Ahad, Mei 04, 2008

77 Tip Melembutkan Hati Lelaki menjadi bahan pengajaran di sekolah



Pada pagi tadi, ketika saya sedang membuat pengubahsuaian grafik bagi laman blog kedua, http://www.motivasiminda.wordpress.com/ , anak saudara saya menyapa dari belakang.

"Pakcik Zamri, kita (merujuk kepada dirinya) pernah nampak buku itu," katanya kepada saya.

"Mana satu?" tanya saya.

"Itu, buku 77 Tip Melembutkan Hati Lelaki," katanya lagi sambil menunjukkan kulit buku tersebut di skrin komputer (lihat gambar di atas).

"Di mana?" tanya saya sekali lagi.

"Di sekolah," jawabnya. Anak saudara saya masih bersekolah rendah dalam darjah lima.

Saya hairan. Pada usia belum belasan sudah membaca buku seperti ini. Saya pula bimbang, takut-takut dicop mempengaruhi pelajar sekolah rendah.

"Cikgu yang tunjukkan," sambungnya lagi sekaligus meredakan kebimbangan saya.

Resah bertukar kepada tanda tanya. Kenapa cikgu pula menunjukkan buku itu kepada murid-muridnya. Adakah buku itu akan menjadi bahan contoh untuk murid-murid bahawa buku ini diharamkan dibawa ke sekolah atau merosakkan pemikiran?

"Cikgu bercerita mengenai warna," anak saudara saya menjelaskan.

Saya bertanya, "Cikgu kamu mengajar apa?"

Jawabnya, "Mengajar pendidikan seni. Dua minggu lalu cikgu Aslina menunjukkan bagaimana warna membawa maksud tertentu, jadi dibawa buku itu dan ditunjukkan kepada kami."

Oh,saya ada menjelaskan mengenai warna dan personaliti melalui kajian Suzy Chiziari dalam The Complete Book of Colour. Saya masukkan kajian itu di dalam 77 Tip Melembutkan Hati Lelaki."

Rupa-rupanya guru bernama Cikgu Aslina menggunakan 77 Tip Melembutkan Hati Lelaki sebagai bahan pengajaran di sekolah. Memetik kata-kata Tuan Razzi Armansur, tulislah berdasarkan kajian bukan berdasarkan dengar-dengar. Benarlah kata-kata beliau.

"Tetapi," anak buah saya menyambung lagi.

"Apa yang tetapi?"

"Cikgu tidak percaya Zamri Mohamad itu pakcik saya. Cikgu tidak percaya, rakan-rakan di sekolah pun tidak percaya," katanya lagi.

Saya senyum mendengar keluhan anak saudara yang bersekolah di kawasan Kelana Jaya itu.


Percuma buku Rahsia Bisnes Mamak sebelum 7 Mei 2008. Klik di sini bagi maklumat lanjut.

0 Respons:

 

Catatan Trainer Kursus Penulisan Copyright © 2011 | Template design by O Pregador | Powered by Blogger Templates