Langkau ke kandungan utama

Satu cerita di SRK Jalan Kuantan 1989-91 : Dedikasi kepada rakan-rakan dan juniorku

Apakah nostalgia kita ketika menyambut Eid pada zaman persekolahan?

Ketika saya bersekolah di SRK Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, ada beberapa memori menarik. Saya kira ada yang masih diamalkan sehingga kini.

Para pelajar sekolah akan dikumpulkan di gelanggang badminton dari darjah satu hingga darjah enam. Para pengawas mengedarkan salinan lagu Selamat Hari Raya kepada semua. Baik Melayu, Cina dan India akan menyanyikan lagu itu bersama-sama. Kertas salinan lirik itu menggunakan kertas warna coklat, kami namakan kertas gelek.

Pengetua akan memberikan ucapan dan nasihat (yang cepat dilupakan kurang 24 jam). Tetapi nama mereka masih saya ingat, Mr Chandran dan Puan Kamariah. Nama Puan Kamariah mudah saya ingati kerana ia memudahkan saya menghafal hukum tajwid iaitu alif lam Qamariah apabila ustazah mengajar.

Malah saya pernah tersesat di taman perumahan di Setapak dan sesat betul-betul di hadapan rumahnya. Maka saya dan sahabat saya bernama Lutfi paksa rela beraya di rumah Puan Kamariah yang terkenal dengan kegarangannya.

Kita sambung cerita semula.

Kami akan beratur mengikut darjah masing-masing. Bersalam-salaman dengan semua guru. Selesai bersalam-salaman. Acara bersalam-salaman dengan para pelajar sekolah. Disebabkan ini bukan sekolah agama (para pelajar sekolah agama bakal beristigfar membaca entri ini), maka pelajar perempuan akan bersalaman dengan pelajar lelaki. Itu pun dipilih-pilih siapa yang dia suka siapa yang tidak. Golongan terpinggir atau loser akan duduk di tingkap memandang. Persis kumpulan pra-gengster di sekolah (macam cerita diri sendiri sahaja).

Salah satu saya ingat adalah Ida Mashani, anak pegawai polis. Dengan baju kurung putih dan selendang putih, saya kira pada ketika itu jika lagu Ayu nyanyian V.E sudah dicipta, memang beliaulah yang akan jadi fokus para pelajar lelaki. Ida akan membalut tangannya dengan selendang putih dan bersalam. Aduhai, zaman kanak-kanak yang jahil. Tetapi zaman itu kami tidak didedahkan dengan konsep kejahilan. Perkataan jahil pun tidak pernah dengar.

Di mana beliau sekarang? Oh sekarang sudah bergelar Puan Ida berkahwin dengan pelajar lelaki yang dikenali ketika zaman sekolah menengah. Mereka bertemu di Perak dan mendirikan rumahtangga tahun lalu. Puan Ida kini adalah juru x-ray di Hospital Ipoh. Jika Puan Ida membaca entri ini, saya masih menantikan koleksi gambar untuk saya pinjam dan scan. Realitinya, saya tidak ada satu pun gambar ketika zaman sekolah rendah. Tidak ada satu pun.

Kelas kami dalam sambutan pra Aidilfitri ini pasti tidak meriah tanpa seorang pelajar perempuan lagi. Beliau mempopularkan kelas kami kerana kakaknya seorang selebriti. Norsham Rahmat atau dikenali dengan nama popularnya Betty Rahmat. Beliau adalah adik kepada Erma Fatima dan Umie Aida.

Betty Rahmat menggilai set alat tulis Garfield. Dari buku, pensil warna sehinggalah beg semuanya wajah Garfield. Beliau bertambah popular di sekolah kerana berlakon dalam filem Pengantin Popular. Ketika itu dunia hiburan melihat Ogy Datuk Ahmad Daud, Erma Fatima dan Eman Manan dalam skandal cinta yang berjaya dijadikan bahan hiburan ketika itu. Selain itu cerekarama Bong (bukan musim baru) pertengahan 90-an menaikkan nama beliau.

Apa berlaku kepada Betty? Beliau kini mempunyai sebuah butik.

Belicious Boutique
LG03A Jalan PJU8/3A
Emerald Plaza North Damansara Perdana
Hubungi 016-3536635

Apa lagi ya kenangan pada Hari Raya di SRK Jalan Kuantan?

Oh, pelajar akan mengedarkan kad Hari Raya. Saya tidak tahu sama ada cara ini masih popular atau sudah keluar daripada arus perdana. Pelajar akan menulis pantun;

Pecah kaca pecah gelas
Sudah baca harap balas.

Saya tidak dapat lupakan betapa buruknya tulisan saya menulis kad raya untuk seorang pelajar dalam kelas. Tulisan besar-besar dan bulat-bulat. Ada yang kata huruf a saya seperti bentuk sampan, huruf b saya seperti budak boyot. Entah macam-macam lagi. Memang loser sungguh ketika itu.

Malah ada juga pelajar gila memberi duit raya kepada kesemua 30 orang pelajar di sekolah. Pada awal pagi, kami mendapati ada sampul duit raya berwarna hijau di atas meja kami. Ada wang di dalamnya. Ada yang sudi bermurah hati memberikan satu sen kepada kami. Sayalah orang itu.

Kami tidaklah senakal pelajar sekarang yang berani bermain mercun di sekolah. Masih bertamadun dan rasional meskipun kebanyakkan mereka datang daripada rumah pangsa Pekeliling yang terkenal dengan rekod jenayah, dadah dan insiden bunuh diri.

Kenapa saya menulis mengenai kenangan di SRK Jalan Kuantan?

Kerana tiba-tiba jam 12 malam ini saya teringatkanya.

Selamat Hari Raya. Mahu saya sambung coretan Hari Raya lain? Jika ada maklumbalas di ruangan komen saya sambung. Bergantung kepada permintaan.

Nota: Saya sangat anti dengan kisah sekolah yang diada-adakan oleh pengarahnya dan tidak ada ciri keindahan memori pelajar sekolah rendah. Saya kasihankan para pelakon kanak-kanak yang diperbodoh-bodohkan dengan memori plastik. Mungkinkah saya perlu menulis novel untuk menangani isu kepalsuan ini?

Nota: Pembaca artikel serius dalam blog ini pasti kecewa dengan entri ini. Maaf, saya seorang yang sangat menghargai pengalaman, orang yang saya kenali dan memori silam. Pasti akan saya kongsikan di sini. Dedikasi kepada rakan-rakan tahun 1989-1991


Contoh-contoh blogger dari sekolah yang sama dan menghargai memori zaman sekolahnya

SRK Jalan Kuantan (2) - Class of 89′ Primary School Reunion
SRK Jalan Kuantan 2 (1983-1988)

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
betul sangat tu kisah sekolah yg keupayaan imaginasi kanak-kanak tidak diketengahkan dgn sebenarnya.minda mereka lebih berimaginatif bukan spt minda pengarah dewasa yg selektif dan sedikit prejudis subconsciousnya.memori sekolah adalah memori terindah.
Unknown berkata…
Alamak, mungkin saya ketinggalan.
Kisah plastik yg mana satu yg tuan Zamri maksudkan?
Apa pun, sudilah kiranya tuan menyambung kisah2 nostalgia seperti ini. Saya suka membacanya.

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini
Zamri Mohamad adalah penulis 20 buah buku , jurulatih penulis bebas  di kursuspenulisan.com , perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi .

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal Oleh Yusmairan Mat Yusoff Petikan Berita Harian MENJANGKAU usia 40 tahun membawa persepsi berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, menginjak usia berkenaan bagaikan baru saja memasuki permulaan hidup sebenar, semangat baru dan semakin matang. Wanita pula dikaitkan dengan perkara negatif dan musim saham mula menurun. Jika dilihat dari segi kematangan, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Ada gadis mula haid seawal sembilan tahun tetapi lelaki sesetengahnya sudah memasuki usia 17 tahun tetapi belum lagi mencapai tahap berkenaan. Bagi yang mempunyai anak lelaki dan perempuan mereka boleh melihat perkara yang sama. Baru berusia 11 tahun anak perempuan sudah pandai mengemas tempat tidur, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kawasan rumah tetapi lelaki tingkatan tiga pun masih ada yang tidak tahu membuatnya. Semua urusan khususnya pengurusan diri diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Oleh sebab beberapa faktor itulah, kehidupan s...