Langkau ke kandungan utama

Wakil suara rakyat dan menjadi penulis bestseller

Petikan daripada manuskrip Tip Menjadi Penulis Bestseller

Harun bin Puteh hidup sebelum merdeka. Beliau bukan bermula sebagai penulis tetapi menjadikan hobi menulis sebagai cara membantu orang lain. Berasal dari Pulau Gadong, Klebang Besar, Melaka, Harun pernah menjadi anggota rejimen tentera Melayu ketika Jepun menyerang Tanah Melayu pada perang dunia kedua. Beliau menyambung khidmat ketika serangan Komunis sewaktu Tanah Melayu diisytihar darurat.

Perkhidmatan dengan anggota tentera rejimen askar Melayu tidak lama. Selepas peperangan, Harun bertukar memilih beberapa karier. Beliau pernah menjadi pemandu sementara waktu. Tugasnya membawa majikan ke tempat-tempat yang tertentu.

Politik dan penulisan propaganda

Penglibatan Harun dalam politik juga menjadi peristiwa menarik bagi individu ini. Terlibat sebagai ahli politik yang dianggap haluan kiri, menjadikan Harun bergiat secara langsung dalam politik. Beliau menjadi penggerak kempen dari kampung ke kampung di sekitar Melaka.

Kerana bakat menulis, Harun sering ditemui oleh para calon bagi tujuan kempen. Beliau diminta menulis slogan dan ayat kempen yang digunakan dalam ucapan-ucapan, di poster dan risalah parti.

Berada dalam parti haluan kiri, Harun dan parti yang disertai berhadapan dengan arus sokongan pengundi yang mahukan Parti Perikatan melibatkan UMNO, MCA dan MIC mewakili suara mereka. Sentimen pilihanraya di kampung-kampung mempunyai corak yang menarik. Kekalahan parti diajuk-ajuk oleh penduduk kampung.

Apabila lembu patah tanduk

Pernah berlaku selepas keputusan pilihanraya, parti yang disertai Harun tewas dan kehilangan undi majoriti yang besar. Dalam perjalanan ke rumah, para penduduk kampung menyanyikan lagu rakyat, “Kenek-keneklah udang, lembu patah tanduk….” Lagu rakyat ini ditukar menjadi sindirin terhadap logo yang digunakan oleh parti itu, iaitu logo kepala kerbau atau bull yang disifatkan penduduk kampung sebagai lembu.

Bagi Harun, itu adalah perkara biasa dalam politik. Penglibatan dalam politik tempatan tidak lama, beliau menukar karier menjadi anggota bomba.

Harun telah mengalami kecederaan akibat tertusuk besi karat di kaki ketika bertugas. Sikap beliau mengelak daripada rawatan hospital menjadikan besi karat di kaki meracuni anggota kakinya. Apabila keadaan bertambah serius, pihak hospital tidak dapat berbuat apa-apa melainkan memotong kaki yang dijangkiti.

Hobi menulis tidak mati-mati

Kecacatan akibat sebelah kaki dipotong menjadikan beliau tidak berupaya melakukan apa-apa kerja berat. Meskipun begitu sikapnya terhadap penulisan tidak pernah berubah. Diceritakan, sikap Harun yang suka membaca isu-isu nasional di akhbar tempatan adakalanya terbawa-bawa apabila beliau mencatat sesuatu di tepi berita yang dibaca. Akhbar yang mempunyai catatan tambahan kemudian disimpan.

Sikap ini terbawa-bawa selepas membaca berita di akhbar. Pantang bagi Harun jika ada orang menukar rancangan berita di televisyen. Siaran berita adalah filem dan hiburan kepada Harun.

Makin lama makin pendek pensil di rumah

Kadangkala apabila beliau duduk di atas kerusi roda, dia akan mencatatkan sesuatu di atas kertas dan menyimpannya. Sikap Harun selalu menimbulkan rasa hairan kepada isterinya. Selalunya, Harun gemar menulis menggunakan pensil. Ada waktu, si isteri akan berkata kepada suaminya, “Nampaknya habislah pensel di rumah kita ini. Semakin kontot pensil dibuatnya.”

Menulis untuk si buta huruf

Meskipun Harun sudah tidak lagi menulis bagi tujuan kempen politik, penduduk kampung yang mengenalinya akan datang ke rumah memohon bantuan. Kebanyakan penduduk kampung adalah miskin, buta huruf dan tidak mampu mengarang.

Mereka memohon pertolongan Harun menulis surat bantuan kebajikan dan surat kepada pihak-pihak berkaitan termasuklah kepada wakil rakyat bagi membantu mereka.

Dikatakan Harun juga selalu menghantar tulisan beliau ke akhbar. Tetapi kebanyakan surat tidak tersiar melain satu dua sahaja.

Pada usia yang lanjut, Harun menjadi penjaga dan pembersih tanah perkuburan orang Islam selama beberapa tahun di Klebang Kecil, Melaka. Kebanyakan masa dihabiskan dengan membersihkan kawasan kubur yang terletak di tepi laut.

Tulisan si wakil rakyat tanpa jawatan

Harun bin Puteh meninggal dunia pada usia 70 pada akhir tahun 1990-an kerana sakit tua. Beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Pada hari beliau meninggal dunia, anak-anak dan isteri menemui sebuah beg di bawah katilnya. Dalam beg itu terkandung surat-surat, catatan di margin surat khabar dan tulisan-tulisan beliau yang dikumpulkan.

Penulis bestseller yang memberi nasib baik kepada orang lain

Penulisan Harun bin Puteh juga memudahkan kehidupan isterinya apabila surat menyurat yang dikirimkan melibatkan bantuan tentera dan bantuan agensi kebajikan sejak beberapa tahun sebelum itu mendapat respon.

Harun bin Puteh mungkin dikenali sebagai orang biasa yang semakin lanjut usia dan tinggal di sebuah kampung terpencil. Bagi si miskin dan si buta huruf yang mengenalinya, beliau adalah penulis bestseller yang banyak membantu mengubah hidup mereka apabila tulisan-tulisan beliau menjadi wakil rakyat yang menjaga kebajikan mereka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini

Los dan Faun permulaan kepada filem & drama bersiri

Bukan mudah bagi menghasilkan sebuah filem penyiasatan ala-ala Detective Conan, tetapi Afdlin Shauki berjaya melakukannya. Kali terakhir saya menonton cerita penyiasatan adalah sebuah drama berjudul Siapa Bunuh Alice. Seingat saya watak Zami Ismail sangat menonjol sebagai seorang penyiasat yang cuba membongkar kematian Alice (lakonan Alice Voon) di sebuah rumah percutian. Itu adalah drama lebih sepuluh tahun dahulu. Sehingga kini jika dilakukan carian Google, Siapa Bunuh Alice masih menjadi topik perbincangan. Kali ini versi filem dengan perspektif baru dan jenayah baru diketengahkan melalui Los dan Faun. Tidak sempat menonton di Kuala Lumpur, saya mencuri masa menonton di Melaka hari ini tanpa saya sangka perkataan cencalok dan Klebang juga menjadi sebahagian dialog. Babak demi babak yang ditonjolkan secara pantas berbeza dengan pendekatan pengarah filem tempatan sebelum ini. Los dan Faun menjadikan saudara tidak senang duduk untuk mengikuti perjalanan cerita sehingga akhir. Kehilang...

Rahsia Bisnes Mamak di Malaysia Hari Ini TV3

Ruang menunggu di belakang studio Puan Wardina, (kiri) bersama dua orang tetamu Pandangan studio MHI dari belakang Hadiah sempena EURO 2008 Tuan Alexander (dua dari kiri) dan Tuan Thomas (pertama dari kanan) Penerbit MHI edisi Jumaat 27 Jun 2008, Tuan Ally Iskandar Slot Rahsia Bisnes Mamak 27 Jun 2008 Jam 7.30 pagi Malaysia Hari Ini, TV3 Saya menerima pesanan ringkas pada jam 6.00 pagi. Tuan Roslan mengingatkan saya program bersama Malaysia Hari Ini di TV3 pada hari ini. Saya sudah berada di Stesyen LRT Setiawangsa menuju ke Taman Bahagia. Dari sana, menuju ke Sri Pentas dengan teksi. Suasana Sri Pentas masih sunyi, cuma para kakitangan sudah berada di sana sejak awal lagi. Sebahagian masih belum pulang sejak semalam. Farah Fauzana sedang rancak di konti Hot FM, saya agak keliru dengan kedudukan studio. Berdiri di satu sudut, rakan setugas Farah Fauzana, Faizal Ismail menyapa saya dengan senyuman pagi. Kedatangan saya kali kedua (sebelum ini datang sebagai pelawat) adalah bagi mem...