Rabu, Julai 13, 2005

Attaullah Bogdan Kopanski


Kata Bistari, "Seorang ahli sejarah membuka lembaran kisah 20 tahun yang lalu. Jika ia kurang dari tempoh tersebut, ia adalah tugas seorang ahli politik melihatnya."
Duduk-duduk di kelas Pengajian Sejarah Amerika Syarikat hari ini cukup memberi pelbagai impak yang baru kepada aku. Pengajarnya bukan orang sebarangan, apatah lagi berpeluang belajar dengan manusia berhidung mancung di bumi tempatan adalah pengalaman yang bukan bersifat harian. Mungkin ini yang dikatakan sebagai kemanisan hidup sebagai pelajar. Melalui sesuatu yang baru dan unik setiap hari.
Mengapa matapelajaran menjadi perhatianku? Aku tidak dapat nafikan karisma seseorang dan cara seorang individu membawa dirinya kepada khayalah menjadi pesona untuk sesiapa yang melihatnya. Dengan jambangnya, memakai jaket ala wartawan dan peta dunia di tangan, Prof Dr Ataullah Bogdan Kopanski adalah kelahiran Texas namun membesar dan mengharungi kebanyakan cabaran hidupnya sebagai seorang Eropah. Bekas Katolik yang kembali kepada Islam dan turut serta dalam beberapa siri perjuangan umat di beberapa ceruk bumi Eropah yang bergolak ini mula menarik perhatianku ketika melihat beberapa helaian iklan siri ceramah dan tayangan videonya di sekitar kampus.
Seingat aku ini adalah kali kedua aku mengikuti siri ceramah videonya berkait rapat dengan peperangan Vietnam, kejayaan dan kegagalan Hitler, penguasaan dan perkembangan kuasa Jerman dan siri analisanya mengenai sebuah tayangan video Dari Dunia Lain, sebuah rancangan yang memaparkan gambar-gambar hantu yang dirakam oleh sebuah produksi Indonesia, Trans TV. Siri-siri pertemuan ini yang membuat aku teruja dan ingin menimba ilmu dari personaliti sepertinya.
Mungkin ada beberapa perkara yang boleh aku kongsikan dalam pertemuan rasmi dalam kelas pengajian hari ini. Sepanjang semester ini kami semua akan mempelajari susur galur sejarah Amerika dari zaman pencerobohan hak kaum Red Indian sehinggalah pencerobohan Amerika dalam peperangan Vietnam. Dalam pertemuan lima puluh minit ini, banyak perkara yang menarik perhatianku untuk mencatatnya.
  • "Hanya si bodoh sahaja yang akan mengulang kesilapan orang yang terdahulu meskipun sejarah telah membuktikannya."
  • "Kaum Red Indian kalah di atas tangan orang Putih kerana perpecahan yang berlaku disebabkan hidup mereka yang berpuak-puak. Tidak ada penyatuan."
  • "Adalah berbahaya untuk seorang yang sakit dan tua berada di atas tampuk pemerintahan. Kerana dia tidak akan kisah dengan nasib orang lain. Dalam fikirannya, 'Aku akan mati, begitu juga orang lain." komen terhadap Bush.
  • "Kematian orang lain adalah sumber pekerjaan kepada yang lain." Komen terhadap agenda peperangan di Amerika Syarikat.
  • "Bush tidak mengetahui banyak perkara, hatta tentang perjuangan Chech sekalipun. Beliau hanya membeliakan mata ketika kami berkata, terdapat suku juta Muslim di Texas..."
  • "Di Amerika, anda boleh menembak sesiapa sahaja yang memasuki rumah anda atas alasan pencerobohan, meskipun polis berpakaian seragam sekiranya dia tidak berwaran. Hak membunuh di dalam rumah" Komennya dalam kehidupannya di Amerika.
  • "23,000 orang mati hanya kerana pergaduhan bersenjata di Amerika setiap tahun. Lebih ramai berbanding di Iraq dan Afghanistan. Sehinggakan saya masih ingat kereta yang dibawa oleh sahabat ke sebuah masjid mempunyai lebih dari satu senjata api di bawah kerusinya. Dia bimbang, kumpulan anak-anak muda ganas melepaskan tembakan ketika mereka berhenti di lampu merah"
  • "Puak Apachee adalah gelaran puak-puak Red Indian lain yang bermaksud pengganas dan penjahat..."
  • "Tahukah anda apakah yang dipanggil oleh mereka yang berkulit hitam terhadap orang Asia? Gooks..."

Insya Allah, pengalaman-pengalaman hebat ini akan dikongsi kepada pembaca setiap minggu untuk mengambil nilai pengajaran dan motivasi dalam sebuah pengalaman manusia yang melalui pelbagai peristiwa besar dalam sejarah manusia.

www.motivasiminda.cjb.net

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates