Isnin, Jun 08, 2009

Apakah pula yang kita hadiahkan pada si kecil pada hari ini?

Penulis utama siri Geng Genius, Tuan Syarafuddin Sulaiman bersama pembaca kanak-kanak (Kredit foto: Syarafuddin Sulaiman)


Bilakah kali terakhir kita menghadiahkan sesuatu yang bernilai untuk ahli keluarga yang kecil dan masih bersekolah? Bila pula kali terakhir kita menghadiahkan sesuatu yang akan membuka minda anak-anak agar lebih berimaginasi, bercita-cita besar dan penuh keyakinan melalui hidup ini?

Saya masih ingat, buku pertama yang saya terima daripada ayah saya ialah koleksi kisah Sang Kancil yang dibeli di Chow Kit. Ayah dalam keadaan peluh masih belum kering dan terkesan p pada kemeja yang dipakainya, beliau memegang sesuatu yang dibungkus kemas dengan akhbar. Ya, balutan hadiah hari ini jauh lebih cantih berbanding pembalut yang dijadikan hadiah oleh ayah. 

Ketika itu saya masih tadika. Seingat saya, ayah masuk dari pintu hadapan, berbaju kemeja biru muda, berseluar kelabu melangkah menuju ke arah saya yang masih seronok menonton hiburan petang di TV1. Tangan kanan ayah dihulurkan kepada saya, memberikan hadiah berbalut akhbar terpakai. Seingat saya itu bukan hari jadi saya.

Ayah masih dengan wajah seriusnya. Sukar melihat beliau tersenyum. Bibirnya mendatar sahaja, matanya sedikit berkerut memikirkan sesuatu. Sehingga umurnya sudah mencapai 60-an, itulah wajah yang sama apabila beliau duduk seorang di kerusi. Wajah yang tidak ada perasaan yang dapat saya berikan. Tambahan lagi, kami memang tidak bercakap dan adik beradik sedikit gerun dengan ayah.

Ayah meninggalkan saya dengan hadiah itu. Beliau kembali ke biliknya menukar pakaian. Saya buka pembalut hadiah, ada sepuluh set buku siri Sang Kancil yang berwarna-warni diberikan. Ketika itu juga saya membacanya. Padas petang itu sehinggalah esoknya saya menghabiskan kesemua siri cerita. Saya ulang-ulang cerita itu. 

Pada saya buku itu pasti sesuatu yang mewah sifatnya. Tambahan lagi buku ini berwarna dan saya tidak pernah ke kedai buku. Benda yang jarang saya temui, akan saya anggap ia mewah dan mahal.

Jika dihadiahkan siri Sang Kancil kepada anak-anak hari ini mungkin tidak relevan dengan kehendak ibu-bapa moden. Sudah banyak pilihan untuk anak-anak mereka. Penerbitan PTS sendiri mewah dengan siri buku kanak-kanak dan remaja awal yang dapat meningkatkan imaginasi dan mengukuhkan keyakinan serta angan-angan menjadi hebat dan genius mencapai impian.

Hero pertama saya ialah Sang Kancil. Ya, Sang Kancil yang genius itu menjadi inspirasi saya. Wah! Menyelesaikan dilema rakan dan mengurus konflik gaya streetsmart apabila berhadapan dengan buaya dan harimau yang selalu mencari cara menamatkan riwayatnya.

Saya mesti dan akan selalu berterima kasih kepada ayah. Beliau tidak banyak bicara, tetapi pada saya apa yang dilakukan ada sebab tersendiri. 

Apakah kesannya cerita Sang Kancil ini kepada jiwa anak kecil pada usia enam tahun pada tahun 1986?

Selepas 23 tahun, bersama-sama Tuan Syarafudin Sulaiman dan Izwan Wahab yang masing-masing memberi sumbangan paling besar, sumbangan 200 peratus mereka memperkenalkan konsep genius dalam dunia anak-anak melalui siri Geng Genius: Misteri Luqman.

Melihat kembali foto Tuan Syarafuddin di Read Malaysia bersama-sama anak-anak kecil ini membeli dan membaca Geng Genius, mengingatkan saya kepada siri Sang Kancil dalam balutan akhbar lama.

Ya Allah, semoga pada nama ayah yang tertera pada buku ini menjadi pahala dan ganjaran yang memberi syurga yang indah buatmu di sana. Terima kasih, dalam diam bicaramu ayah, hadiah itu seolah-olah mengingatkan jiwa kecil saya dan memberitahu, "Berikan kembali kegembiraan yang sama pada mereka."

Moga-moga Geng Genius menjadi kenangan terbaik buat anak-anak pembaca.

Apakah pula yang kita hadiahkan pada si kecil pada hari ini?




Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

2 Respons:

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles berkata...

Salam Tuan Zamri,

Saya beli buku Misteri Luqman semalam di Pesta Buku ReadMalaysia.Tak sempat pula untuk dapatkan tandatangan Tuan Syarafuddin Sulaiman.

Ia hadiah untuk anak saudara saya,Amin.Dia genius.Pernah mencuba menanam lobak di dalam cawan.Dia juga penunjuk arah jalan yang hebat di Seremban.

Saya selalu ingatkan ibunya agar sentiasa memberinya ruang dan peluang untuk mengembangkan minda kreatifnya.

Saya tidak mahu dia bosan dengan sistem pendidikan kita yang masih statik ini.

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Catatan Tuan Zamri mengimbau kenangan manis saya ketika berusia 7 tahun.
Ketika itu, kami sekeluarga baru berpindah ke Jln Au3/1, Hulu Kelang, begitu hampir dengan stor percetakan buku2 DBP yang kini dikenali sebagai Dawama. Menurut ayah, saya berjaya mendapat tempat ketiga dlm peperiksaan hujung thn Darjah 1 ketika di Sek. Ren. Jln Peel. Tetapi, kerana berpindah rumah, maka saya tidak dpt menghadiri Hari Penyampaian Hadiah pada tahun tersebut. Kerana itu, ayah telah ke stor DBP (yg saban tahun membuat karnival jualan murah) lalu membelikan saya novel kanak2: Anak Manja Ayah, Tiga Tahun Lapan Bulan dan Budak Kampung.
Hadiah ini yang mendorong saya menjadi pencinta buku hingga kini.
Mohon tuan membaca lagi catatan saya berjudul "Hadiahkan Buku Untuk Kanak-kanak" di http://anum78.blog.friendster.com/

~embun~

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates