Langkau ke kandungan utama

Bestseller bukan sekadar pada jualan sahaja

Menjadi penulis bestseller atau penulis buku jualan terlaris di pasaran menjadi cita-cita peribadi mana-mana penulis. Ia bertindak seperti tanda aras kejayaan dan pencapaian seorang penulis bagi menghasilkan sebuah karya yang dimiliki ramai.

Perkataan bestseller disandarkan kepada satu nilai dan nilai ini dilihat dari sudut pandang yang berbeza. Ia tidak bersifat mutlak dan berubah-ubah. Erti buku bestseller dilihat dalam beberapa keadaan.

Buku bestseller di kedai-kedai buku.

Bagi sebuah kedai buku, bestseller diukur melalui jumlah jualan tertinggi melalui rekod jual-beli dalam premis perniagaan. Maka, senarai buku-buku bestseller dikeluarkan melalui carta mingguan sebagai panduan kepada bakal pembaca memilih buku-buku yang dianggap popular dan dicari-cari ramai.
Pada masa sama ia memudahkan pekedai mengenalpasti buku-buku yang berpotensi dijual dan dipesan kepada penerbit.

Buku bestseller dari kaca mata penerbit.

Bagi penerbit, bestseller juga diukur melalui prestasi jualan buku yang diterbit dan diedarkan di kedai-kedai buku dan jualan secara online. Statistik jualan yang dikemas kini melalui perisian komputer mempermudahkan penerbit melihat aliran jualan beli.

Melalui statistik jualan, bahagian pemasaran akan mencadangkan buku apakah yang perlu diulang cetak dan buku-buku yang perlu diberi tolakan melalui promosi dan strategi pemasaran lain agar ia hidup di pasaran. Data terkumpul ini akan mengkategorikan buku-buku dalam permintaan tinggi, sederhana dan yang bergerak perlahan di pasaran.

Sebagaimana carta bestseller di kedai-kedai buku, penerbit juga menyenaraikan senarai buku bestseller secara bulanan sebagai tanda aras prestasi buku di pasaran. Senarai buku bestseller penerbit menjadi rujukan kepada penerbit bagi melakukan analisa terhadap aliran jualan buku-buku lain. Bedah siasat kejayaan dan kegagalan buku-buku terbitan di pasaran dirujuk melalui senarai bestseller ini.

Buku bestseller peringkat nasional.

Buku bestseller bagi satu penerbit dengan penerbit lain adalah berbeza. Jumlah jualan yang dianggap buku bestseller peringkat nasional dilihat dari kaca mata yang berbeza. Kebiasaanya, bestseller sebuah buku pada peringkat nasional disasarkan kepada jumlah sebanyak sepuluh ribu naskhah ke atas.

Buku bestseller mengikut jumlah ulang cetak.

Bagi sesetengah penerbit, buku dikategorikan bestseller melalui jumlah ulang cetak yang dilalui oleh sebuah buku. Semakin kerap ia diulang cetak, semakin ia dilihat sebagai barisan produk penerbit yang dianggap bestseller meskipun dari sudut jualan tidak mencapai tahap bestseller nasional seperti dalam perbincangan awal tadi.

Buku bestseller dari kaca mata para penulis.

Bagi para penulis, bestseller sebuah buku menjadi fokus peningkatan mutu kerjanya sendiri. Dalam kumpulan penulis rdi bawah penerbit yang sama, bestseller sesebuah buku menjadi tumpuan bagi penulis-penulis lain memperbaiki mutu persembahan dan corak penulisan mereka menghampiri buku yang terbaik. Ia menjadi pendorong yang positif melalui peningkatan mutu karya.

Buku bestseller yang dipamerkan di kedai-kedai buku juga menjadi perhatian penulis bagi memilih genre penulisan yang selari dengan kehendak pembaca dan diterbitkan pada masa yang sesuai.

Buku bestseller berdasarkan konsistensi.

Terdapat dua jenis buku yang boleh diperolehi di kedai-kedai buku. Pertama, buku-buku yang diterbitkan mengikut isu dan kontroversi. Buku-buku yang diterbitkan mengikut isu dan kontroversi mempunyai jangka hayat yang pendek.

Ia rancak terjual selagi mana isu dan kontroversi itu menjadi bualan hangat dan mencetus rasa ingin tahu pendengarnya. Buku-buku ini berdiri dengan kekuatan populariti. Apabila keghairahan orang ramai terhadap isu itu menurun, maka buku-buku yang diterbitkan dengan kekuatan isu dan kontroversi ini turur sama-sama menurun. Buku yang menceritakan perkahwinan artis, gosip percintaan dan perpisahan selebriti dan buku-buku politik hidup dengan isu dan kontroversi.

Kedua, buku yang dicari sepanjang masa. Buku-buku ini tidak hidup dengan mempromosikan isu serta kontroversi berjangka hayat pendek. Ia lebih berfokus kepada membantu memberi nilai tambah kepada pengetahuan pembaca. Cara ia dipakejkan dan pengolahan bahasa yang sesuai kepada pembaca menjadikan buku dalam kategori ini hidup dalam pasaran. Buku-buku ini tidak jatuh dengan jatuhnya populariti dan tidak mati apabila kontroversi itu tidak dihangatkan lagi. Ia kekal konsisten.

Terdapat buku-buku yang tidak mengalami jualan yang rancak di pasaran tetapi konsisten bergerak. Buku-buku bersifat evergreen atau sepanjang masa adakalanya bermula dalam carta bestseller jualan di kedai-kedai buku, kemudian secara perlahan-lahan keluar daripada senarai itu.

Tetapi daripada satu sudut, buku-buku ini masih aktif dalam proses jual-beli pembaca dan kedai buku. Dari tahun ke tahun ia tetap dicari pembaca dan tidak mengalami kejatuhan mendadak dalam pasaran. Buku-buku evergreen dikategorikan sebagai bestseller dengan ukuran konsistensi dalam pasaran meskipun ia tidak menjadi fanomena.

Buku besteller diukur melalui perubahan sikap pembaca.

Bestseller tidak tertakluk kepada angka jualan atau ringgit semata-mata. Istilah bestseller juga diukur melalui perubahan nilai diri pembaca selepas membaca buku karya penulis. Perubahan nilai diri pembaca daripada satu tahap kepada tahap lain memberi kepuasan kepada penulis dan mendorong penulis bagi menghasilkan lebih banyak karya yang lebih bermutu.

Penulis menganggap karyanya tetap menjadi sebuah karya yang bestseller apabila maksud sesebuah buku itu dapat menyentuh hati pembaca dan mendorong pembaca membuat keputusan baru dalam hidup. Dalam keadaan ini, buku ini mencapai hasrat yang diangkat oleh penulis dan menjadi buku bestseller peribadi penulis sepanjang hayat.
Buku bestseller yang mengubah perspektif pembaca akan terus menjadi bestseller di hati penulis dan pembaca. Apabila pandangan penulis dapat dilihat oleh pembaca melalui kaca mata yang sama, mereka seakan-akan satu dalam perkara yang diketengahkan.

Buku bestseller berdasarkan nilai ini menjadi pencetus kepada budaya hidup baru seorang pembaca dan mempengaruhi individu-individu sekelilingnya. Perubahan diri seorang pembaca meskipun seorang sahaja tetap menjadi bestseller sepanjang masa yang tidak digugat.

Buku bestseller tidak terhad kepada satu makna.

Maksud bestseller bersifat subjektif. Ia tidak terkongkong dengan satu definisi. Sebuah buku boleh menjadi bestseller dengan mencakupi semua maksud yang kita ketengahkan satu persatu dalam perbincangan ini. Penulis bebas memilih apakah sasaran bestseller yang ingin dicapai melalui buku yang dihasilkan.


Dapatkan E-book percuma
daripada penulis. Tawaran terhad.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini
Zamri Mohamad adalah penulis 20 buah buku , jurulatih penulis bebas  di kursuspenulisan.com , perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi .

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal Oleh Yusmairan Mat Yusoff Petikan Berita Harian MENJANGKAU usia 40 tahun membawa persepsi berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, menginjak usia berkenaan bagaikan baru saja memasuki permulaan hidup sebenar, semangat baru dan semakin matang. Wanita pula dikaitkan dengan perkara negatif dan musim saham mula menurun. Jika dilihat dari segi kematangan, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Ada gadis mula haid seawal sembilan tahun tetapi lelaki sesetengahnya sudah memasuki usia 17 tahun tetapi belum lagi mencapai tahap berkenaan. Bagi yang mempunyai anak lelaki dan perempuan mereka boleh melihat perkara yang sama. Baru berusia 11 tahun anak perempuan sudah pandai mengemas tempat tidur, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kawasan rumah tetapi lelaki tingkatan tiga pun masih ada yang tidak tahu membuatnya. Semua urusan khususnya pengurusan diri diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Oleh sebab beberapa faktor itulah, kehidupan s...