Khamis, Mac 13, 2008

DEB bangsa Cina ialah Dasar Ekonomi Bersama

DEB bangsa Cina ialah Dasar Ekonomi Bersama

Catatan Pengerusi PTS Puan Ainon Mohd di www.universitipts.com

Pada tahun 1988, Sifu meletakkan jawatan di DBP kerana nekad mahu menjadi trainer Lateral Thinking. Di depan DBP, di deretan kedai-kedai di Jalan Maharajalela, ada sebuah pejabat peguam Cina. Kami kenal sebab sesekali kami makan di gerai bawah pokok yang sama. Peguam itu kasihan kepada Sifu yang tercari-cari ruang pejabat. Dia pun menyuruh stafnya mengosongkan sedikit ruang di pejabatnya, supaya saya dapat sewa.

Saya pun tidak tahu di mana hendak mencari kontraktor supaya buat dinding pemisah. Peguam Cina itu pun menelefon kawannya, seorang kontraktor Cina. Lalu dengan harga RM1800, saya pun dapat ruang 10'X8' pejabat dengan sewa RM400 sebulan. Dia izinkan saya tumpang tandasnya.

Sewaktu kontraktor Cina itu hendak mula membuat dinding partition, saya minta dia buat bilik untuk saya. Kata kontraktor itu, "Jangan buat bilik," katanya menasihati saya. Padahal, kalau saya buat bilik, dia lebih untung. "Tunjukkan semua staf yang kamu ada. Nanti orang akan nampak ofis kamu sibuk, macam banyak bisnes," dia menasihati saya.

Kemudian dia sambung lagi, "Jangan beli meja baru. Kamu beli meja di kedai second-hand. Bila orang nampak meja kamu sudah lama, mereka sangka kamu sudah lama bisnes."

Pada satu hari, pagi-pagi lagi peguam Cina itu masuk ke pejabat saya lalu duduk. Saya terkejut! Rupa-rupanya dia datang memberi nasihat. "Kamu dengar berita buruk malam tadi?" katanya. Berita itu adalah berita tentera Saddam Hussain menyerang Kuwait. "Kamu jangan beli apa-apa. Simpan setiap sen yang kamu ada. Kita tidak tahu apa akan jadi pada ekonomi. Kalau tak mati, jangan belanja!" Begitulah dia menasihati saya.

Pada 2000, apabila PTS Publications baru ditubuhkan, dalam keadaan tidak cukup modal, 2 buah pencetak Cina telah sanggup mencetak buku-buku PTS dengan memberi kredit 90 hari, tanpa meminta sebarang cagaran, semata-mata berdasarkan kepercayaan terhadap nama baik AINON MOHD dan Prof. ABDULLAH HASSAN atas rekomendasi personal seorang sahabat Melayu yang kenal baik kedua-dua towkay Cina itu.

Disebabkan pencetak Cina itu mengambil risiko ratusan ribu ringgit, mereka sentiasa memberi 'kuliah' kepada staf PTS yang pergi ke kilang mereka atas urusan cetak-mencetak. Macam-macam teguran, nasihat dan leteran yang mereka sumbat ke telinga staf PTS, semata-mata supaya PTS survive dan dapat membayar hutang percetakannya.

Salah seorang towkay itu berkata begini kepada staf PTS: "Lu Melayu, lu bukan bodoh. Kalau lu bodoh, lu boleh masuk universitikah? Lu jangan dengar cakap Mahathir. Dia kata Melayu bodoh. Lu jangan dengar dia.... blah, blah, blah...."

Apabila buku-buku PTS sudah terbit, pegawai-pegawai Cina di KINOKUNIYA, kemudian MHP, kemudian POPULAR membantu menjual buku-buku PTS. Mereka memberi banyak nasihat bagaimana merancang judul buku-buku yang laku dijual dalam kedai-kedai mereka.

Apabila PTS perlu membeli bangunan sendiri, pengurus Cina dari PUBLIC BANK yang bersungguh-sungguh membantu meluluskan permohonan pinjaman RM3 juta. Malah beliau membantu memberikan tambahan RM1 juta modal operasi dengan mencagarkan bangunan yang kita beli itu.

Sekarang, Encik Law, Chairman MABOPA dan Pengerusi SASBADI, penerbit buku bersilabus yang terbesar di Malaysia, beliau me-mentor-i pegawai-pegawai PTS yang berkhidmat dalam jawatankuasanya, dengan memberikan nasihat demi nasihat bagaimana cara yang betul menguruskan PTS supaya terus berkembang dan membesar.

Bangunan-bangunan yang kami sewa sekarang adalah milik Cina. Agen Cina juga yang membantu kami mencari bangunan kilang yang menjadi depot PTS di Batu Caves.

PTS berhutang budi kepada orang-orang Cina yang mendukung kita sehingga berjaya menjadi seperti keadaannya sekarang.

Pengalaman kami di PTS, orang Cinalah yang menolong, mendukung dan membimbing PTS sehingga berjaya menjadi penerbit 'tradebooks' dalam Bahasa Melayu yang terbesar dalam tempoh 7 tahun sahaja.

Jika ada bisnesman Melayu yang Cina tidak mahu tolong, puncanya adalah perangai buruk bisnesman Melayu itu sendiri. Lazimnya, mereka itu tidak mahu membayar hutang. Siapa pula yang mahu menolong orang yang tidak mahu membayar hutangnya. Kalau Cina tidak bayar hutang, sesama Cina pun tidak mahu menolong Cina itu.

Bagi orang Cina, duit adalah Tuhan, duit tak kenal kaum. Cina akan tolong sesiapa sahaja, asalkan dia untung. Kita orang Melayu mesti berdisiplin membayar hutang, barulah Cina suka menolong kita berjaya dalam bisnes.

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates