Jumaat, Julai 03, 2009

Buku naik pangkat, disayangi bos, dihormati rakan sekerja

Perbincangan hangat di Universiti PTS. Klik di sini

Buku-buku ini adalah buku-buku pengurusan, tetapi di sebuah outlet MPH, buku ini dipamerkan di rak buku-buku motivasi.

Kandungan dua buah buku ini amat berguna bagi mereka yang mahu meningkatkan produktiviti, menjalin hubungan sekerja yang baik di tempat kerja, dan mahu cepat naik pangkat.

Pengarang buku-buku ini banyak merujuk kepada tip-tip yang ditulis oleh pakar-pakar bidang organizational behavior.

Namun jualan kedua-dua buku ini berjalan perlahan.

Apakah menyebabkan dua buah buku yang berkualiti melalui jualan yang perlahan?

Berikut merupakan sebahagian daripada komen yang dipilih dari entri tersebut.

Umiazuddin on 07/01 at 09:44 PM

Pada pendapat saya kulit muka depannya kurang sesuai bagi buku bertema organizationl behaviour mahupun pengurusan. Saya rasa golongan pembaca sasaran sudah terbiasa dengan kulit muka depan yang lebih “konservatif” bagi buku-buku sebegini. Contohnya kulit muka depan buku Pemimpin 360 darjah di entri atas.

Zamri Mohamad on 07/01 at 11:41 PM

Assalam alaikum wbt Saya merupakan penulis buku ini. Sehingga respon ini ditulis, rekod menunjukkan buku ini adalah salah satu buku yang berada di perpustakaan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Mudah
-mudahan buku Mempengaruhi Bos Gaya Streetsmart dapat dibaca oleh kakitangan awam dan swasta. Buku ini kini boleh didapati di rak Perpustakaan MAMPU.

----


Setelah post mortem dibuat, benar kata Puan Umiazuddin konsep kulit buku masih memihak pada gaya tradisional bagi buku-buku pengurusan. Gaya Dilbert masih belum mencuit hati pembaca.

Konsep baru ini masih asing lagi gayanya. Saya akan terus membuat kajian kulit buku dan pada masa sama bekerjasama mencari elemen terbaik untuk paparan buku ini.
Tambahan lagi perkataan Streetsmart bermaksud belajar dari pengalaman orang lain masih asing kepada majoriti pembaca.

----

Buku Mengurus Konflik Gaya Streetsmart membawa kepada perbualan telefon sejam bersama seorang kontraktor dari Perlis yang mengurus anak-anak buahnya terdiri daripada pekerja tempatan dan luar.

Beliau menghubungi selepas membaca buku ini yang membincangkan kuasa F.I.T.R.AH (Lima elemen dalam pengaruh) apabila berurusan dengan orang bawahan dan rakan sejawat.
Panggilan telefon beliau mengukuhkan kepercayaan saya bahawa pendekatan Islami dan Barat dibawa bersama dalam memahami kuasa pengaruh sebagai alat kerja dan medium ibadah.

----

Mempengaruhi Bos Gaya Streetsmart adalah percubaan kecil untuk menjadi berbeza daripada buku-buku biasa.

Saya terdorong menulis buku ini selepas dua soalan timbul dalam diri


1. Mengapa banyak buku membawa tokoh-tokoh besar bagi membincangkan kuasa pengaruh sedangkan ada pekerja-pekerja kecil yang mempunyai kuasa pengaruh dalam diam.
2. Mengapa masih kurang tafsiran tokoh Islam dibawakan dalam membincangkan subjek pengaruh dan moden.


-----

Kedua-dua buku ini ditulis membawa cerita pekerja kecil dengan kuasa pengaruh besar dan tidak ditolak pendekatan tokoh dan kajian.

----


Ditambah lagi pendedahan sembilan peraturan pengaruh melibatkan tingkah pekerja mempengaruhi bos selain daripada lima maklumat perlu diketahui sebelum mempengaruhi bos.


Kerana itu bab awal buku ini membawa cerita Puan Rosminah Ahmad yang bermula sebagai tukang sapu, pengelap lantai dan pencuci tingkap kini mengurus lima rangkaian francais antarabangsa.


Dari biasa menjadi luar biasa. Formula ini dibongkar.


Tidak dilupakan faktor kehambaan menjadi pemimpin dan dipimpin dihuraikan dalam buku Mempengaruhi Bos Gaya Streetsmart.


----


Buku Mengurus Konflik Gaya Streetsmart adalah kesinambungan buku pertama. Mereka yang mengurus konflik secara tidak langsung membina pengaruh.

Kerana itu buku ini ditulis.
Bercerita mengenai pengaruh tidak terhad pada sebuah buku, kaitan kepada isu pengaruh dipanjangkan dalam buku ini.

Masih banyak cerita perlu dibongkarkan.
Terdapat tiga cara konflik dapat dilihat oleh orang ramai.

Konflik sebagai perang

Konflik sebagai peluang

Konflik sebagai sebuah perjalanan

Kajian kami mendapati rata-rata percaya konflik di pejabat dan di luar pejabat hanya melibarkan satu jenis konflik

Hakikatnya terdapat 8 jenis konflik yang saling berkait satu sama lain.
Antara temuramah yang berjaya kami perolehi melibatkan beberapa individu termasuk Tuan Mazidul Akmal Sidik (360, TV3)

Hamilton Mabie berkata, “Jangan bimbang kepada penentangan (konflik). Ingatlah, layang-layang hanya terbang tinggi apabila menentang arus angin.”


Bagi mereka yang baru pertama kali mendengar dan melihat buku ini. Ia adalah satu buku inspirasi perubahan dan kelompok diri menjadi hamba Tuhan yang berkualiti dalam mengurus konflik dan membina pengaruh positif.

Seperti kata Cik Puan Mardiana, buku yang sesuai dijadikan hadiah sebagai simbol kita mahukan diri penerima mendapat impak yang baik untuk hidup mereka.

ibnurabi on 07/02 at 01:02 AM

Pada saya kulit buku tersebut bukanlah sebab buku ini kurang sambutannya. Kemeriahan judul-judul seperti ini yang memungkinkan kurang pendedahan kepada peminatnya yang wujudnya buku dalam bidang seperti ini.

Kalaulah kulit bukunya agak tradisional mungkin akan menimbulkan persepsi yang sebaliknya seperti

  • Buku terlalu berat untuk dihadam.
  • Isi buku mungkin bukan idea yang original cuma ditiru daripada buku Bahasa Inggeris.
  • Terlalu akademik isinya (buku teks untuk pelajar).

Disebabkan beberapa persepsi tersebut semakin kurang mereka yang mendekati buku seperti ini, walaupun isinya ringan dan santai.

Media cetak seperti suratkhabar & majalah memainkan peranan penting dalam mendedahkan judul seperti ini, begitu juga peranan internet. Media perlu mendedahkan apa kekayaan yang ada ada dalam buku tersebut. Ramai lagi yang tercari-cari judul seperti ini khususnya dalam Bahasa Melayu lebih-lebih lagi tidak terlalu bersandarkan konsep barat, masih tidak tahu kewujudan buku ini.

Kemampuan kedai buku untuk mempromosikan buku hanyalah bagi mereka yang datang ke kedai buku dan singgah ke bahagian di mana buku ini terletak. Buku ini pula tersusun di antara puluhan judul lain dalam kategori yang berlainan. Maka kebarangkalian untuk buku ini dibelek semakin nipis.

Kulit buku yang sedia ada pada saya menggambarkan yang buku tersebut adalah mesra pembaca dan mesra alam. Isi dan persembahannya menarik, mudah dan segar.

Kenapa tidak keras sambutannya? Tidak ramai yang mengetahui, ini buku apa dan buku seperti ini ada rupanya.

Zamri Mohamad on 07/02 at 01:38 AM

Tuan Ibnurabi,

Pencerahan yang diberikan oleh Tuan amat membantu dalam menganalisa perjalanan jualan buku ini.


Bersama-sama para penulis bersama, kami sedang mengenalpasti di mana lubuk-lubuk promosi media (online dan offline) yang bersesuaian dan terus menerus.


Buat pelayar UNIKA yang ingin mencadangkan di mana ia perlu dihebahkan secara online (forum dan web) atau offline mohon berkongsi dalam ruangan ini.

Seperti kata Tuan Ibnurabi, “Tidak ramai yang mengetahui, ini buku apa dan buku seperti ini ada rupanya,” ini adalah satu usaha kerja keras untuk kami mendedahkan bersama-sama dorongan dan promosi rakan-rakan UNIKA lain.


Terima kasih atas cadangan doa Tuan dan Puan.


Tengku Asmadi T. Mohamad on 07/02 at 10:59 AM

Tuan Zamri,

Saya sendiri tidak terpanggil untuk membeli malah membelek buku ini. Walhal ia ditulis oleh warga TAMRIN dan kenalan PTS sendiri. Apabila isu ini ditimbulkan saya bertanya kepada diri sendiri kenapa hati tidak terpanggil oleh buku ini meskipun sering ternampak setiap kali ke MPH dan Popular Bookstore. Jawapan saya ialah tentang persepsi.

Apabila melihat perkataan ‘streetsmart’ pada kulit buku itu secara spontan saya rasakan bahawa ia idea-idea murahan. Ditambah pula dengan lukisan kartun di luaran terus ia membatalkan hasrat saya untuk memegangnya.

Mungkin luahan pendapat yang saya berikan secara jujur ini dapat membantu Tuan Zamri dan pihak PTS mengeluarkan buku ini dengan rekabentuk yang baru.

Zamri Mohamad on 07/02 at 04:54 PM

Terima kasih YM Dr Tengku Asmadi atas komentar yang diberikan.

Ini adalah komen yang terbuka dan amat membantu kepada perkembangan siri ini pada masa akan datang.


Isu persepsi ini adalah perkara yang akan diambil perhatian besar dalam menstrukturkan semula kelahiran buku ini dalam wajah baru.

Insya Allah persepsi ini sedikit sebanyak memberi gambaran kepada orang lain yang mungkin berkongsi persepsi yang sama sebagaimana YM Dr Tengku.


Saya ucapkan terima kasih sekali lagi atas komen ini. Ya! Bedah siasat sedalam-dalamnya memberi laluan baru kepada siri buku ini.


Wan Norjihan on 07/03 at 10:12 AM

Tuan Zamri,

Saya baru sahaja membeli buku ini kelmarin. Tujuan saya adalah untuk buat kajian dari segi gaya penulisan tuan. Err.. buku tentang cinta itu agak kurang menarik hati saya. Saya sudah lama bekerja sendiri, tetapi manalah tahu, mungkin ada tips-tips yang boleh saya gunapakai untuk mempengaruhi klien.

Walaubagaimanapun, ingin saya nyatakan di sini bahawa perkataan ‘streetsmart’ sememangnya asing di Malaysia terutama kepada golongan ‘streetsmart’ itu sendiri.

Saya sendiri belajar istilah ‘streetsmart’ dari novel-novel John Grisham dan siri-siri siasatan jenayah di TV. Dan isitilah ini diperkenalkan secara khusus dalam siri The Apprentice (Booksmart vs Streetsmart) - Donald Trump.

Cadangan saya, perlu ada artikel-artikel samada di media persuratan atau elektronik yang memperkenalkan perkataan ‘streetsmart’ secara khusus.

InsyaAllah saya akan baca dan tulis ulasan saya tentang buku ini dalam blog saya di http://www.norjihan.net. Sekarang ini sedang baca The Appeal- John Grisham dan Fikir dan Zikir tulisan Prof. Dr. Sidek Baba.


Zamri Mohamad on 07/03 at 10:29 AM

Benar Puan, istilah streetsmart perlukan ruang untuk diulang-ulang sehingga menjadi kebiasaan dan kedengaran ‘seksi’ oleh pembaca.

Jika ia kedengaran asing, ia tidak akan mencetuskan rasa teruja pada mereka yang mendengar dan membacanya. Boleh jadi perkataan ini terlalu urban sifatnya.

Kualiti ilustrasi komik akan dipertingkatkan dari segi idea. Idea ini adalah adaptasi Dilbert dan Andrew Matthews

Bagi mereka yang tidak biasa dengan ilustrasi biasanya kurang selesa dengan paparan seperti ini melainkan mereka terbiasa dan cenderung pada karya Andrew Matthews seperti Being Happy, Making Friends, Get Faxed! Follow Your Heart dan kartun Dilbert oleh Scott Adams.

Salah satu buku pengurusan dalam bentuk komik pengurusan Dilbert berjudul The Dilbert Principle: A Cubicle’s-Eye View of Bosses, Meetings, Management Fads & Other Workplace Afflictions terbitan 1997.

Buku Dilbert pertama kali saya miliki 10 tahun selepas ia diterbitkan dan mencetuskan idea pada saya untuk bereksperimen dengan cara ini bersama-sama rakan penerbit, PTS Millennia.

Konsep ini masih kelihatan asing di kalangan pembaca tempatan, tetapi ia tidak mustahil dapat diusahakan sehingga kita mendapat formula yang tepat.

Insya Allah kita akan berusaha ke arah pembaikan kualiti, moga-moga dengan izin Allah majoriti dapat menerimanya. Doa Puan dan rakan-rakan menjadi pendorong besar kepada kejayaan karya streetsmart.

Terima kasih.




Nota: Buku ini boleh didapati di MPH dan Popular serta kedai buku berdekatan. Jika tiada boleh buat pesanan di kaunter pelanggan di MPH dan Popular. Sesuai dijadikan buku hadiah.


Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

1 Respons:

Welma La'anda berkata...

Salam,

Saya pun tidak pernah terpanggil untuk membeli buku Mengurus Konflik Gaya Streetsmart walaupun saya tahu kualiti isi kandungannya yang bagus. Saya selalu juga belek-belek tulisan Tuan (buku-buku yang berunsur pengurusan) di kedai buku, dan apa yang saya boleh simpulkan ialah hasil tulisan Tuan mengandungi idea, pemikiran bernas, up to date dan dipersembahkan dengan cara bagus sekali. Walaupun begitu, untuk karya Tuan, saya hanya memiliki Tip Menjai Penulis Bestseller.Saya belum lagi mempunyai satu kecenderungan apabila nampak buku Tuan, "Oh saya kena beli".Kenapa ini terjadi? Saya merasakan bukan kerana kualiti yang tidak bagus atau kerana istilah streetsmart. Pembaca sekarang bukan semuanya dari golongan yang pembaca tegar yang begitu kisah sangat tentang perkataan. Cuma, sekarang banyak pembaca ikut-ikutan. Kalau orang lain kata, buku ini bagus, maka dia akan membeli. Kekadang, walaupun dia tahu buku itu bagus, tidak juga dibelinya, mungkin kerana jenis buku itu yang tidak disukai. Pada penilaian saya, orang Melayu Malaysia suka membaca buku-buku motivasi berunsur agama. Cuba tengok Yakjuj Makjuj laku, karya-karya Dr Danial laku keras juga, Jatuhnya Sebuah Tamadun pun laku. Jadi apabila ternampak buku-buku yang berunsur pengurusan ditulis dalam bahasa Melayu, ini sesuatu yang baru. Pemikiran rakyat kita belum sampai ke situ, sebab kita masih lagi tegar disogok oleh karya-karya pengurusan tulisan Inggeris. Jadi untuk mengubah persepsi ini, kita perlukan kesungguhan dalam promosi tentang buku-buku pengurusan. Saya setuju pandangan Ibnurabi, kita perlu promosi yang kuat. Ia perlu selalu diperkatakan, biar kita biasa mendengarnya.Bila biasa mendengar, baru kita sebagai pembaca dan pembeli teringin nak baca pula buku-buku berbentuk pengurusan.

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates