Langkau ke kandungan utama

Gagal di sekolah, bukunya terjual 10,000 naskah


Hari ini saya ingin berkongsi semula cerita Tuan Heng yang saya temui ketika Pesta Buku Popular. Jika saudara dan saudari tidak pernah membaca entri pertemuan kami. Klik di sini.

KOSMO menyiarkan cerita beliau dan banyak perkara yang kita dapat pelajari daripada pelukis berbangsa Cina ini.

Petikan Kosmo 24 Jun 2008

Melukis dari hati

Dengan sepasang mata bulat dan rambut menutupi dahi, Ping Ton berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila lagak lucunya sering menjadi perbualan dalam kalangan pelajar-pelajar Cina.

MEMBELEK helaian-helaian komiknya, anda pasti akan tersenyum lebar. Watak-watak komik hitam putihnya sangat ringkas, mudah difahami dan bersahaja. Ia seakan satu refleksi tentang pelukis itu sendiri.

Jika diamati, stail dan identiti persembahan idea komik ini sedikit 'merepek'. Tetapi tidak pula hilang logiknya. Sekiranya anda seorang dewasa yang cuba memahami jenaka komiknya, simpan sahaja hasrat tersebut.

Ini kerana golongan sasar siri komik Ping Ton adalah pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah. Ia bukan untuk orang dewasa yang kadang-kala mahu berfikiran kritikal.

"Saya sedar generasi lama seperti mak bapa kita tidak mengerti komik Ping Ton. Bukan kerana apa yang disampaikan itu tidak kelakar. Tetapi mungkin sebab situasi yang digambarkan itu tidak berlaku pada zaman mereka," kata Heng Teik Chee, 33, pelukis komik Ping Ton dalam satu pertemuan dengan Kosmo! di kediamannya di Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Banyak mengadaptasikan realiti kehidupan yang berkisar di sekolah, Teik Chee bijak mengetengahkan watak utama seorang budak lelaki bernama Ping Ton yang menjadi tarikan pertama komiknya.

Dengan sepasang mata bulat dan rambut menutupi dahi, Ping Ton berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila lagak lucunya sering menjadi perbualan dalam kalangan pelajar-pelajar Cina.

Populariti komik Ping Ton yang terkenal dengan 'lawak bodoh' sememangnya tidak bertujuan untuk dikelaskan sebagai material berunsur pendidikan. Katanya, adalah tidak adil untuk membebankan pelajar dengan begitu banyak maklumat tanpa 'hiburan' sewajarnya.

"Pada awalnya, komik saya lebih berunsur gaya kehidupan. Tetapi, selepas itu, saya sedar kehidupan pelajar sekarang banyak dihimpit tekanan. Itu sebabnya humor komik Ping Ton mudah melekat dalam minda pelajar. Kerana itulah, saya tidak merumitkan fikiran pelajar yang sememangnya sudah sarat dengan bebanan informasi," jelas lelaki yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini.

Dengan 18 buah komik Ping Ton hasil karya dan terbitannya sendiri, Teik Chee sebenarnya merupakan antara sebilangan kecil pelukis-pelukis komik Cina di Malaysia yang boleh dilabelkan 'berjaya'.

Tambahan pula, siapa sangka, dia yang lemah dalam pelajaran sejak di bangku sekolah boleh berjaya sebagai pelukis dan penerbit buku komik sendiri. Bagaimanakah agaknya proses memanjat tangga kejayaan itu bagi Teik Chee?



HENG TEIK CHEE membuktikan bahawa gagal dalam akademik tidak bermakna seseorang itu akan gagal dalam kehidupan.

Dengan wajah yang cukup selamba dan bersahaja, Teik Chee tanpa berselindung menjawab persoalan itu sambil berkali-kali menekankan dia 'berusaha sepenuh hati untuk karyanya dan tidak melakukannya semata-mata mengaut keuntungan daripada pembaca'.

"Saya seorang school dropout kerana hanya belajar setakat Tingkatan 4. Malah, pengajian selama tiga tahun di sebuah institut pengajian tinggi dalam jurusan grafik pun sekerat jalan. Ini menyebabkan yuran pengajian sebanyak RM50,000 'hangus' begitu sahaja.

"Lagipun, masa di kolej dulu, saya sedar bahawa selain melukis, saya suka membaca. Tetapi, saya baca segala jenis material kecuali buku teks! Sebab saya rasa buku teks membosankan dan tidak membantu kehidupan dalam dunia luar. Apa yang ingin saya katakan adalah sekolah hanya mengajar kita tentang teknik dan teori tetapi kehidupan sebenarlah yang memberi didikan terbanyak," kata bapa kepada seorang anak ini.

Tanpa kecemerlangan akademik, Teik Chee tahu dia perlu bergantung kepada usaha dan bakatnya untuk membina sinar harapan dalam kehidupannya. Namun, tidak pula terlintas di ruang fikirannya, kerjaya dalam bidang lukisan komik ini boleh berlaku sepantas daripada jangkaannya.

Malah, apabila hasrat untuk menceburi bidang seni lukis disuarakan kepada kedua-dua orang tuanya, mereka bukan sahaja tidak bersetuju bahkan tiada tanda-tanda mengizinkan.

"Memandangkan saya sudah tidak menunjukkan kecemerlangan sejak di sekolah dan gagal meneruskan pelajaran di kolej, sudah semestinya, mak dan bapa tidak lagi menaruh harapan ke atas saya.

"Lagipun, pada kebiasaannya, masyarakat Cina tidak menggalakkan anak mereka memilih laluan seni lukis sebagai kerjaya. Maklumlah, melukis dirasakan tidak memberi ganjaran wang setinggi pekerjaan lain," jelasnya yang mempunyai dua orang kakak dan seorang adik lelaki.

Bercerita lanjut, Teik Chee memberitahu, selepas tamat Tingkatan 4, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk memandu lori dan menghantar bekalan fabrik kepada tukang jahit.

"Tetapi, tidak lama kemudian, saya meninggalkan kerja yang bergaji RM600 sebulan untuk kembali berkhidmat di sekolah lama sebagai pelukis newsletter.

"Pada ketika itulah, bermulanya titik tolak kehidupan saya apabila seorang guru bahasa Cina menghantar kepingan komik untuk disiarkan dalam akhbar Sin Chew," katanya yang berusia 21 tahun pada masa itu.

Sebaik diterima untuk siaran, pembaca tidak mengambil masa yang panjang untuk mengenali identiti lukisan komik Ping Ton. Justeru, Ping Ton terus melekat dalam minda pembaca-pembaca Cina khasnya pelajar sekolah.

Setelah tiga tahun meraih populariti menerusi siaran di dada akhbar, buku komiknya yang pertama akhirnya diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan lain.

Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2002, Teik Chee mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri tanpa mempunyai modal yang cukup.

"Pada awalnya, segala-galanya susah. Saya langsung tiada modal. Nak beli sebuah komputer pun perlukan belanja sekurang-kurangnya RM2,000. Saya terpaksa merayu kepada seorang pelajar yang masih menyimpan duit hasil jualan komik-komik di sekolah," ceritanya mengimbas kisah silam.

Meskipun pada ketika itu, dia bermula dengan modal yang sedikit, tetapi 'imej' yang dibina daripada komik Ping Ton sedikit sebanyak telah memudahkan perjalanan kerjayanya.

PENCAPAIAN Heng Teik Chee ini tidak lagi dipandang remeh oleh keluarganya.

Berbekal dengan hasil kutipan 'duit hutang' itu, dia berjaya menyewa sebuah bilik kecil sebagai 'studionya' di samping sebuah komputer bagi memudahkan kerja-kerja rekaan komiknya dilakukan.

Dalam penghasilan komik, kualiti adalah lebih penting daripada kuantiti. Teik Chee bagaimanapun menyifatkan pengeluaran sebuah komik dalam tempoh setahun bukan satu amalan sihat bagi dunia penerbitan (komik).

"Saya tidak setuju dengan penerbitan banyak buku komik sekali gus semata-mata untuk mengaut keuntungan. Pada pendapat saya, sebuah buku berkualiti adalah lebih baik daripada berpuluh komik yang tidak bermutu. Tetapi, saya akan cuba hasilkan dua buah komik dalam setahun selepas ini," katanya yang menguruskan syarikatnya seorang diri dengan bantuan isterinya.

Kini, dengan jualan melebihi 10,000 naskhah bagi sebahagian besar siri komiknya yang berharga RM12 setiap satu, selain siaran berkala komiknya di akhbar-akhbar utama Cina, pencapaian Teik Chee hari ini tidak lagi dipandang remeh oleh keluarganya.

Sebaliknya, kekerapan wajah dan hasil karyanya di dada-dada akhbar menjadi contoh bagaimana usaha serta penggunaan bakat sebaik mungkin boleh membuahkan kejayaan.

Lebih menggembirakan, satu pameran buku antarabangsa di ibu negara baru-baru ini telah membuka laluan lebih luas untuknya menembusi pasaran negara jiran seperti Singapura, Hong Kong dan Taiwan.

Bahan bacaan melebihi RM10,000

SEBAGAI seorang penggiat seni lukis, Heng Teik Chee banyak memperoleh inspirasi dan ilmu pengetahuan daripada kepelbagaian bahan bacaan.

Tidak berfikiran tipikal seperti kebanyakan orang dalam bidangnya yang hanya merujuk buku-buku berkaitan, koleksi bahan bacaan Teik Chee antaranya terdiri daripada buku-buku sastera Cina, bantu diri, pemasaran dan penulisan ‘copy’ (copywriting).

Berpeluang menjejakkan kaki ke dalam ‘studio’ kecil yang dikelilingi rak-rak buku pelbagai genre, terdetik di hati penulis untuk bertanya kos keseluruhan bahan bacaan ini.



‘STUDIO’ kecil Heng Teik Chee dipenuhi dengan rak-rak buku yang pelbagai genre.



“Tak kira...semua ini saya kumpul sejak dulu lagi. Agaknya melebihi RM10,000,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, membaca pelbagai bahan adalah lebih ‘sihat’ kerana ia membantu meningkatkan idea penghasilan komik.

Dalam pertemuan bersama Kosmo! baru-baru ini, Teik Chee mendedahkan pentingnya seseorang pelukis komik untuk melihat peranan ‘headline’ atau penggunaan ayat dan hasil karya mereka.

“Imej mungkin menarik perhatian orang tetapi aplikasi ‘headline’ yang hebat akan mengingatkan orang tentang komik anda. Itulah bezanya,” katanya singkat.

Dalam usaha memperbaiki mutu serta aplikasi ayat-ayat untuk komiknya, Teik Chee sanggup melabur beribu ringgit bagi mengikuti satu seminar tiga hari oleh seorang guru pemasaran dan penulis ‘copy’ terkemuka dunia.

Hasil daripada itu, tip pengaplikasian ‘headline’ serta ayat-ayat yang dipelajarinya terbukti berkesan apabila jualan siri komik selepas itu meningkat 100 peratus.

Tidak kedekut berkongsi ilmu, dia menasihatkan pelukis muda yang ingin menceburi bidang ini agar tidak mengehadkan pembelajaran mengikut satu-satu topik bacaan sahaja.

“Sebaliknya, kumpullah inspirasi daripada pelbagai sumber dan luaskan pengetahuan menerusi bacaan. Sebab hanya dengan cara itulah, karya yang dihasilkan dapat ditingkatkan dan lebih bermutu tinggi,” ujarnya.

Ingin terbit buku sendiri? Klik di sini.

Ulasan

Unknown berkata…
Dato' Lat pun khabarnya kurang cemerlang di sekolah, tapi karyanya sudah ke Jerman. Seiring dengan masuknya Jerman ke separuh akhir Euro malam ini.

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini
Zamri Mohamad adalah penulis 20 buah buku , jurulatih penulis bebas  di kursuspenulisan.com , perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi .

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal Oleh Yusmairan Mat Yusoff Petikan Berita Harian MENJANGKAU usia 40 tahun membawa persepsi berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, menginjak usia berkenaan bagaikan baru saja memasuki permulaan hidup sebenar, semangat baru dan semakin matang. Wanita pula dikaitkan dengan perkara negatif dan musim saham mula menurun. Jika dilihat dari segi kematangan, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Ada gadis mula haid seawal sembilan tahun tetapi lelaki sesetengahnya sudah memasuki usia 17 tahun tetapi belum lagi mencapai tahap berkenaan. Bagi yang mempunyai anak lelaki dan perempuan mereka boleh melihat perkara yang sama. Baru berusia 11 tahun anak perempuan sudah pandai mengemas tempat tidur, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kawasan rumah tetapi lelaki tingkatan tiga pun masih ada yang tidak tahu membuatnya. Semua urusan khususnya pengurusan diri diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Oleh sebab beberapa faktor itulah, kehidupan s...