Isnin, Oktober 10, 2005

Nenek 103 tahun mampu berpuasa


Petikan Berita Utusan Malaysia 10 Oktober 2005
Dalam Negeri

Nenek 103 tahun mampu berpuasa
Esah Ismail.

BALING 9 Okt. - Setiap tiba bulan Ramadan, Esah Ismail tidak putus-putus melafazkan kesyukuran kerana masih diberi kekuatan menjalani ibadat puasa, lebih-lebih lagi pada tahun ini, dalam usia yang sudah menjangkau lebih satu abad.

Esah berkata, beliau dilahirkan di Kampung Lembah Raja, Seberang Perai, pada 1902, dan mempunyai enam anak, 50 cucu serta 25 cicit hasil perkahwinan beliau dengan Ariffin Said pada usia 20-an.

Suaminya sudah meninggal dunia 25 tahun lepas, dan beliau kini tinggal bersama anaknya Salmah Ariffin, 55, suami Salmah, Ismail Ahmad, 60, serta tujuh cucu dan dua cicit.

``Ada satu lagi harapan saya iaitu menunaikan ibadat haji. Memang sudah lama saya berhasrat pergi ke Mekah, tetapi kekurangan wang, terpaksalah lupakan hasrat berkenaan,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tandop di sini.

Sementara itu, Salmah berkata, ibunya masih berupaya melakukan kerja-kerja ringan dalam rumah atau berjalan sendiri untuk ke bilik air dan ibunya itu sering bangun awal untuk bersahur. Selepas itu dia jarang sambung tidur, sebaliknya lebih banyak berzikir hingga ke pagi.

Anak Esah yang sulung Che Som, 70, dan Yaakob, 65, kini menetap di Pinang Tunggal manakala tiga lagi anaknya iaitu Che Don, Wahab dan Halijah sudah meninggal dunia. - Bernama


0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates