut logik saya sendiri.
----

Jika ayah tidak tegas tidak mungkin saya berani membuat keputusan sendiri. Dari semudah cara mengikat kasut sehinggalah berdegil mahu sambung belajar, keputusan-keputusan itu memerlukan seorang yang tegas yang mendidik tanpa mudah kasihan kemudian membuat semuanya apabila pelakunya tidak mampu.

Ya, jika Parlindungan Marpaung ada di sini, mahu saja saya katakan, "Saya pemuda yang ditolak oleh ayah ke dalam sungai ada buaya dan ular bisa. Bukan sekali, berkali-kali ditolaknya saya. Inspirator yang benar-benar tegas dalam didikan agar saya juga tegas membuat keputusan hidup."

----

Keputusan tegas menjadi penulis sepenuh masa ini mungkin satu kegilaan kesan daripada tolakan yang sama. Mungkin ini jawapan kepada soalan Cik Puan Hidayah, peserta bengkel penulisan Sabtu lalu.

Bezanya orang yang akan menolak saya ke sungai itu tidak ada lagi, yang tinggal roh didikan beliau.


----


Entri hari bapa berakhir di sini. Perkongsian pengalaman dan komen Tuan dan Puan dialu-alukan.



Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

5 Respons:

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles berkata...

Salam Tuan Zamri,

Entri tuan hari ini dan sebelum ini membuatkan saya terkenang-kenang jasa bapa saya selama ini.Terima kasih.

mafuzah berkata...

best entri ni. betullah, buatkan saya lebih rindukan ayah saya

abuyusof berkata...

tahniah atas kemenangan.. tapi sebagai penulis yang pro tak payah la masuk.. bagi la peluang pada kami yang sedang berteteh ni berlawan sesama kami;)

terrarosa berkata...

salam kenal,
tahniah diatas kemenangan anda...
kikikiki...
baru saya ingat, saya ada juga membeli buku anda sebelum ini
Mempengaruhi Bos Gaya Streetsmart.

anismadihah berkata...

salam....tidak dapat dinafikan kepakaran anda dalam bidang penulisan saya ucapkan syabas dan maju jaya.Tahniah sekali lagi..

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates