Rabu, Februari 16, 2011

Cerita kekasih jauh yang dekat

Entri ini ditulis dan disiarkan di blog, Facebook dan dikirim kepada setiap emel yang pernah berurusan dengan saya. Kerana setiap seorang yang emelnya di inbox saya adalah saudara saya.

Nota: Jika kita percaya entri ini dapat mengubah hidup orang lain, klik butang share atau forwardkan kepada rakan yang kita rasakan dapat memanfaatkan.

------



Catatan sempena Maulid Rasul



Tidak jatuh buat kali kedua

Apabila menekuni hadis, kita melihat dua perkara. Pertama, hal yang berlaku pada kita dan hal yang berlaku pada orang lain. Hadis mendorong kita bergerak menjadi agen perubahan kepada diri, keluarga, masyarakat keseluruhan. Agar apa sahaja keputusan dibuat tidak 'terjatuh ke dalam lubang yang sama dua kali' pada diri dan orang lain.

Gaduh gaduh ketawa

Hari ini, saya melihat keindahan di sebalik kisah 'gaduh-gaduh' Aisyah terhadap Nabi Muhammad sehingga Abu Bakar menjadi orang tengah. Selepas membacanya saya senyum, ketawa dan sedikit tersentuh, "Aduhai apalah nak dikisah dengan apa kita lalui berbanding cerita ini." Insya Allah dalam buku terbaru saya tulis semula.

Berubah menuju bukti cinta

Tidak berubah kaum itu melainkan bermula daripada diri (al Raad:11) dengan berlumba-lumba ke arah kebaikan (al baqarah: 148)

Pasangan mencari rumah yang dekat dengan rumah Allah.

Apabila Nabi Muhammad dan Aisyah berkahwin, Nabi Muhammad memilih membina rumah yang dicantumkan dengan masjid. Situasi ini memberi petunjuk agar berusaha kita memilih rumah berhampiran dengan rumah Allah.

Meringankan kepayahan dengan pujian

Pernah berlaku peristiwa Nabi Muhammad sedang membaiki sandalnya sehingga kelihatan keringat pada wajahnya. Aisyah melihat Nabi Muhammad tekun membaiki sandal itu, kemudian dia berkata jika dirinya seorang penyair pasti dia berkata keringat itu umpama mutiara di sisi bulan.

Halangan kebaikan dari keluarga

Dalam surah At Thagabun, sebahagian ayat ke 14, disebutkan dalam beberapa keadaan, anak dan isteri menjadi ujian kepada suami. Allah berkata, “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu.” Ia berlaku apabila berlakunya situasi halangan dari dalam bagi melakukan sesuatu yang baik di sisi Allah.

Tanda kita di atas laluan pencinta

Abdul Halim Khafaji berkata, salah satu tanda dirinya dan hatinya dijaga oleh Allah adalah melalui teladan yang ditunjukkan melalui majlis perkahwinanya. Teladan kesederhanaan menunjukkan dia tidak jauh daripada petunjuk yang ditonjolkan oleh Nabi Muhammad.

Puji-pujian pada kecantikan fizikal dapat menumbuhkan rasa cinta.

Direkodkan oleh Bukhari, Abu Dawud dan Tirmizi, Nabi Muhammad berkata apabila seorang isteri menyentuh kulit seorang wanita lain, usahlah dia menceritakan kehalusan kulit wanita itu. Sehinggalah dapat digambarkan oleh suaminya. Kerana laluan cinta itu datang daripada pelbagai jalan, termasuklah sifat fizikal.

Keterbukaan dan berlapang dada

Tidak menjadi kesalahan apabila seseorang dilamar melalui bekas pasangan. Ini secara langsung menjaga hubungan silaturahim sesama Muslim. Zaid bin Haritsah yang menceraikan isterinya, Zainab binti Jahsy menjadi wakil yang menyampaikan hasrat Nabi Muhammad bagi menikahinya selepas tempoh. Di sini berlaku proses pendidikan, berlapang dada kepada semua pihak.

Tidak ada perbezaan dalam kebaikan

Isu hantaran antara yang belum berumahtangga dan janda. Sesetengah menaikkan dan merendahkan hantaran berdasarkan situasi wanita itu. Dalam rekod perkahwinan Nabi Muhammad, maharnya diberinya kepada para isterinya sama, iaitu 12 uqiyah atau 400 dirham. Kecuali mahar yang diberikan An Najasyi untuk nabi kepada Ummu Habibah dan Abu Talib kepada Khadijah.

Tidak ada istilah langkah bendul

Isu langkah bendul dan hantaran berganda amalan sebahagian masyarakat Melayu. Dalam rekod perkahwinan Nabi Muhammad dan Aisyah menunjukkan ia tidak menjadi isu. Ketika itu, kakaknya bernama Asma' binti Abu Bakar dilamar oleh Zubair bin Awwam hanya berlaku selepas itu.

Rakan sebagai pembawa khabar

Khadijah memilih Nafisah sebagai pengantara mendapatkan persetujuan meminang nabi. Dalam Ar Rahiqul Maktump dan Al Ishabah, disebutkan;

  1. Soalan apakah yang menghalang nabi daripada bernikah.
  2. Soalan bersifat menawarkan sesuatu yang menampung kekurangan yang dihadapi nabi. Ciri positif wanita diberitahu.
  3. Memberitahu siapakah orangnya.
  4. Memberi ruang agar nabi memberi respons.



Mohon doa daripada para pembaca agar buku ini dapat diusahakan sesegera mungkin. Dalam debar membaca, dalam resah menyusun, dalam sabar menulis. Kekasih hati ini apabila dibaca kisahnya cukup mengubat hati. Saya sedang menyusun dengan secermat mungkin. Semoga Allah permudahkan.



-----



Zamri Mohamad merupakan penulis yang sedang mencapai penerbitan 21 buah buku pada tahun 2011. Dengan sasaran mengubah masyarakat secara total secara mesra syariah. 

Beliau melatih para penulis di bawah label beliau. Selain itu menggerakan penghasilan peniaga tradisional yang berniaga di blog melalui formula Mulakan dengan Apa di Tangan. Juga membantu dalam aspek penulisan iklan jualan.

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates