Rabu, Julai 27, 2005

Jalan-jalan Bulan Ogos


Awal-awal pagi lagi ibu menelefon bertanya khabar. Kebetulan hari ini tiada kelas yang hendak dihadiri melainkan pada malam ini, kelas pengajian sejarah Amerika, menyambung semula filem the Scarlett Letter lakonan Demo Moore. Kisahnya berlatar belakangkan novel klasik Hawthrone yang menyentuh tentang zaman Red Indian dan penghijrahan orang kulit putih ke tanah yang dijanjikan berdasarkan kepercayaan mereka di dalam Bible. Malam ini mempunyai program yang menarik, satu ceramah yang disampaikan oleh Saudara Naim Jaafar berkenaan bagaimana hendak menjadi pemimpin yang berkarisma.

Aku hanya menghabiskan di makmal komputer. Sahabat lama, Justin menghubungiku dalam rangkaian sahabat maya Friendster. Lama benar tak mendengar ceritanya. Khabar sahabat-sahabat lain, semua telah bekerja di Melaka. Insya Allah, selepas ini aku menyusul pula. Bertemu pula dengan Zila, membincangkan tentang program lawatan dan program ceramah umum berkaitan dengan kewartawanan di UIA kelak.

Cadangnya, lawatan akan dibuat pada bulan lapan dan sembilan ini, begitu juga dengan ceramah umum. Rancangannya, hendak ke Radio IKIM, Karangkraf, Utusan Melayu dan Berita Harian. Dua dari pilihan lokasi tersebut akan ditentukan. Perkara paling penting dalam melaksanakan apa-apa program ialah tindakan, semakin lewat bertindak, semakin tertangguhlah. Boleh jadi terbatal terus. Mesyuarat itu penting, tetapi masing-masing perlu bijak mengambil inisiatif sendiri untuk membuat sesuatu dari terus menunggu dan diberitahu. Ini mengingatkan aku sebuah buku motivasi Barat, The Touch of Greatness oleh Tibolt dan How to stop worrying oleh Dale Carnegie.

Dalam buku tersebut, diberitahu bahawa dalam agenda mesyuarat bukanlah waktu menantikan sesuatu dan bertindak dari perkara awal yang dibangkitkan, tetapi ketika mana panggilan mesyuarat dibuat baik melalui mulut atau surat rasmi, kebiasaannya perkara yang hendak dibincangkan telah dimaklumkan terlebih dahulu dan masing-masing perlu membawa diri mereka bukan dengan minda kosong tetapi dengan idea! idea! idea! Perkara ini akan menjimatkan masa.

Dalam konteks program universiti, perkara yang menjadi keutamaan ialah dana. Tanpa dana, tiadalah sumber untukmembiayai program baik dari katering, sumbangan dan cenderahati dan salinan maklumat awam. Perkara ini memerlukan kebolehan membuat kertas kerja yang meyakinkan. Ini mengingatkan aku kepada kata-kata sahabat aku ketika di Hotel Singgahsana, katanya amat penting jika pelajar tahu bagaimana membuat kertas kerja program kerana dalam pengalaman dia bekerja, kertas kerja berperanan dalam mendapatkan tajaan dan ditambah lagi dengan komunikasi yang meyakinkan. Dia mengeluh kerana pasukan kerjanya, tidak ada yang mempunyai pengalaman sedemikian di universiti sehinggakan dia seorang sahaja yang berlari ke sana ke mari membuat kerja.

Aku baru sahaja menghantar salinan logo bagi Applied Psychology Centre bagi pertandingannya. Sekadar bersuka-suka dengan kreativiti dan idea. Adakalanya kita terlalu leka dengan warna dan bentuk. Kesemuanya sempat dilakukan selepas pertemuan kumpulan kerja bagi projek kajian jurnal Communication Research Method. Bekerjasama dengan sahabat-sahabat yang komitmen cukup memberi tenaga meskipun kita dalam keletihan. Kali ini aku bergandingan dengan Sanawy, sahabat Vietnamku yang lucu, Ibrahim Kalil Camara, sahabat dari Guinie yang pernah berbicara tentang politik Malaysia dua tahun yang lalu dan Zaid, sahabat yang bersungguh-sungguh dengan kerjanya sehingga tak terkejar orang lain dibuatnya.

Itu pun aku terlewat kerana bilik diziarahi oleh sahabat-sahabat tabligh yang aku kenali, Kadir. Ceritanya tentang iman cukup menarik dan kehadirannya ditakdirkan oleh Allah untuk mengingatkan aku tentang perkara yang harus aku ingati. Jika orangbertanya siapakan individu-individu yang bagus komunikasinya, aku tak keberatan mengatakan mereka yang terbaik (dari pandanganku). Apa tidaknya mereka menjalani latihan turun padang lebih lama dari mereka yang mengikuti pengajian khsusus seperti Perhubungan Awam, Media dan seumpamanya.

Mereka akan dilatih bercakap, meyebarkan tentang kalimah Iman dari pintu ke pintu setiap hari. Paginya dimulai dengan memikirkan permasalahan sahabat dan umat yang hendak dibantu, sebagai latihan menguatkan rasa persaudaraan dan melembutkan hati terhadap orang lain. Ia kebiasaannya dibuat selepas solat Subuh. Kemudiannya akktiviti sebelum Maghrib dan Isyak dimulai dengan aktiviti ziarah dan sedikit tazkirah dan zikir dalam mengubat hati. Jumaat sehingga Sabtu dibuatnya aktiviti luar ke tempat-tempat berhampiran.

Dalam masa yang sama, Kadir sempat mengingatkankau bahawa orang Islam adalah orang yang mulia di sisi Allah kerana kalimah akidah dalam hati yang wujud baik di dalam hati orang yang soleh hatta yang tidak bersolat sekalipun. Masing-masing diberi peluang untuk menjadikan kehidupannya kehidupan Muslim yang terbaik dengan hidayah Allah, selagi mana mempunyai keinginan tersebut. Naik turunnya iman itu adalah perkara biasa, kerana itulah ujian terhadapa manusia. istiqamah dalam perbuatan dan sokongan sentiasa perlu ada. Lakukanlah biar pun sedikit demi sedikit.

Antara ayat-ayat yang menarik perhatianku ialah "Kita lihat manusia terlalu memikirkan dunia, hasilnya dunia menjadi maju. Samalah juga kita, kalau terlalu memikirkan dunia dan akhirat, masalah saudara-saudara kita, insya Allah dunia-akhirat menjadi maju..." Bukankah itu kemajuan seimbang yang kita sama-sama mahu cari hari ini?

www.motivasiminda.cjb.net

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates