Sabtu, Mei 09, 2009

Aliran songsang buku politik fitnah bentuk budaya penulisan tidak sihat


Aliran songsang buku politik fitnah bentuk budaya penulisan tidak sihat
Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
rencanabh@bharian.com.my
Petikan Berita Harian Selasa 5 Mei 2009

PENGHASILAN buku politik yang lebih terarah untuk menyerang personaliti dengan kaedah mengaibkan serta berbaur fitnah bukan saja menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat, malah mendapat perhatian serius institusi Raja-Raja Melayu.

Kebimbangan yang dilahirkan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah baru-baru ini mengenai kecenderungan segelintir penulis yang mementingkan keuntungan jangka pendek dengan melacur penulisan mereka dengan menjadikan kumpulan atau individu tertentu sebagai sasaran, perlu dihentikan.

Jika kita melihat sejarah penulisan buku politik tanah air, nama penulis antaranya, Syed Hussein Al Attas (SH Alattas) atau Pak Habib, Subky Latiff, Mokhtar Petah, M Sayuti Omar, Datuk Khalid Jaffry dan Yahya Ismail banyak menghasilkan buku politik yang sebahagiannya mempunyai pengaruh tersendiri di kalangan pembaca.

Biasanya buku politik muncul setiap kali menjelang pilihan raya umum dan cukup ketara sebelum dan ketika menjelang Perhimpunan Agung Umno yang menjadi tempat lambakan buku politik untuk tatapan ahli Umno dan peminat, terutama ketika pemilihan kepemimpinan tertinggi Umno. Buku politik pada 1980-an dan 1990-an banyak mencetuskan polemik politik di kalangan pemimpin dan ahli, sama ada Umno atau pun Pas, namun corak penulisan pada masa itu masih lagi boleh diterima masyarakat kerana penulisnya masih mematuhi norma penulisan.

Walaupun penulisan Pak Habib misalnya, agak kontroversi dengan penghasilan buku yang mencetuskan polemik yang pada sesetengah pihak menganggapnya 'merapu', namun bukunya mendapat perhatian masyarakat. Antara bukunya ialah Siapa Lawan Siapa (Challenger) (1987), Musa Derhaka (1986), The Five Hundred Million Dollarman (1997) dan Mahathir Konspirasi, Anwar Reformasi (1998); Sunnah Nabi Muhammad SAW VS Sunnah Mahathir Mohamad DK (1998). Buku yang dihasilkan itu banyak mengundang perbahasan panas sehingga melariskan jualan buku sehingga mencecah 20,000 hingga 30,000 naskhah.

Begitu juga Sayuti yang turut menghasilkan bukunya, Siapa Pencabar Anwar (1998); Talqin untuk Mahathir (1998); Nostalgia Bersama Al-Arqam (1998) dan Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa (1998).

Walaupun penulisan mereka boleh dianggap panas pada zamannya tidak mengundang banyak masalah, kecuali buku SH Alattas yang menyeretnya ke mahkamah oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam atas dakwaan fitnah melalui buku Musa Derhaka. Mahkamah mengarahkan SH Alattas membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Musa berhubungan tulisan yang dianggap fitnah itu.

Selain SH Alattas, penulis Khalid Jaffri (Allahyarham) menerusi buku kontroversi, 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM turut diseret ke mahkamah atas dakwaan fitnah oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mahkamah Tinggi pada 2005 memerintahkan penulis membayar ganti rugi RM4.5 juta kepada Anwar kerana memfitnahnya.

Jelas sejak sekian lama, penulis buku politik berdepan dengan tindakan mahkamah berhubung unsur fitnah yang berbaur di dalam penulisan mereka, namun masih ada penulis yang terus mengekalkan integriti sebagai penulis politik yang berwibawa dan dihormati semua pihak.

Namun kebelakangan ini, corak penulisan politik lebih terarah kepada berbentuk serangan peribadi yang melampau dengan tujuan menjatuhkan pemimpin politik. Kita nampak penulisan berkenaan bermula daripada penulisan di dalam internet dan blog yang ternyata tidak bertapis sifatnya. Jika sebelum ini, penulis media cetak berdepan dengan pelbagai undang-undang penerbitan, penulis di media maya terlepas kongkongan berkenaan, sehinggakan sesiapa saja tidak terlepas daripada sasaran baik bersifat objektif atau sebaliknya tohmahan dan fitnah.

Dalam pada itu, isu politik kini dibincangkan setiap hari dalam blog atau berita portal yang memperlihatkan perubahan isu setiap masa bukan lagi berminggu, malah perkembangan isu berubah dalam tempoh 24 jam. Ini menyebabkan penulisan buku politik tidak boleh menggunakan kaedah lama lagi kerana ia dianggap basi dan ketinggalan zaman. Bagi penulis yang lebih bersifat 'penulis politik upahan' isu yang menjamin pasaran perlu dicari untuk menarik perhatian pembaca.

Biasanya, hal berkaitan seks, salah laku, penyelewengan menjadi agenda penting dalam penghasilan buku, terutama membabitkan pemimpin politik yang menjadi sasaran. Walaupun ia bersifat fitnah yang boleh mengundang dakwaan di mahkamah, penulis tidak mempunyai pilihan kerana itu saja yang boleh menarik perhatian pembaca kerana yang lainnya sudah banyak dibincangkan di dalam blog atau berita portal.

Malangnya, aliran songsang ini semakin membimbangkan kerana ia boleh membentuk budaya penulisan tidak sihat, menyuburkan fitnah, kurang beretika, malah sanggup mengetepikan fakta dan seterusnya membawa pengaruh negatif dalam perkembangan minda rakyat. Tulisan berbentuk fitnah bukan boleh meruntuhkan reputasi, maruah dan harga diri individu sehingga terpinggir daripada masyarakat.

Pengerusi Akademik Buku Malaysia, Dr Ilias Zaidi, berkata penulisan buku politik seperti yang ada di pasaran sekarang boleh dianggap 'pembunuhan peribadi dan profesion individu yang terkena fitnah'. Katanya, budaya fitnah secara begini semacam sudah jadi asam garam kehidupan masyarakat Melayu terkenal dengan perangai hasad dengki sementara masyarakat pula lebih gemar membaca bahan seperti ini.

"Buku politik kini lebih mirip kepada unsur fitnah berbanding terbitan 60-an, 70-an, dan 80-an, yang dapat dijadikan rujukan akademik. Memang ada buku politik yang baik kerana menggunakan pendekatan dan teori akademik tertentu," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Nazrin berhubungan fitnah buku politik, baru-baru ini.

Ilias berkata, teguran Raja Muda Perak itu memang tepat dan patut disambut baik penulis seluruhnya secara positif dengan hati terbuka, dengan percikan dan kesedaran jiwa keislaman. ajaran Islam menyifatkan budaya dan perbuatan menyebar fitnah itu sebagai dosa besar.

Katanya, ABM mengharapkan kelahiran buku politik yang bermutu tinggi serta dapat dipertanggungjawabkan dengan menekankan tema Malaysiana dan isu semasa yang berkaitan demi manfaat pengilmuan Islam khalayak khusus orang Melayu.

"Jika ada tesis dan disertasi sesuai, boleh dirombak menjadi buku umum. Pembinaan bangsa menurut gagasan 1Malaysia menuntut kelahiran buku politik umum seperti ini," katanya.

Sementara itu, seorang penulis buku bebas, Zamri Mohamad, berkata hanya segelintir penulis buku politik yang bertindak sedemikian, ia bukan mewakili majoriti penulis di negara ini secara keseluruhannya.

"Penulis politik dulu menulis atas dasar fakta dan berpegang teguh kepada idealisme ketika menulis buku politik dan tidak menulis atas tertentu, sepatutnya ia menjadi ikutan penulis buku sekarang," katanya.

Buku politik yang dianggap picisan dan tumbuh bermusim perlu dihentikan, sebaliknya usaha dan galakan perlu dilakukan untuk menghasilkan buku politik yang bukan saja diterima umum sebagai khazanah penting buku negara, malah ia menjadi pendorong lebih banyak buku berkualiti tinggi dihasilkan, terutama dalam bahasa Melayu.



Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates