Saya ulang cerita kisah ini sebagai rentetan pengalaman awal berguru dalam bidang penulisan buku. (gabungan beberapa buah entri dalam blog ini)
Tempat apakah ini? Inilah pejabat PTS pertama yang aku jejaki (di Bentong) ketika bergelar bakal penulis di bawah penerbitan ini. Masa itu dua buah buku. Hujung tahun ini akan ada tujuh kalau mengikut perancangan. Edisi comel. Aku sebenarnya terlajak jauh dari bangunan ini sehinggalah pemandu bas itu mengingatkan aku tempat yang ingin ditujui.
Pengalaman melintasi lebuhraya besar dengan lori dan kereta yang gila-gila laju memang membuat aku kecut perut hendak melintas. Itu belum di tambah lagi memanjat penghadang konkrit separas dengan perutku yang terletak di tengah-tengah lebuhraya. Sudah tidak seperti penulis, macam latihan komando hendak naik pangkat sahaja.
Dari petang hingga hampir senja. Tetapi bila dikenangkan balik tempat ini, di sinilah aku berhubungan dengan orang kuat PTS seperti Tuan Fauzul dan editor pertama yang menyunting buku aku, cik Firdaus Tahir. Maka bermulalah didikan terus dari Tuan Fauzul dalam dunia pengkaryaan selepas Puan Ainon dengan serangan sms selama sebulan setiap jam 5 pagi dan 10.30 malam (ada sesiapa berani mengambil cabaran Fear Factor ini?)
"Bangun siapkan buku!"
"Jangan tidur lagi, siapkan buku!"
"Fokus, fokus, fokus"
"Saya hendak setiap mentee akan ada lima buah buku menjelang pesta buku tahun hadapan"
"Rancang pendapatan saudara RM******* dalam masa lima tahun lagi."
Bimbingan di bawah Puan Ainon bermula ketika saya menerima sms dari rakan yang memberitahu saya tentang satu kursus yang dijalankan di Sekolah Bimbingan Agama Al Hidayah. Berpandukan peta di laman web, itulah kursus rasmi pertama saya dalam penulisan buku. Saya terkejut. Semuanya sudah berumur pertengahan 30-40an. Semuanya membawa komputer riba jenama Apple berwarna putih dengan tulisan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Rupa-rupanya pada hari itu saya termasuk dalam bengkel KJ Method untuk guru-guru. Ketika bengkel hampir tamat, arahan rasmi Puan Ainon bermula, "Saya hendak saudara menulis lima tajuk buku yang ingin saudara hasilkan. Jangan lupa nombor telefon."
Dalam keadaan terpinga-pinga saya tuliskan satu persatu. Dari situlah serangan sms untuk orang baru bermula. Oh, bau saya tahu PTS tidak mahu penulis hanya menulis satu buku sahaja. Satu pohon getah tidak akan jadi satu estet.
****
Nasihat mentor saya, Puan Ainon Mohd (Sifu PTS) ketika kali pertama saya diwawancara akhbar tempatan "Jangan kerana kesalahan bernilai sepuluh sen, kita hilang peluang bernilai sepuluh ringgit."
****
Kata-kata hikmah pada jam 5.06 pagi Ahad ini.
“Saudara mesti melabur dalam pendidikan diri sendiri sebagai penulis, kemudian baru menceburkan diri ke dalam dunia penulisan dengan lebih profesional.”
Daripada saya dengan rendah hati, Selamat Hari Guru Puan Ainon dan Prof Abdullah Hassan
Ulasan
Asa loan lending company are ready to loan you any amount you need to start up your personal business. we give out loan at 3% interest rate, so Kindly apply for agricultural farming loan. if you need loan contact our email:asaloantransfer@gmail.com, you can also contact this email:finance_institute2015@outlook.com