Rabu, Julai 22, 2009

(1) Isi semua dalam beg dan keluar

Separuh hari pertama.

Ambil barang yang perlu, isi semua dalam beg dan keluar. Matikan telefon bimbit.Itu adalah status yang saya tulis dalam Facebook dua minggu lalu.

Hari ini saya lakukan, cuma satu sahaja tidak saya buat, matikan telefon bimbit sepanjang perjalanan.

Dari Kuala Lumpur ke Melaka kemudian ke Johor, sekadar berjalan-jalan kosong. Bukan ke tempat peranginan, hanya berjalan keluar ke tempat yang pertama kali saya kunjung.

Asalnya saya mahu pulang ke kampung. Tidak ada orang di rumah. Berkali-kali saya telefon dan memberi salam. Rupa-rupanya, telefon bimbit ditinggalkan di rumah. Itu pun saya sedar apabila saya dengar deringan dari dalam rumah.

Salah saya juga tidak memberitahu mereka saya mahu pulang selama seminggu ke sini.

-----

"Ah, ke Johor sahaja," kepala saya memberi cadangan gila jam enam petang.

Saya teringat dalam satu rencana yang saya baca dahulu, mengenai seorang lelaki yang berjalan dari satu tempat ke satu tempat tanpa merancang terlebih dahulu.

"Saya sukakan melakukan secara spontan," kata lelaki ini.

Hanya berbekalkan maklumat asas sahaja beliau keluar dari rumah membawa beg kembara dan berjalan dengan sandal. Dia keluar mahu lihat dunia. Berapa lama, saya tidak tahu. Tapi saya kira sekarang dia sudah pulang ke rumah dan berkeluarga.

Saya tinggalkan Kuala Lumpur untuk mencari kekuatan diri, berhadapan dengan pelbagai kehendak dan keperluan yang semakin mengejar usia. Mungkin berada di luar akan membantu saya mudah berfikir mencari jalan penyelesaian.

Van polis mengalami kemalangan. Terseret jauh ke depan di lebuh raya PLUS
Enam petang menuju ke Teluk Ramunia, Johor.
Melintasi sungai Muar



Dari Melaka menuju ke Muar, tetapi tidak masuk terus ke pekan Muar. Ada simpang menghala ke Yong Peng. Bandar Yong Peng masih meriah dengan lampu pada bangunan dan hiasan lampu warna-warni di sepanjang jalan.


Kemudian perjalanan terus ke Ayer Hitam. Orang-orang di sini galak menjual barang hiasan rumah. Dari kiri kanan jalan sudah ada macam-macam barangan hiasan yang ditawarkan.

Kebanyakan daripada mereka adalah peniaga Cina. Saya sekadar melihat-lihat sahaja.

Meskipun saya sukakan topi yang dijual di situ dan mencubanya. Saya tidak dapat merasional, mengapa saya perlu topi itu. Saya bukan kaki fesyen. Mahu digantung dalam rumah pun tidak ada faedahnya. Maka saya letak sahaja. Berkira sungguh!

Mahu cuba masakan di sini. Jam 8.40 malam, kedai-kedai di sekitar sudah tutup. Awal benar mereka tutup kedai. Bila pula waktu meriah orang berjual beli di sini?

Berjalan sehingga ke hujung jalan masih ada kedai-kedai makan dibuka. Lesu sahaja keadaan kedai-kedai makan di situ.


Saya melintasi jalan dan kemudian melintas kembali. Itu pun apabila saya lihat ada sederet lampu kalimantang berwarna-warni di sepanjang jalan. Saya turun dan lihat. Sangka saya orang ramai di situ.

"Kedai-kedai makan orang Melayu, lampunya malap sahaja," kata sahabat saya ketika menziarahi beliau di Kota Kemuning, Shah Alam semalam.

Benar. Lampu malap sahaja. Tapi saya cuba juga. Ada satu keluarga Cina sedang berbual-bual dan makan di situ. Ketawa dan bercerita. Kemudian ketawa lagi dan bercerita.

"Kedai ini bukakah?" tanya saya.

"Kedai ini buka pada hari Isnin dan Rabu sahaja. Semua orang tahu," kata lelaki berapron biru, terpamer wajah tanpa perasaan.

Saya duduk dan melihat kedai makan itu buka. Hairan kenapa Isnin dan Rabu sahaja. Baru saya sedar, tuan kedai itu pasti sangka saya bertanyakan kedai yong tau fu bersebelahan.

Mungkin kerana itu tuan kedai tidak begitu seronok saya bertanyakan kedai orang lain bukan kedai miliknya.

Saya buka menu dalam folder plastik berwarna biru kusam. Satu persatu saya lihat. Sama sahaja menu. Cuba sahaja ikan bakar talapia. Aduhai, ia tidak memenuhi selera sahaja.


Patutnya saya pilih ikan kembung sahaja. Mujur harganya tidak menggila, masih harga kampung-kampung. Jadi tidaklah rasa rugi.

Saya kira ikan bakar di Jalan Bellamy, di belakang Istana Negara masih pilihan awal jika mahu. Pertama kali juga saya ke situ dalam minggu lalu.

Itu pun selepas beberapa tahun saya mendengar mengenai kedai itu dalam sebuah rancangan radio tengah malam.

Selepas beberapa tahun, barulah berpeluang. Itu pun salah pilih ikan. Ikan terubuk yang dibakar rasa enak, cuma tulang yang halus-halus itu merencatkan keseronokan menikmatinya. Ya, kerana saya tidak hafal nama ikan.

-----

"Tuan, mahu beli sayur," seorang wanita cina berpakaian cheong sam putih berbintik-bintik merah menyapa saya di meja makan. Saya toleh, wajahnya sudah sekitar empat puluhan, tetapi penampilan masih memikat.

Beliau senyum dan saya balas dengan senyuman. Rambut potongan pendek, solekan sederhana, senyuman yang jujur. Semuanya sangat sederhana.

Penampilan beliau mengingatkan saya pada filem-filem berlatarkan wanita Shanghai awal 50-an. Ya, begitulah penampilan beliau. Cuma saya tidak berani mengambil gambarnya. Saya berada di sini pun orang sudah pandang-pandang. Sudah tahu saya orang luar.

Tetapi itu semua tidak mendorong saya membeli sayur-sayur yang dibungkus kemas setiap satu. Wanita Cina itu beralih ke meja lain mengucap dialog yang sama. Senyuman yang sama diberikan.

Wanita Cina itu tidak perlukan jeans ketat, kasut tumit tinggi, baju yang singkat untuk menampilkan kecantikan. Kesederhanaan yang cukup membuat hati sesiapa sahaja selesa.

-----

Saya toleh kiri kanan, melihat apa-apa yang menarik di pekan Ayer Hitam pada jam sudah hampir sepuluh malam. Sekadar banner Mesyuarat PIBG yang tergantung dan ia masih kelihatan baru.


Mungkin para ibu bapa dan guru di sini bermesyuarat di kedai makan ini sambil makan ikan bakar. Andaian liar sengaja saya timbulkan.

Keluar dari kedai makanan diiringai mata-mata yang melihat saya masuk dan keluar kedai. Dari atas ke bawah diimbasnya. Saya senyum, mereka senyum. Kembali sambung perjalanan.


Kedai makan diberi nama MJ Corner mengingatkan saya pada seorang selebriti, Micheal Jackson. Adakah nama kedai ini satu tribute atau penghargaan pada si mati?

Andaian liar mengisi kepala pada lewat malam.

Dari Pekan Ayer Hitam ke pekan-pekan lain, semua aktiviti perniagaan tutup awal. Jam baru 10.30 malam, stesyen minyak sudah menutup pintu utama. Sedangkan saya perlu mengeluarkan wang dari mesin ATM yang berada di dalam. Tunggu esok sahaja.


-----


Kami hampir tiba ke Teluk Ramunia. Di sini hanya ada satu kedai runcit. Mereka panggil sebagai Seven Eleven.

Kedai Seven Eleven (7-11) di sini adalah kedai Ah Seng. satu-satunya kedai runcit di kampung ini. Kedai Ah Seng ini buka jam tujuh tutup jam 11, benar-benar Seven Eleven.

Pasti untung besar menjadi satu-satunya kedai runcit di situ.

Di kiri jalan kelihatan lampu-lampu sepanjang laut. Ia bukan lampu jeti, tetapi lampu-lampu dari kapal laut yang beratur panjang mahu masuk ke pelabuhan Singapura. Ada yang sudah lebih seminggu menunggu giliran berada pada barisan panjang di atas laut.

"Satu kesan buruk pada laut Johor apabila kapal-kapal menunggu lama di sini. Pencemaran laut Malaysia jauh lebih teruk berbanding negara jiran. Penguatkuasaan ada, tetapi sekali sekali datang menyaman,"katanya yang sudah lama memerhatikan barisan kapal di sini.

Jam 12 malam, apa mahu dilakukan, sambil berbaring di sebuah bilik yang lampunya rosak dan memikirkan akaun Facebook yang tidak dikemaskini dua hari lagi. Serta berdebar memikirkan mesej Facebook yang menantikan jawapan.

----


Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates