Langkau ke kandungan utama

Laman web dinaiktaraf.


Saya tidak berpuas hati maka saya ubah semuanya sekali lagi. Laman web rasmi penulis ditukar untuk kali ke berapa, saya sendiri sudah tidak pasti. Tetapi saya jangkakan laman web wajah baru ini bakal kekal dengan wajah ini bagi tempoh yang lama.

Saya sedang cuba-cuba belajar menggunakan beberapa perisian grafik bagi keperluan foto di dalam laman web. Apa yang kasar dihaluskan, apa yang bertompok dihilangkan, apa yang gelap dicerahkan. Saya seperti kembali kepada usia 21 tahun, bermain-main dengan perisian grafik di komputer rakan saya.

Zaman olok-olok.

Kami bergembira dengan gambar dan warna. Kami hasilkan kulit album olok-olok. Kemudian kami hasilkan laman web ringkas seolah-olah laman web sebuah kumpulan muzik.

Saya masih ingat lagi, kami berempat baru pulang daripada kelas bahasa Arab. Berlatar belakang dinding dengan permukaan berpasir dan kasar, kami mengambil gambar di situ. Sampai di bilik, kami ubah suai dan menjadi kulit album kumpulan ahli muzik.

Bertudung labuh ke konsert underground.

Laman web satu muka dihasilkan. Di situ kami letakkan pelbagai info, mengenai persembahan, latar belakang dan semuanya. Ia dibuat dalam bentuk jenaka. Tetapi kami menerima e-mel daripada rakan-rakan, mengucap tahniah atas kelahiran album pertama. Sah, mereka percaya.

Gambar-gambar orang ramai di auditorium menghadiri ceramah agama dimasukkan dan kami katakan pengunjung-pengunjung konsert. Sehingga ada yang hairan. Dalam ramai-ramai ada satu kumpulan perempuan bertudung labuh pergi ke konsert underground.

Bomoh tradisional vs bomoh digital.

Apa kami lakukan berpanjangan. Tetapi pengunjung mula sedar laman web itu adalah laman web jenaka. Ini kerana gambar kedua yang kami ambil dan ubah suai. Gambar rakan kami sedang tidur petang. Kemudian salah seorang daripada rakan biliknya, mengambil songkok, memakainya dan berlagak seperti berdoa. Rakan itu adalah saya.

Kami masukkan ke dalam laman web. Kami tawarkan perkhidmatan bomoh digital. Perkhidmatan disediakan ialah perubatan tradisional melalui e-mel. Perkhidmatan paling tidak masuk akal ialah khidmat menghantar santau melalui e-mel. Penerima pasti muntah darah apabila membuka e-mel santau itu. Santau melalui makanan sudah ketinggalan.

Objek misteri di kaki bukit.

Salah satu gambar yang menjadi kegemparan kami dan pengunjung ialah objek ganjil di kawasan bukit sekitar kampus. Kami sendiri tidak menyangka ia muncul di situ. Kami siarkan di laman web dan menjadi kegemparan para pengunjung. Rupa-rupanya ada kerosakan dalam kamera digital sehingga ia menghasilan objek itu berkali-kali.

Jenaka pengendur masalah.

Laman web itu dihasilkan sebagai penghibur kami berhadapan dengan sistem universiti. Kami diambil daripada kumpulan bukan matrikulasi dan kumpulan kecil ini tidak mendapat pendedahan sepenuhnya oleh pihak majlis perwakilan pelajar yang terdiri daripada pelajar matrikulasi. Selepas enam tahun, saya melihat perubahan lebih baik.

Tambahan lagi, kebanyakan pelajar ambilan terus ketika itu tidak mendapat wang pinjaman hampir setahun sehinggakan mereka sama-sama berkongsi duit untuk survival.

Ada satu keadaan, seorang pelajar perempuan, ayahnya berhadapan dengan tindakan muflis. Pelajar ini tidak mahu mendedahkan masalahnya. Sekali-sekali datang ke bilik rakan, bersembang dan makan roti buku yang dihidangkan. Mereka tidak tahu sekeping dua roti itu menjadi pengalas perutnya satu hari.

Apabila dilabel tidak matang.

Laman web jenaka ini mungkin dilihat membuang masa, tidak matang dan kebudak-budakan. Tidak sesuai dengan status pelajar universiti.

Tetapi laman web jenaka kami hasilkan inilah tempat mereka ketawa, berjumpa dan berkongsi cerita dan meninggalkan pesanan di laman web itu. Di laman web tidak matang inilah masalah-masalah peribadi kami kendurkan buat sementara.

Kerana laman web jenaka ini, saya menerima tawaran membuat backdroup atau latar hias menggunakan paparan LCD bagi program-program kelab di universiti. Kerana laman web jenaka ini, saya pernah menerima projek laman web secara amatur bagi sebuah kontraktor binaan bumiputera di Danau Kota.

Kerana laman web jenaka ini, saya masih kekal membina dan menyusun laman web peribadi dan mengurus blog yang sudah masuk tahun kedua.

Kerana laman web jenaka ini, yang tidak matang menjalin keakraban kami.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Benarkah hantu mengekori penulis berbanding pembaca?

Membuang 'hantu' yang membuat kita tidak menulis buku dan tidak berusaha membawa proposal kepada penerbit. Lakukan formula ABCDE penulis ini terlebih dahulu. Gantikan ayat yang berada dalam fikiran. Tik-tok kita menghampiri Konvensyen Mini Penulisan pada 20 Julai 2013. Mahu tahu siapa penulis akan turun padang? Mohon klik di sini

Los dan Faun permulaan kepada filem & drama bersiri

Bukan mudah bagi menghasilkan sebuah filem penyiasatan ala-ala Detective Conan, tetapi Afdlin Shauki berjaya melakukannya. Kali terakhir saya menonton cerita penyiasatan adalah sebuah drama berjudul Siapa Bunuh Alice. Seingat saya watak Zami Ismail sangat menonjol sebagai seorang penyiasat yang cuba membongkar kematian Alice (lakonan Alice Voon) di sebuah rumah percutian. Itu adalah drama lebih sepuluh tahun dahulu. Sehingga kini jika dilakukan carian Google, Siapa Bunuh Alice masih menjadi topik perbincangan. Kali ini versi filem dengan perspektif baru dan jenayah baru diketengahkan melalui Los dan Faun. Tidak sempat menonton di Kuala Lumpur, saya mencuri masa menonton di Melaka hari ini tanpa saya sangka perkataan cencalok dan Klebang juga menjadi sebahagian dialog. Babak demi babak yang ditonjolkan secara pantas berbeza dengan pendekatan pengarah filem tempatan sebelum ini. Los dan Faun menjadikan saudara tidak senang duduk untuk mengikuti perjalanan cerita sehingga akhir. Kehilang...

Rahsia Bisnes Mamak di Malaysia Hari Ini TV3

Ruang menunggu di belakang studio Puan Wardina, (kiri) bersama dua orang tetamu Pandangan studio MHI dari belakang Hadiah sempena EURO 2008 Tuan Alexander (dua dari kiri) dan Tuan Thomas (pertama dari kanan) Penerbit MHI edisi Jumaat 27 Jun 2008, Tuan Ally Iskandar Slot Rahsia Bisnes Mamak 27 Jun 2008 Jam 7.30 pagi Malaysia Hari Ini, TV3 Saya menerima pesanan ringkas pada jam 6.00 pagi. Tuan Roslan mengingatkan saya program bersama Malaysia Hari Ini di TV3 pada hari ini. Saya sudah berada di Stesyen LRT Setiawangsa menuju ke Taman Bahagia. Dari sana, menuju ke Sri Pentas dengan teksi. Suasana Sri Pentas masih sunyi, cuma para kakitangan sudah berada di sana sejak awal lagi. Sebahagian masih belum pulang sejak semalam. Farah Fauzana sedang rancak di konti Hot FM, saya agak keliru dengan kedudukan studio. Berdiri di satu sudut, rakan setugas Farah Fauzana, Faizal Ismail menyapa saya dengan senyuman pagi. Kedatangan saya kali kedua (sebelum ini datang sebagai pelawat) adalah bagi mem...