Rabu, Julai 05, 2006

Apabila perempuan menjadi penyokong setia lelaki

Lelaki yang dilamun percintaan beranggapan bahawa perempuan yang diminatinya adalah penyokong setia dalam apa yang ingin dicapainya. Bagi lelaki kejayaan lebih mudah membuat perempuan pilihan mendampinginya dan berbangga dengan apa yang dicapainya. Terdapat perbezaan daripada apa yang ingin dicapai oleh lelaki dan wanita.

Perbezaan ini selalunya tidak difahami oleh kedua-dua jantina. Lelaki dan perempuan selalu beranggapan apa yang ingin dicapainya adalah sesuatu yang ditentang oleh pasangan. Realitinya, masing-masing mempunyai fokus yang berbeza dalam beberapa keadaan.

Bagi lelaki, mereka akan bertindak untuk mencapai impiannya apabila ia memenuhi beberapa elemen ini. Elemen-elemen tersebut ialah kuasa, kemampuan, keberkesanan dan keputusan. Kesemua ini menjadikan lelaki merasakan dirinya sebagai seorang yang boleh diharapkan.

Apa-apa sahaja aktiviti ia pasti mempamerkan keempat-empat elemen ini dari seorang lelaki berjawatan tinggi sehinggalah yang berjawatan paling rendah. Mereka sedaya upaya mempastikan elemen-elemen ini timbul dan dapat diperhatikan oleh orang lain.

Kita berhadapan dengan situasi yang kurang selesa dalam berurusan dengan orang ramai baik sebagai pelanggan atau kakitangan? Misalnya kita diherdik dengan suara yang tinggi dan disapa dengan nada yang serius.

Sebagai contoh, kita sedang berurusan dengan sebuah bank untuk membuat pengeluaran wang. Kemudian, tanpa kita sedari kita telah melakukan kesilapan ketika menulis nombor akaun di atas salinan borang yang disediakan. Menyedari keadaan tersebut, pegawai lelaki yang berurusan dengan kita di kaunter berkata, "Nombor akaun awak salah, menyusahkan orang lain. Ambil semula salinan borang baru dan isi balik!"

Bunyinya seakan-akan iklan budi bahasa anjuran sebuah kementerian di kaca televisyen bukan? Perkara ini berlaku dan ia sering menjadi satu isu yang dilontarkan oleh pembaca-pembaca akhbar melalui ruangan surat dalam akhbar nasional. Selalunya, ia pasti melibatkan kakitangan lelaki dan sebahagian kecil lagi merupakan golongan wanita.

Namun rasional dari tindakan lelaki yang berkeadaan begini kerana ingin menunjukan nilai kuasanya, kemampuannya mengatasi keadaan, keberkesanan dalam tindakannya dan keputusan yang berpihak kepadanya.

Elemen-elemen ini juga terpamer melalui gaya pemakaian mereka. Bagi mereka yang perlu bertugas dengan memakai uniform, maka itulah yang akan mempamerkan elemen-elemen tersebut. Jangan hairan sekiranya kita melihat seorang lelaki memakai lengkap beruniform dari hujung kepala ke hujung kaki sedang menjamah makan tengah hari di warung ketika hari panas atau sedang menunggu bas pulang.

Bagi golongan korporat, pemakaian sut hitam mempamerkan elemen-elemen tersebut. Ia menunjukan bahawa dia mempunyai kuasa mengawal keadaan, kurang beremosi dan idak mudah dipengaruhi oleh sesiapa dan mempunyai ruang autoriti tersendiri.

Bagi lelaki, mereka menggunakan perkara-perkara fizikal sebagai mempamerkan keempat-empat elemen tersebut sama ada dalam bentuk pakaian, tag nama, kenderaan yang digunakan dan jenis pen yang diselitkan di poket bajunya. Kesemua ini digunakan oleh lelaki untuk menunjukan bahawa dia berkemampuan dan menjangkakan perempuan mengiyakan bahawa dirinya sememangnya begitu.

Senario perhubungan lelaki dan perempuan di peringkat sekolah dan kampus menunjukan keadaan yang sama. Elemen-elemen kuasa, kemampuan, keberkesanan dan keputusan berlaku dalam pendekatan yang bersesuaian dengan keadaan sekelilingnya.

Bukti dari keputusan peperiksaan.

Sebuah cerita yang disampaikan kepada penulis, kisah seorang pelajar lelaki Melayu yang menyukai seorang perempuan Cina yang merupakan rakan sekelasnya. Pelajar lelaki ini menyukai perempuan Cina ini sejak pertama kali pelajar perempuan ini menjejakan kaki ke kelas tersebut.

Menyedari perubahan hati yang dialami pelajar Melayu tersebut, dia beranggapan untuk membuktikan sesuatu kepada perempuan tersebut. Apa yang dilakukannya adalah sesuatu yang menjangkaui tabiat asalnya.

Bermula dari sekecil-kecil ujian berbentuk kuiz, ujian bulanan, pertengahan tahun sehinggalah peperiksaan akhir tahun, dia akan memastikan dirinya berada dalam kelompok sepuluh teratas dan mengatasi pencapaian perempuan Cina tersebut.

Apabila ditanya mengapa beliau termotivasi untuk bertindak demikian, katanya "Aku hendak kelihatan seperti seorang yang boleh diharap dan tidak memalukan orang yang aku sukai."

Kita sama-sama analisa semula kisah ini. Bagi pelajar lelaki ini, elemen-elemen tersebut terpamer melalui nilai nombor dan kedudukan yang tercatat di atas kertas, ia adalah pencapaian besar buatnya yang bagi beliau akan menarik perhatian perempuan tersebut untuk menyukainya.

Begitu halnya di kampus, coraknya tetap sama, ditambah lagi dengan pencapaian-pencapaian serta keaktifan dalam menyertai kelab dan persatuan, kesemua itu memenuhi kehendak lelaki untuk memenuhi elemen-elemen tersebut.

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates