Ahad, Mei 13, 2007

Tuan Fauzul di UIAM



Catatan dari Akademi Penulis (saya berada di sana bagi tujuan berita untuk newsletter IIUM Bulletin)

Alhamdulillah semalam bengkel sehari penulisan di Universiti Islam Antarabangsa anjuran WAFA berjalan dengan lancar. Walaupun suara saya berada di tahap kritikal (makin lama makin hilang), namun begitu ia boleh bertahan hingga ke akhir bengkel. Kehadirannya amat memuaskan dan tahniah diucapkan kepada pihak WAFA, UIAM di atas penganjuran bengkel seumpama ini. Ia khusus bagi melatih dan melahirkan lebih ramai penulis di kalangan remaja IPTA. Menarik lagi semalam, turut hadir seorang pegawai bank yang berpangkat kanan ke bengkel tersebut. Ini satu perkara yang mengagumkan saya.

Dalam masa kami minum teh, beliau cukup bersemangat dan teruja dengan input bengkel tersebut. Beliau menceritakan apa yang beliau ingin tulis. Saya memberikan sedikit khidmat nasihat dan mencadangkan konsep buku yang bersesuaian dengan tajuk ingin ditulis beliau. Harapannya boleh jadi bukulah selepas ini.

Pada pandangan saya, remaja adalah individu mempunyai 1001 pengalaman yang boleh dikongsi. Mereka ini berada di semua tempat, tempat belajar, asrama, tempat sukan, bilik menteri (bagi yang aktif berpersatuan), bermesyuarat persatuan dan banyak lagi. Kesemua ini adalah idea menarik yang boleh dicurahkan ke atas kertas menjadi tulisan menarik.

Bagi permulaan, saya selalu cadangkan kepada remaja bina blog sendiri ataupun tulis diari. Ia adalah permulaan baik. Tulislah apa sahaja, semua perkara berlaku di dalam hidup. Selami erti tersurat, tersirat, hikmah dan teladan daripada peristiwa sekeliling. Semua ini mungkin menjadi bahan paling berguna dalam menghasilkan karya bestseller.

Saya mengambil contoh saudara Ahmad Fadzli Yusof, seorang pengarang prolifik, bekas presiden majlis perwakilan mahasiswa, aktif dalam banyak perkara. Kesemua pengalaman beliau diterjemahkan dalam semua karya beliau. Apabila kita membacanya, kira berasa seperti kita yang menghadapi apa yang dia kata. Itulah kehebatan catatan pengalaman. Jadi apa tunggu lagi, mari kita mulakan catatan pengalaman.

Kepada adik-adik yang menghadiri bengkel saya semalam. Saya menunggu proposal buku pertama anda.

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates