Rabu, Ogos 17, 2011

Sesen wang saya tidak berbaki kerana dia


Sementara menunggu sesi woksyop pemasaran Facebook, saya singgah sebentar ke MPH di Mid Valley. Terdorong mencari buku Positioning tulisan Jack Trout sebagaimana dicadangkan oleh Tuan Hilmi Isa, penulis buku Rahsia Kalimah Berkuasa terbitan Truewealth.

Buku yang dicari ditemui, membelek bahagian dedikasi dan membacanya;

Dedicated to the second best advertising agency in the whole world.

Ayat dedikasi kepada yang kedua terbaik membuat saya tersenyum. Bukan kedudukan pertama sahaja yang perlu dirai, di mana sahaja kedudukan yang didudukinya, ia selaras dengan prinsip kamu dapat apa yang kamu usahakan.

Buku setebal 210 halaman dengan perbincangan mendalam mengenai positioning dalam 25 bab keseluruhan dibawa ke sana sini. Kemudian kedengaran suara sedang bercakap kepada sekumpulan pengunjung MPH. 

Ceramah disampaikan oleh seorang penulis sedang berlangsung.

Penulis itu bernama Andrew Chia. Beliau menulis buku berjudul Money Secrets. Kini buku itu sudah empat siri diterbitkan. Kekuatan penulis ini adalah cerita demi cerita yang memudahkan kefahaman kami mengenai konsep money intelligence.

Kata Tuan Andrew, "Terdapat tiga perkara yang perlu kita kuasai mengenai money intelligence."

Mikrofon dijarakkan sedikit daripada mulutnya, tetapi suara masih jelas kedengaran, "Minda mesti diset dengan betul. Berhati- hati dengan virus wang dalam pengurusan kewangan"

Tanpa bergerak ke kiri atau pun kanan, Tuan Andrew memegang kemas mikrofon di tangan, "Dalam virus kewangan, ada disebut motivasi menghasilkan wang daripada wang. Ini adalah logik yang berbahaya. Realitinya manusia kekal kekurangan wang dan jika menyeluk poket pun belum tentu ada jumlah besar yang kita inginkan."

Kesan daripada konsep ini manusia meminjam wang bagi menggandakan wang.

"Seterusnya adalah konsep tanpa risiko tidak ada hasil atau no risk no gain. Ini adalah virus kewangan yang dijadikan modal bagi skim cepat kaya menarik perhatian ramai. Misalnya mereka menekankan, jika tidak mahu melabur sedikit dalam skim kami, belum tentu dapat keuntungan," jelasnya panjang lebar.

Sikap penjudi dengan kepercayaan sedikit lagi akan ada keuntungan dipengaruhi oleh virus kewangan ini.

Tuan Andrew juga menyebut, dalam mengurus wang secara bijaksana peraturan dan kemahiran menyalurkan wang ke dalam mana-mana jenis pelaburan mesti dikuasai dengan sepenuhnya.

Pernah berlaku dalam pertemuan dengan seorang klien beberapa tahun lalu, beliau diajukan dengan soalan, "Which stock you are gambling?" berbanding, "Which stock you are invest?"

Pengetahuan mengenai peraturan pelaburan yang longgar menyebabkan pelaburan dianggap sebagai perjudian. 

Ingatan Tuan Andrew Chia, penulis Money Secrets

----

ZAMRI MOHAMAD telah menulis 20 buah buku. Merupakan trainer penulisan non fiksyen. Berminat melalui proses coaching menghasilkan buku, emelkan dengan subjek Coaching ke zamrimohamad@gmail.com, berminat menjemputnya mengendalikan bengkel? Emelkan ke zamrimohamad@gmail.com

Sabtu, Ogos 13, 2011

Demam anak, ayah tahu sendiri

Diari Ramadan.

Lelaki itu menarik kerusi di hadapan kami dan kemudian duduk. Dia menghembuskan nafas seolah-olah melepaskan kepenatan. Satu jam tiga puluh minit berbaki sebelum azam Maghrib, sebelum kami berbuka puasa.

Lelaki itu kemudian mencondongkan tubuhnya ke hadapan dan bercerita. Mula-mula dia bercerita mengenai kerjanya pada bulan puasa. Kemudian bercerita mengenai kerjanya esok. Tidak lama bercerita mengenai keluarga.

Dia menggosok-gosok keningnya, kemudian mengurut kecil pada bahagian dahi dengan dua jari, lalu bercerita, "Apabila saya fikirkan, kita tidak mampu melebihi apa yang ayah kita lakukan. Meskipun kita sudah bergelar ayah."

Saya mendiamkan diri.

Dia menyambung cerita, "Saya masih ingat lagi bagaimana ayah menjaga adik kami. Perkara yang membimbangkan dirinya apabila anak jatuh sakit. Jika demam sebelum usia tujuh tahun dapat memberi kesan kepada sarafnya dan boleh mengakibatkan kecacatan."

Saya mendiamkan diri.

Dia memandang dengan dua jari masih di dahi, "Ayah sentiasa memastikan setiap malam anaknya yang demam akan tidur bersamanya. Dia menjadikan lengan sebagai bantal kami. Biar rapat biar dekat. Ada petua yang ayah amalkan."

Saya mendiamkan diri.

Dia menunjukkan lengan kanan dan meneruskan cerita, "Berbantalkan lengan ayah memudahkan dia tahu keadaan anaknya. Jika suhu badan anaknya naik, terasa pada lengan dan dia mudah terbangun dari tidur. Cepat sahaja dibawa bertemu doktor."

Saya mendiamkan diri. Apa yang mahu saya tambah daripada ceritanya?

Dia mengangkat wajah melihat siling dan menambah ayatnya sendiri, "Ayah dahulu, cepat sahaja sekiranya anak memerlukan di sisi. Itu yang tidak dapat saya tandingi."

Berbantalkan lengan ayah, biar dekat dan biar rapat. Biar selamat si anak.


-----

ZAMRI MOHAMAD telah menulis 20 buah buku. Merupakan trainer penulisan non fiksyen. Berminat melalui proses coaching menghasilkan buku, emelkan dengan subjek Coaching ke zamrimohamad@gmail.com, berminat menjemputnya mengendalikan bengkel? Emelkan ke zamrimohamad@gmail.com

Rabu, Ogos 10, 2011

Sepuluh atau penuh? Ramadan si air kosong


Baru pulang dari restoran Cina Muslim. Dipesan air asam kedondong. Dibawa pulang, apabila dilihat bungkusan, diberinya air kosong. Senyum sahajalah. Kedondong 'kosong'.

Mungkin bunyinya hampir sama antara kedondong dan kosong sehinggakan itulah yang diberikan mereka. Seingat-ingat saya perkara yang bersama berlaku dahulu, tetapi yang paling diingati ketika bekerja di stesyen minyak di jalan Munsyi Abdullah pada tahun 1999.

Panggilan popular kepada kami ialah pump attendant atau 'budak pam'. Tugas kami adalah mengisi minyak mengikut jumlah yang diperlukan oleh pelanggan, membersihkan cermin hadapan kenderaan dan melihat sama ada air bateri dan minyak hitam kenderaan mencukupi. Selain itu perlu memujuk pelanggan membeli air bateri yang diletakkan dalam rak pamer di hadapan. Dengan harapan mendapat komisen lima puluh sen bagi setiap jualan.

Teksi adalah ganti nama kepada kereta sewa yang beroperasi di sekitar Melaka. Mereka adalah antara pelanggan tetap kami. Mereka datang seawal pagi dan selewat petang. Aktivit keluar dan masuk ke stesyen minyak ini menjadikan wajah mereka mudah dikenali dan suara mereka sudah dapat dikenalpasti siapa orangnya meskipun wajah tidak berpaling melihat.

Teringat saya kepada seorang pemandu teksi. Berhenti di salah satu pam tanpa nombor berdekatan dengan pintu masuk kedai mini di stesyen. Dia tidak keluar dari keretanya, bercakap dari kerusi pemandu tanpa memandang jelas petugas di stesyen.

Saya menghampiri dan mendengar jumlah yang dimohon, "Penuh," katanya. Cepat dia memandang ke hadapan.

Cepat pula saya mengisi jumlah yang dimahukan. Bunyi tik,tik menukar jumlah digit yang bertambah liter dan bertambah harga.

"Sudah penuh," kata saya sambil menutup ruang isi minyak pada teksi sewa berwarna merah gelap. Melihat dengan jelas kerusi penumpang yang sudah koyak sehingga nampak isi dalamnya. Yakin menghampirinya dengan tangan kanan jelas menunggu wangnya.

Pemandu teksi memaling wajahnya dan mengeluarkan kepalanya dari tingkap sisi pemandu dan berkata dengan nada kuat, "Saya kata 'sepuluh' bukan 'penuh'!"

Saya keliru. cuba menafikan dengan menyebutnya kembali.

Pemandu teksi mengeluarkan wang sepuluh ringgit, kemudian dia menghulurkan kepada saya yang masih tidak jelas fikir. Tangan kirinya sudah bersedia pada stereng.

"Itu salah awak," segera dia meninggalkan stesyen minyak dengan deruman enjin lama yang jelas didengar bunyi dari jarak jauh. Saya masih terpinga-pinga. Salah saya atau salah dia? Pekerja senior memandang dari jauh.

Teringat seorang pekerja 'merah, biru, penuh' (pekerja warga asing dengan skripnya) yang menyedut keluar minyak dari tangki kereta pelanggan. Caranya bagaimana? Paip getah dimasukkan ke dalam tangki kenderaan pelanggan. Kemudian pekerja akan menyedut persis menyedut air menggunakan straw. Apabila sudah hampir keluar, segera dijarakkan mulut agar tidak tertelan petrol. Dibiarkan petrol mengalir dan memenuhi baldi kosong di sisinya.

Apakah saya perlu melakukan hal yang sama?

Saya memandang digit akhir yang tertera pada pam tanpa nombor. Itu adalah digit yang akan ditolak daripada gaji saya pada bulan itu.

Sepuluh atau penuh?


-----




ZAMRI MOHAMAD telah menulis 20 buah buku. Merupakan trainer penulisan non fiksyen. Berminat melalui proses coaching menghasilkan buku, emelkan dengan subjek Coaching ke zamrimohamad@gmail.com, berminat menjemputnya mengendalikan bengkel? Emelkan ke zamrimohamad@gmail.com