Sabtu, Julai 05, 2008

Ahadiat Akashah dan dunia novel Melayu


Selepas menjadi juri jemputan pembentangan karya kreatif IPTA sempena Festival Membaca 2008 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Saya dan Tuan Ahadiat Akashah berkesempatan minum petang di Riverside. Saya melihat ini adalah peluang bagi mendapatkan beberapa maklumat yang melibatkan isu-isu yang dihadapinya beberapa bulan lalu.

Selama isu-isu panas mengaitkan dirinya, Tuan Ahadiat Akashah hanya mengambil tindakan berdiam diri. Beliau mengakui adanya pertelingkahan dunia siber yang berlaku dalam beberapa buah blog.

"Saya hanya mendiamkan diri dan tidak mahu bergaduh sedangkan industri buku tempatan kecil," katanya ringkas sambil menjamah potongan ayam goreng yang dipotong kecil.

Ini adalah interaksi pertama kali secara langsung bersama beliau. Pada mulanya, hanya satu sahaja yang bermain dalam kepala saya, iaitu kes produksi luar negara yang menyewa rumahnya bagi tujuan penggambaran filem sekitar dua tahun lalu. Kemudian, rumah itu ditinggalkan bersama-sama kerosakan tidak kurang RM12,000 kesan daripada perubahan besar-besaran yang tidak dibetulkan semula.

Tuan Ahadiat berada dalam industri buku tempatan selama 25 tahun. Isu KOMSAS adalah isu yang menjadikan nama beliau timbul semula. Ia menjadi kejutan dan sehingga kini isu KOMSAS masih belum mencapai kata akhir. Ia adalah cerita yang tertangguh.

Kata Tuan Ahadiat, "Saya yakin saudara tidak membaca semua karya saya (saya mengangguk). Saya bermula dengan novel kemudian menghasikan skrip drama. Tetapi saya juga ada menulis skrip drama dan novel sejarah yang memerlukan saya membuat kajian."

Saya mendengar.

"Tetapi tidak ada sesiapa datang dan bertanya apakah karya-karya serius yang saya hasilkan. Tiba-tiba isu timbul dan meletup," sambungnya lagi.

Dalam isu ini, saya berkongsi pandangan yang sama dengan rakan penulis lain, nama Ahadiat Akashah sudah sinonim dengan novel-novel pop bertemakan cinta. Maka apabilanya label itu sudah begitu kuat, susah benar bagi beliau mengasingkan dirinya dengan persepsi itu.

Kami beralih isu, mendengar pandangan dan pengalaman beliau dalam dunia buku.

"Dahulu, pekedai buku besar tidak pandang karya Melayu. Hanya kedai-kedai buku Mamak sahaja yang sudi menjual karya kami," kali ini kami menjamah roti jala.

Tuan Ahadiat juga menceritakan bagaimana sebuah penerbitan Mamak yang sama-sama dalam industri yang sama cuba memasuki kedai buku rangkaian. Pada awalnya, hanya tiga judul novel Melayu diterima masuk. Itu pun dengan perasaan berbelah bagi oleh pegawai terbabit. Mereka meminta sepuluh tajuk dimasukkan dalam senarai, ia tidak dilayan.

"Saya masih ingat lagi bagaimana rakan penerbit kami menjual buku-bukunya. Mereka bergerak dari kedai ke kedai dengan menaiki bas. Ketika kami berjumpa mereka, tangan kanan dan tangan kiri mereka menjinjit bungkusan plastik berisi buku-buku Melayu untuk dijual. Mereka turun-naik bas dengan bungkusan-bungkusan plastik berisi buku," kata Puan Norhayati Fauzi, isteri dan rakan kongsi Tuan Ahadiat.

Tuan Ahadiat menyambung cerita, "Apa paling menyeronokkan apabila novel-novel Melayu diterima masuk ke dalam kedai buku rangkaian. Apabila mereka melihat tiga judul dijual laris kurang daripada dua minggu, mereka sendiri meminta ditambah lagi judul-judul baru dibawa masuk."

Saya terus mendengar.

"Dahulu adalah zaman yang penuh bangga bagi kami sebagai penerbit novel tempatan. Pekedai tidak berani menekan kami dengan diskaun yang tinggi. Kami hanya memberi diskaun sehingga 30 peratus. Take it or leave it. Mahu tidak mahu, pekedai akan ambil," ceritanya.

Dalam cerita ada kegusaran.

"Apabila adanya penerimaan novel Melayu yang tinggi, maka timbul penerbit-penerbit novel indie mahu memasuki pasaran yang kami buka. Itu sememangnya ditunggu-tunggu, tetapi ada yang mendukacitakan," katanya.

Saya menunggu alasan dukacitanya.

Katanya, "Kerana semata-mata mahukan judul-judul mereka masuk ke dalam kedai buku rangkaian, mereka memberikan diskaun yang tinggi melebihi 30 peratus."

Apa kesannya.

"Pada satu keadaan ada yang sanggup menerima diskaun sehingga 45 peratus. Kesannya membunuh diskaun rendah penerbit-penerbit indie Melayu lain. Kedai buku rangkaian ada pilihan menolak dan mengambil buku penerbit lain. Mahu tidak mahu masing-masing akur dengan diskaun tinggi yang diminta kedai buku. Apabila penerbit indie tempatan tidak sepakat, kita ditekan," kata Tuan Ahadiat.

Fanomena ini akan terus berterusan selagi mana penerbit-penerbit indie masih memikirkan survival individu berbanding survival bersama dalam industri buku. Itulah menjadi kebimbangan beliau.

Sempat juga Tuan Ahadiat dan isteri bertanya bagaimana PTS mampu mencetus kegilaan mencetak ratusan judul buku dan terus survival dalam industri.

Secawan kopi pekat sudah habis diminum, Tuan Ahadiat berkata, "PTS tidak boleh berhenti. Bisnes mesti terus berjalan sampai bila-bila."

Penerbitan beliau Roket Kertas yang kini menyewa di bangunan rumah kedai di Wangsa Melawati akan berpindah ke rumahnya. Mereka akan beroperasi di kabin yang dijadikan pejabat bersama-sama enam kakitangan lain.

Ingin terbitkan buku sendiri? Klik di sini.

2 Respons:

Nazir Azhari 017-6878129 berkata...

Hmmmm...... Apa yang Tuan Ahadiat Akashah timbulkan mengenai perang diskaun memang mengecewakan. Perkara ini turut berlaku di dalam bidang fotografi perkahwinan. Perlawanan harga menyebabkan syarikat-syarikat besar dengan jurugambar professional sukar untuk bersaing disebabkan jurugambar-jurugambar "part time" mula memasuki pasaran dengan tawaran harga yang murah sehinggakan seperti tidak masuk akal. Jika dikira jumlah belanja dengan pendapatan memang rugi. Adakah ini sikap orang Melayu kita yang sebegitu? Adakah di dalam minda orang Melayu kita suka bunuh-membunuh rakan perniagaan lain dengan harga "rock bottom"? Aha! Ada lagi! Rakan baik saya di Kuantan yang menjual satay hampir setahun melaporkan pesaing-pesaing beliau yang biasanya menjual satay pada harga 40 sen secucuk menurunkan harga hingga 30sen. Beliau telah menaiknan harga sehingga 50sen bagi menampung kenaikan kos. Dan pelanggan beliau masih tetap ramai seperti biasa. Nampaknya, perkara ini berlaku di mana-mana. Melayu bunuh Melayu. Jangan sesiapapun Melayu duduk di puncak.

Tanpa Nama berkata...

Pandangan beliau dalam isu perang harga atau perang diskaun ini memang menarik. Belajar daripada pengalaman.

Tapi memang tak dapat nak baca lagi buku Tuan Ahadiat Akashah atas sebab-sebab 'kesihatan'. Hehe.

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates