Langkau ke kandungan utama

Cerita minum pagi di hadapan tuan Google

Info sisipan

Teruskan membaca entri di bawah

----------



Satu cerita pada awal pagi.

Saya duduk di satu sudut kafe, menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa.

Ketika itu, meja-meja di kafe dipenuhi oleh pelanggan yang bekerja di pejabat berhampiran.

Saya menjalankan urusan perniagaan melalui internet di kafe kerana mahu merasa keadaan baru menguruskan pesanan yang sama setiap hari.

Datang seorang lelaki yang saya kenali, beliau mempunyai sebuah kedai di situ. Kedai beliau menjual barang runcit. Seperti sebuah pasaraya mini, lelaki ini membuka kedai seawal jam sembilan pagi.

Biasanya isteri dan anaknya membantu dalam urusan jual beli. Seawal pagi ini, pasti sibuk dengan pelanggan yang mahu mendapatkan senaskah akhbar harian dan beberapa barang lain.

Kredit foto: Wallpaper Stok

Beliau datang membawa secawan kopi panas. Kami membalas senyuman. Beliau bukan orang asing kepada saya. Saya juga kerap membeli keperluan tertentu di kedainya. Beliau tahu saya hanya datang ke kafe itu apabila saya mahu menukar mood menguruskan pesanan barang di internet.

Peniaga itu khusyuk melihat saya mengemaskini maklumat perniagaan melalui aplikasi Google. Lama beliau memerhatikan apa yang saya lakukan.

Peniaga ini bertanya kepada saya, “Saya peniaga biasa dan bukan pakar internet. Tetapi saya percaya internet dapat meningkatkan keuntungan dalam perniagaan kecil saya. Orang selalu bercerita mengenai Google sebagai cara baru mengurus bisnes kecil di intenet. Sebagai seorang peniaga yang sibuk, bolehkah ini membantu saya?”

Kemudian seorang lagi yang duduk di meja bersebelahan mendengar perbualan kami.

Wanita pertengahan umur yang tadi hanya duduk menunggu rakan memesan hidangan kemudian menarik kerusinya hampir ke meja saya.

Beliau bertanya kepada saya, "Saya bercadang berniaga dari rumah. Adakah Google dapat menjadikan perniagaan saya dikenali ramai pelanggan? Adakah Google dapat memudahkan orang mencari barang dan perkhidmatan yang diperlukan? Paling penting, adakah mereka akan menemui perniagaan saya di internet?"

Soalan bertubi-tubi saya menjawab ya berkali-kali.

Tetapi ya yang disertakan jawapan kenapa tidak mustahil dilakukan oleh mereka.

Sama ada peniaga yang sudah mempunyai kedai sendiri atau pun berniaga dari rumah. Sama ada berniaga secara sepenuh masa atau pun sambilan.

Boleh jadi saudara adalah salah seorang daripada dua individu tadi.

Soalan-soalan ini membawa kepada penulisan buku ini. Sebuah buku yang benar-benar mendengar apa yang bermain dalam fikiran pembaca.

Sebuah buku yang ditulis dari seorang peniaga kecil kepada peniaga kecil lain.

Buku ini ditulis bagi mendedahkan saudara bagaimana kita dapat membina, mengurus dan memasarkan perniagaan kecil melalui Google. Mengurus bisnes pada kos yang rendah dan hampir percuma sifatnya.

Ia ditulis berdasarkan pengalaman menggunakan Google bermula sebagai pengguna biasa kemudian menggunakan Google bagi tujuan perniagaan kecil yang dijalankan dari rumah.

Dengan hanya menggunakan Google, urusan pesanan produk dapat dilakukan setiap hari.

Apabila peniaga dapat menguasai beberapa aplikasi penting bagi menjalankan bisnes menggunakan Google, peniaga telah memudahkan pelanggan bagi mendapatkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Jenama bisnes saudara akan lebih diingati, identiti bisnes saudara akan dikaitkan dengan beberapa ciri-ciri positif dalam sebuah bisnes. Penjenamaan bisnes berlaku. Itulah brandentiti.

Dua buku sebelum ini berjudul Internet Marketing untuk Bisnes Kecil dan Buat Duit dengan YouTube memberikan kemahiran bagaimana menggunakan sebahagian daripada kelebihan Google menjadi kelebihan kepada perniagaan sendiri.

Kedua-dua buah buku ini telah benar-benar membantu peniaga kecil di Malaysia dan menjadi satu fenomena baru dalam bisnes kecil di negara ini.

Kemudian buku ini ditulis bagi mendedahkan lebih banyak strategi dan rahsia bagaimana peniaga kecil yang berniaga dari rumah atau dari premis dapat memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara cepat, mudah dan praktikal.

Adanya Google sebagai sebahagian daripada dunia internet merupakan berita baik kepada peniaga kecil.

Aplikasi dan fungsi yang disediakan Google turut mengambil kira bagaimana peniaga kecil seperti kita berfikir dan bekerja.

Buku Urus Bisnes dengan Google ditulis dengan mengambil kira keperluan saudara jika dikategori dalam salah satu senarai berikut.

  1. Peniaga kecil yang mempunyai premis perniagaan dan bercadang mencanangkan kepada orang ramai kewujudan perniagaan sedia ada.
  2. Peniaga kecil yang tidak mempunyai premis perniagaan, tetapi mahu memberitahu bakal pelanggan bahawa perniagaan mereka beroperasi.
  3. Peniaga kecil terdiri daripada kaum wanita sama ada suri rumah atau pun sudah bekerja yang menjalankan perniagaan dari rumah.
  4. Peniaga SOHO iaitu secara Small Office Home Office, yakni bekerja dari rumah yang mahu pernigaan dikenali.
  5. Mereka yang masih bekerja tetapi membuat perniagaan secara sambilan dan mahukan fungsi Google mempercepatkan perkembangan perniagaan.
  6. Mereka yang masih belajar pada peringkat universiti dan menengah yang mahukan Google memudahkan urusan bisnes mereka.
  7. Bakal peniaga yang mahu mempelajari kaedah menggunakan Google secara cepat, mudah dan praktikal agar ia dapat dimanfaatkan ke dalam perniagaan.

Buku ini ditulis bukan untuk rujukan pakar-pakar Google atau mereka yang mendalami Google sehingga ke tahap dapat membaca pengiraan matematik yang digunakan bagi menggerakkan Google.

Buku ini ditulis oleh orang biasa yang menjalankan perniagaan dan menjadikan Google sebahagian daripada hidupnya.

Google menjadi sebahagian daripada modal yang memperkenalkan dan membesarkan perniagaan dari tidak dikenali sehinggalah telefon berdering tanpa berhenti kesan daripada kewujudan perniagaan kita di Google.

Rahsia Google bukan sekadar hanya melayari Google dan menaip perkataan carian, kemudian menekan butang Search di sebelahnya. Ia lebih daripada itu.

Buku ini mendedahkan kuasa Google kepada perniagaan kecil milik saudara.



Google membantu dalam empat aspek utama sebuah bisnes kecil iaitu

  • Memperkenalkan bisnes.
  • Mengurus bisnes.
  • Memasarkan bisnes.
  • Mengembangkan bisnes.

Buku ini adalah buku strategi bagi saudara menjadikan Google sebagai sebahagian daripada medium meluaskan perniagaan.

Ditulis menggunakan bahasa yang mudah, gambarajah yang disusun bagi memudahkan saudara meniru satu persatu kaedah.

Saya perlu berhenti di sini dan membiarkan saudara membaca dan mengamalkan strategi-strategi bisnes kecil menggunakan Google.

Sementara saudara membaca buku ini, saya akan menjawab satu persatu soalan peniaga kecil dan wanita yang duduk di kafe bersama saya ketika ini.

Sementara kopi masih panas, rakan wanita itu masih belum datang, saya mesti segera mendedahkan cerita ini.

Apa lagi yang kita tunggu. Aktivasikan kuasa Google dalam bisnes saudara.

Sekiranya ada yang membaca entri panjang ini, saya ucapkan terima kasih dan ini ada kejutan kepada tuan dan puan.

Selepas membaca entri ini apakah judul yang lebih seksi dapat diberikan berbanding judul Urus Bisnes dengan Google? Jika terpilih akan mendapat buku ini beserta autograf sebagai hadiah terima kasih ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010.

Kongsikan di sini.

Sekali lagi sebagai pencetus idea, Google membantu dalam empat aspek utama sebuah bisnes kecil iaitu

  • Memperkenalkan bisnes.
  • Mengurus bisnes.
  • Memasarkan bisnes.
  • Mengembangkan bisnes.

Mari kita senaraikan sekarang.
--------

Nota: Kursus penulisan rencana sedang dibuka. Klik di sini untuk maklumat lanjut.


Adakah anda berasa entri ini bermanfaat? Sebarkan melalui emel forward kepada rakan-rakan. Jika di Facebook, share pautan entri blog ini.
--------


Terkini! Zamri Mohamad adalah penulis 15 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Ulasan

Puan Ainon Mohd. berkata…
Advertorial yang sangat bagus! Perlu belajar prinsip-prinsip dan teknik menulis advert yang berkesan.....
Unknown berkata…
zamri, saya nak letak tajuk
'kuasa Google untuk bisnes kecil', sesuai ke? Hehh

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini
Zamri Mohamad adalah penulis 20 buah buku , jurulatih penulis bebas  di kursuspenulisan.com , perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi .

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal

Dunia Lelaki: Lelaki lanjut usia bertambah gatal Oleh Yusmairan Mat Yusoff Petikan Berita Harian MENJANGKAU usia 40 tahun membawa persepsi berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, menginjak usia berkenaan bagaikan baru saja memasuki permulaan hidup sebenar, semangat baru dan semakin matang. Wanita pula dikaitkan dengan perkara negatif dan musim saham mula menurun. Jika dilihat dari segi kematangan, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Ada gadis mula haid seawal sembilan tahun tetapi lelaki sesetengahnya sudah memasuki usia 17 tahun tetapi belum lagi mencapai tahap berkenaan. Bagi yang mempunyai anak lelaki dan perempuan mereka boleh melihat perkara yang sama. Baru berusia 11 tahun anak perempuan sudah pandai mengemas tempat tidur, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kawasan rumah tetapi lelaki tingkatan tiga pun masih ada yang tidak tahu membuatnya. Semua urusan khususnya pengurusan diri diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Oleh sebab beberapa faktor itulah, kehidupan s...