Langkau ke kandungan utama

Saya nak buat semuanya sekaligus!

Salah satu sangkaan yang saya perlu perbetulkan ialah ada sebahagian yang membuat andaian permulaan saya menjadi penulis bebas dalam akhbar, majalah, online, buku serentak sejak awal-awal lagi.

Tidak.

Saya menjadi penulis bebas dalam akhbar, majalah, online, buku serentak bermula pada akhir tahun 2005.

Ceritanya mudah.

Pada tahun 1997 saya menulis di akhbar dalam ruangan Pelajar Menulis ketika di Sekolah Tinggi Melaka. Ia berlaku sekali sahaja. Itupun kerana tercabar dengan puisi dan rencana kiriman sahabat pena dan abang saya yang tersiar di akhbar.

Penolakan demi penolakan membuat saya berjauh hati dengan penulisan dan tidak mahu menulis. Bayangkan majalah sekolah pun menolak hasil kerja saya. Alasannya, terlalu panjang. Orang muda boleh jadi sangat kecewa apabila melalui suasana negatif berkali-kali.

Kemudian pada 7 Oktober 2002 , saya mula menulis dalam ruangan surat pembaca bermula dengan isu Jerry Falwell melabelkan nabi Muhammad sebagai pengganas dan al Quran sebagai teks keganasan.

Dari situ saya membiasakan diri menulis mengikut isu yang saya yakin boleh diketengahkan melalui ruangan surat pembaca dan pendapat. Saya mengulang-ulang pendekatan ini selama setahun.

Ketika itu saya faham, menulis bukan untuk berseronok sahaja, ada tanggungjawab sosial dan agama yang perlu kita penuhi. Jika kita ada sebab yang kuat untuk menulis, itu yang akan menjadi kekuatan menolak kita berhadapan dengan halangan.

Apabila akhbar Utusan Malaysia membuka peluang untuk berkarya dalam bentuk rencana bagi ruangan Bicara Agama pimpinan Puan Zuarida Mohyin barulah saya bergerak ke penulisan rencana dan berita rencana. Ia berlaku setahun selepas itu pada 23 Januari 2003.

Pada tahun 2002 itu juga saya mencuba-cuba mempelajari penghasilan laman web dengan menggunakan Geocities, AOL dan pada tahun 2003 saya belajar menggunakan Frontpage. Sepanjangtahun tersebut saya menghasilkan beberapa laman web peribadi. Hanya pada bulan Julai tahun 2005 saya belajar menggunakan blog. Kini bertukar kepada weblog. Saya tidak menekankan kepada kecanggihan, tumpuan saya kepada isi kandungan yang boleh dimanfaatkan. Penggunaan video bermula pada tahun 2005. Saya mula mempelajarinya ketika bekerja di Ansar Channel. Bermain-main dengan server VidiLife dan kini YouTube.

Pada Ogos 2003 , saya mula berkarya di majalah terbitan Karangkraf. Ia bermula di majalah I dengan artikel bertajuk Membendung Gejala Murtad. Kemudian saya berkarya di beberapa majalah lain antaranya,

Majalah I

Ogos 2003 Membendung gejala murtad.
Ogos 2003 Penyembelihan Islam dan penemuan saintifik.
September 2003 Hijab Mengangkat Status wanita.
Mei 2004 Kekarutan di sebalik Valentine 14.
September 2004 Dialog Antara Agama : Melihat Sains dari kacamata penganutnya.
April 2006 Menjawab Penghinaan Media Barat
Mei 2006 Pengurusan Blog Gaya Muslim

Majalah Minda

Julai 2004 Semasa: Jangan sampai hilang penuturnya.
Ogos 2004 Semasa: Hak asasi manusia menjamin kesejahteraan hidup.
Oktober 2004 Antara nilai pemikiran dengan perjuangan.
September 2004 Penjajahan Barat: Satu agenda kuasai minda Islam.
November 2004 Dialog jadi medium bentuk fikiran antarabangsa

Majalah Dewan Siswa

November 2004 -Disember 2006
Siri Personaliti Pelajar Komunikasi Interpersonal

Majalah Dewan Ekonomi

2005 Menghargai Orang Kurang Upaya
2005 Isu Makanan Halal

Tahun 2004 sehingga tahun 2005 saya mendedahkan diri dalam penulisan majalah. Pada penghujung tahun 2005, saya menerima satu pesanan ringkas (SMS) dari seorang rakan tentang kursus penulisan anjuran PTS bimbingan Puan Ainon Mohd.

Bermula dari situlah menjadi catatan pengalaman menjadi penulis buku bermula dengan tiga buah buku pertama dihasilkan pada akhir tahun 2005 dan diterbitkan pada tahun 2006 iaitu

Memahami Bahasa Cinta Lelaki
77 Tip Melembutkan Hati Lelaki
Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas

Kenapa saya perlu bercerita tentang kisah ini.

Semalam saya berbual dengan seorang mentee, pada usia awal 20an beliau hendak membuat semuanya sekaligus secara serentak. Semuanya dalam tempoh kurang setahun.

Nasihat saya, fokus kerja secara berperingkat. Dalam setahun hendak membuat semua kerja akan membuat kita kecewa. Pertama kecewa kerana tidak banyak yang dapat kita kuasai, kecewa apabila penolakan berganda yang datang sekaligus, kecewa apabila kualiti kerja semakin menurun. Cuba kuasai satu demi satu dan rasai kejayaan-kejayaan kecil sebelum pergi kepada kejayaan besar.

Beliau hairan kenapa saya boleh buat semua perkara termasuklah menghasilkan buletin kolej ketika itu. Saya ingin katakan, ia tidak datang sekaligus. Ia adalah pengalaman-pengalaman kecil yang menjadi anak-anak tangga. Lama-kelamaan ia menjadi tabiat dan kebiasaan. Ia masih belum cukup lagi dan banyak yang perlu saya perbaiki.

Mulakan dari mana sahaja. Jika hendak bermula menjadi penulis buku. Silakan! Hadiri kursus, beli, baca dan miliki buku yang berkaitan bidang hendak diceburi. Fokus dalam bidang apa yang ingin diceburi dan bekerja secara berstrategi. Sabar dan tenang juga sangat penting.

Fokus
Rancang kerja
Kerja secara berperingkat
Cari sebab kenapa saya menulis
Sabar
Tenang
Jangan tergopoh-gopoh

Ulasan

Puan Ainon Mohd. berkata…
Betul... Betul...

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini

Los dan Faun permulaan kepada filem & drama bersiri

Bukan mudah bagi menghasilkan sebuah filem penyiasatan ala-ala Detective Conan, tetapi Afdlin Shauki berjaya melakukannya. Kali terakhir saya menonton cerita penyiasatan adalah sebuah drama berjudul Siapa Bunuh Alice. Seingat saya watak Zami Ismail sangat menonjol sebagai seorang penyiasat yang cuba membongkar kematian Alice (lakonan Alice Voon) di sebuah rumah percutian. Itu adalah drama lebih sepuluh tahun dahulu. Sehingga kini jika dilakukan carian Google, Siapa Bunuh Alice masih menjadi topik perbincangan. Kali ini versi filem dengan perspektif baru dan jenayah baru diketengahkan melalui Los dan Faun. Tidak sempat menonton di Kuala Lumpur, saya mencuri masa menonton di Melaka hari ini tanpa saya sangka perkataan cencalok dan Klebang juga menjadi sebahagian dialog. Babak demi babak yang ditonjolkan secara pantas berbeza dengan pendekatan pengarah filem tempatan sebelum ini. Los dan Faun menjadikan saudara tidak senang duduk untuk mengikuti perjalanan cerita sehingga akhir. Kehilang...

Rahsia Bisnes Mamak di Malaysia Hari Ini TV3

Ruang menunggu di belakang studio Puan Wardina, (kiri) bersama dua orang tetamu Pandangan studio MHI dari belakang Hadiah sempena EURO 2008 Tuan Alexander (dua dari kiri) dan Tuan Thomas (pertama dari kanan) Penerbit MHI edisi Jumaat 27 Jun 2008, Tuan Ally Iskandar Slot Rahsia Bisnes Mamak 27 Jun 2008 Jam 7.30 pagi Malaysia Hari Ini, TV3 Saya menerima pesanan ringkas pada jam 6.00 pagi. Tuan Roslan mengingatkan saya program bersama Malaysia Hari Ini di TV3 pada hari ini. Saya sudah berada di Stesyen LRT Setiawangsa menuju ke Taman Bahagia. Dari sana, menuju ke Sri Pentas dengan teksi. Suasana Sri Pentas masih sunyi, cuma para kakitangan sudah berada di sana sejak awal lagi. Sebahagian masih belum pulang sejak semalam. Farah Fauzana sedang rancak di konti Hot FM, saya agak keliru dengan kedudukan studio. Berdiri di satu sudut, rakan setugas Farah Fauzana, Faizal Ismail menyapa saya dengan senyuman pagi. Kedatangan saya kali kedua (sebelum ini datang sebagai pelawat) adalah bagi mem...