Jumaat, November 13, 2009

Bengkel Penulisan di Hujung Benua Asia









Dari Akademi Penulis

Akademi Penulis baru sahaja selesai mengendalikan Bengkel Pemerkasaan Manuskrip di Tanjung Piai, Resort, Pontian Johor. Bengkel ini adalah atas jemputan Penerbit Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Seramai 30 orang peserta dari UTHM berkampung bersama para jurulatih Akademi Penulis untuk memurni dan memperkasakan manuskrip mereka yang sudah siap dan separa siap ditulis.

Bengkel ini adalah kesinambungan kepada satu lagi bengkel yang pernah dianjurkan mereka iaitu bengkel tesis kepada buku.

Hasil daripada bengkel tersebut dibawa ke sini untuk diberikan perundingan oleh para jurulatih Akademi Penulis. Jurulatih yang hadir adalah En. Fauzul Na’im Ishak (jurulatih utama), En. Zamri Mohamad (jurulatih kanan) dan En. Ikram Wazir (jurulatih kanan).

Bengkel ini juga turut dihadiri oleh Prof. Dr. Rogayah, Timbalan Naib Canselor Akademi UTHM yang bersama menjadi fasilitator bengkel.

Kehadiran beliau amat memberikan inspirasi dan semangat kepada para peserta amnya dan Akademi Penulis khususnya.

Alhamdulillah hasil daripada bengkel 3 hari 2 malam ini, sebanyak 20 proposal buku yang sudah masak perbincangannya dihasilkan. Kesemuanya pada pandangan Akademi Penulis berpotensi untuk diterbitkan.

Proposal-proposal ini akan diserahkan oleh pihak Penerbit UTHM kepada pihak JK Penilaian Manuskrip UTHM bagi diluluskan penerbitannya.

Apa yang menarik di sini adalah pihak UTHM menyediakan satu insentif yang belum pernah diberikan oleh mana-mana universiti kepada pensyarah yang menulis.

Bagi setiap proposal diluluskan pihak UTHM akan memberikan insentif sebanyak RM5,000 tunai. Ini suatu insentif yang cukup baik bagi memberikan motivasi kepada para pensyarah di sana.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengenai tajuk artikel ini. Ya, Tanjung Piai terletak di dalam peta dunia sebagai penghujung benua Asia. Di sana terdapat Taman Negara yang merupakan hutan paya bakau. Di hujung Taman Negara ini terletak satu monumen yang menandakan bahawa di situlah penghujung benua Asia.

Pihak Akademi Penulis amat berbesar hati diberikan peluang memberikan pandangan kepada manuskrip-manuskrip di bawah penerbitan UTHM. Terima kasih atas jemputan ini.


-----------

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates